Pengikut Kembali Pulang

Jumaat, 6 Januari 2012

YEAH! ENTRI KEDUA 2012

Assalamualaikum dan salam sejahtera diucapkan kepada semua pembaca blog!

Tahun 2011 telah meninggalkan kita dan diganti pula dengan tahun 2012 yang menjanjikan 1001 cabaran dan tuntutan kerja, sama ada yang masih belum diselesaikan pada tahun lepas mahupun perkara-perkara baru untuk tahun ini.

Saya ingin meminta maaf seandainya ada pembaca blog ini yang baru sahaja menjadi follower tetapi mungkin kecewa kerana tiada entri baru yang dibuat dalam dua tiga bulan yang lepas. Kalau dahulu saya mempunyai masa yang banyak untuk menulis blog ketika cuti, cuti yang baru sahaja berlalu tidak memungkinkan saya untuk berpeluang menghasilkan entri baru.

Pada cuti sekitar bulan November dan Disember pada tahun lepas, saya banyak menghabiskan masa di kampung halaman ibu saya yang terletak di Sabak Bernam, Selangor. Saya berkampung di sana selama sebulan lebih atas tujuan yang murni untuk menyempurnakan lesen memandu B2. Mungkin ada di antara anda yang hairan kenapa saya perlu bersusah-payah pergi ke kampung halaman ibu saya demi sekeping lesen memandu B2.

Kos perbelanjaan untuk kursus lesen memandu B2 ditanggung sepenuhnya oleh makcik saya yang tinggal di sana. Tambahan pula, saya dapat menggunakan motosikal kepunyaan arwah atuk saya dengan bebas untuk keluar bersiar-siar di pekan, pantai, ataupun sawah bendang. Persekitaran kampung pun tidaklah seteruk mana bagi saya untuk menikmati cuti selama sebulan lebih di sana. Jujur saya katakan, saya tidak akan mendapat kesenangan dan kemudahan yang sama sekiranya saya meluangkan masa cuti dengan terperuk di rumah saya sendiri.


Percutian di kampung ibu akhirnya membuahkan hasil apabila saya berjaya meluluskan diri dalam ujian memandu JPJ untuk lesen memandu B2, dan kini barulah saya mula berangan-angan untuk memiliki sebuah motosikal buatan Malaysia yang berwarna merah. Haha. Selain daripada hal lesen memandu B2, minat untuk membaca datang kembali apabila diri dilanda kebosanan. Di kampung ibu, saya membaca novel-novel kepunyaan sepupu saya untuk mengisi masa lapang. Antara novel-novel kepunyaannya yang telah dibaca ketika berada di sana adalah:


Setelah banyak membaca novel kepunyaan sepupu, timbul pula rasa untuk membeli novel lain dengan duit sendiri. Antara novel-novel yang telah saya borong sepanjang cuti yang lepas hingga sekarang adalah:


Antara novel-novel yang sedang dalam proses pembacaan adalah:


Atas tabiat membaca novel yang menjengah hidup sejak kebelakangan ini, saya pun terkenang akan hasil-hasil karya cerita pendek yang pernah saya tulis dahulu. Terasa ingin menulis kembali dengan idea yang dah lama berkepuk dalam kepala. Tunggu nak buat draf dan kesungguhan untuk menulis. Bukan senang tau. Apa-apa pun, terima kasih atas segala kritikan dan sokongan atas penulisan saya di blog ini.

Harap masih tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Tahun Baru 2012! Jumpa lagi di entri akan datang.

Tiada ulasan: