Pengikut Kembali Pulang

Ahad, 15 Januari 2012

SUDUT PANDANGAN DALAM PENCERITAAN

Sudut pandangan (atau dalam bahasa Inggerisnya "point of view") ialah titik perspektif penyampaian sesebuah cerita. Sudut pandangan menjawab persoalan kita mengenai "dari arah manakah cerita disampaikan?"

Sudut pandangan adalah cara seseorang pengarang mempersembahkan plot cerita kepada pembaca. Sudut pandangan dalam sesebuah cerita dapat menunjukkan bagaimana cara seseorang pengarang itu meletakkan dirinya dalam sesebuah cerita. Dalam sesebuah cerita, ada kalanya pengarang sendiri memainkan peranan sebagai watak, dan adakalanya pula pengarang hanya bertindak sebagai pencerita sahaja, tanpa melibatkan dirinya dalam cerita tersebut. Melalui sudut pandangan yang digunakan, pembaca akan mengetahui sejauh mana pengarang itu menguasai peristiwa-peristiwa atau watak-watak yang dipaparkannya dalam cerita. Secara ringkasnya, sudut pandangan dapatlah dikatakan sebagai pusat penumpuan sesebuah cerita.

Dalam dunia sastera, terdapat tiga jenis sudut pandangan yang digunakan dalam penulisan naratif:

1. Sudut Pandangan Orang Pertama (First-Person View)

Sudut Pandangan Orang Pertama merupakan sudut pandangan yang melibatkan pengarang secara tidak langsung sebagai seorang pencerita kerana pencerita juga merupakan salah seorang watak dalam sesebuah cerita. Pengarang boleh menjadi watak utama atau watak sampingan. Pengarang akan membuatkan pembaca secara tidak langsung menyusuri jalan cerita yang hanya berlegar-legar di sekitar pengetahuan watak si pencerita.

Kelebihan: Pembaca dapat menyelami perasaan dan emosi dalam diri si pencerita.

Kekurangan: Pembaca akan banyak berteka-teki mengenai watak lain, selain watak si pencerita.

Kata ganti nama diri yang biasa digunakan oleh pencerita:

- Aku, Saya, Kami (atau "I" dan "We" dalam bahasa Inggeris).

Jumlah karya yang menggunakan Sudut Pandangan Orang Pertama:

- Tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.

Contoh:

- "Cinta Kontrak" oleh Nurul Ain Syuhada
- "Gulliver's Travels" oleh Jonathan Swift


2. Sudut Pandangan Orang Kedua (Second-Person View)

Sudut Pandangan Orang Kedua merupakan sudut pandangan yang melibatkan pembaca secara langsung sebagai seorang watak dalam cerita dan pengarang pula berperanan sebagai pencerita secara langsung atau tidak langsung bergantung kepada penglibatannya di sekitar pandangan pembaca. Jenis sudut pandangan ini jarang digunakan dalam karya sastera kerana ia memerlukan kesudian pembaca untuk rasa setuju diletakkan dalam cerita yang dianjurkan oleh pengarang, dan biasanya situasi tersebut berlaku dalam cerita yang berunsurkan permainan pengembaraan atau cerita mengenai perjalanan hidup.

Kelebihan: Melatih pembaca untuk meletakkan situasi orang lain ke dalam situasi dirinya.

Kekurangan: Memaksa pembaca untuk menerima hampir semua situasi yang dianjurkan oleh pengarang.

Kata ganti nama diri yang biasa digunakan oleh pencerita:

- Kau, Awak (atau "You" dalam bahasa Inggeris).

Jumlah karya yang menggunakan Sudut Pandangan Orang Pertama:

- Terlalu sedikit.

Contoh:

- "Lone Wolf" oleh Joe Dever


3. Sudut Pandangan Orang Ketiga (Third-Person View)

Sudut Pandangan Orang Ketiga merupakan sudut pandangan yang melibatkan pengarang secara langsung sebagai seorang pencerita kerana pengarang bukanlah mana-mana watak dalam cerita. Pengarang boleh menjadi menjadi pencerita yang fokus pada satu watak sahaja atau lebih daripada itu. Pengarang akan membuatkan pembaca menjadi pemerhati bersama bagi cerita yang dianjurkan.

Kelebihan: Pembaca dapat mengetahui segala perkara asas mengenai watak-watak yang diceritakan.

Kekurangan: Pembaca mungkin kurang mendalami sisi peribadi dan emosi watak-watak yang diceritakan.

Kata ganti nama diri yang biasa digunakan oleh pencerita:

- Dia, Mereka (atau "He", "She", "It", "They" dalam bahasa Inggeris)

Jumlah karya yang menggunakan Sudut Pandangan Orang Ketiga:

- Terlalu banyak.

Contoh:

- Terlalu banyak. Lebih separuh daripada buku yang biasa kita baca.

Tiada ulasan: