Pengikut Kembali Pulang

Sabtu, 23 Jun 2012

PRAKATA SEKIAN LAMA

Assalamualaikum dan salam sejahtera buat para pembaca blog yang dikasihi.

Pertama sekali, saya meminta maaf atas sebab tidak menulis apa-apa entri di blog ini setelah sekian lama. Kali terakhir saya menulis entri adalah ketika saya baru sahaja selesai menyiapkan salah satu tugasan untuk semester terakhir pengajian. Buktinya, entri tersebut merupakan hasil kerja bagi tugasan tersebut. (Sila rujuk  entri blog saya yang bertajuk "Tuesdays With Morrie")

Saya kini sedang bercuti di rumah sebelum datangnya hari peperiksaan yang terakhir dalam tempoh pengajian 6 tahun dalam program Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (Pengajaran Bahasa Inggeris sebagai Bahasa Kedua) atau secara ringkasnya TESL. Tinggal lebih kurang dua minggu saja daripada sekarang sebelum saya menghadirkan diri untuk peperiksaan dan berjumpa dengan rakan-rakan seperjuangan buat kali terakhir.

Terdapat beberapa persiapan yang perlu dilakukan sebelum melangkahkan kaki buat kali terakhir di Institut Pendidikan Guru Kampus Kota Bharu. Antaranya, saya perlu menyediakan 3 salinan hardbound Academic Exercise yang khusus dibuat untuk pensyarah-pensyarah di sana dan saya juga perlu mengulangkaji pelajaran untuk peperiksaan yang bakal dihadiri nanti. Setibanya di sana nanti, saya akan hadir untuk menjawab soalan peperiksaan, menghantar salinan harbound tersebut, dan juga menuntut sijil yang pernah diusahakan sebelum bercuti. Maka selepas itu status sebagai seorang pelajar Ijazah Sarjana Muda Pendidikan (TESL) akan tamat secara rasminya.

Secara jujurnya, saya tidak berasa sedih dengan tamatnya pengajian selama 6 tahun ini. Bagi saya, berasa sedih bermakna saya tidak menghargai saat-saat yang telah diberikan untuk bersama dengan bermacam-macam orang yang saya jumpa selama 6 tahun pengajian. Sesungguhnya saya bersyukur kerana saya telah ditakdirkan oleh Tuhan untuk mengikuti pengajian tinggi demi menimba banyak pengalaman yang berharga yang mungkin tidak dapat diperoleh di mana-mana. Lebih menarik lagi, langkah penulisan blog saya bermula hasil daripada dorongan rakan-rakan yang saya kenali dalam tempoh 6 tahun pengajian tersebut.

Menyentuh tentang isu blog, sememangnya terdapat beberapa perkara yang saya ingin sampaikan untuk pengetahuan para pembaca blog sekalian. Namun begitu, saya akan sambung cerita mengenainya dalam entri yang seterusnya.