Pengikut Kembali Pulang

Selasa, 14 Disember 2010

CINTA UMPAMA MEMBELI KASUT

Pada suatu masa dahulu, ada seorang lelaki meluahkan rasa cintanya kepada seorang gadis. Namun, nasib si lelaki tidak begitu baik kerana cintanya telah ditolak oleh gadis tersebut. Bila ditanya kepada gadis tersebut sama ada dia telah mempunyai orang lain sebagai teman istimewa, gadis tersebut terus-terang menjawab "tidak". Si gadis cuma menyatakan bahawa dia tidak mahu terlepas sesuatu yang penting di masa hadapan hanya disebabkan hari ini dia cuba memberikan kegembiraan kepada lelaki tersebut. Si lelaki seolah-olah faham apa yang cuba dimaksudkan oleh gadis tersebut. Dia faham bahawa dirinya bukanlah lelaki yang diharapkan oleh gadis tersebut. Dia menyalahkan dirinya atas ketidakupayaannya  untuk menambat hati gadis tersebut. Namun, kadang-kala dia turut berasa geram di atas sikap memilih orang yang menolak cintanya.

Pada suatu hari, si lelaki keluar ke bandar untuk mencari kasut. Kasut yang ingin dicarinya adalah kasut pelbagai guna yang sesuai dibawa untuk bersukan mahupun untuk berjalan-jalan apabila keluar bersama rakan. Kasut tersebut haruslah berpatutan harganya, mempunyai tapak yang banyak cengkaman dan yang paling penting, mengikut warna kegemarannya selama ini. Di kedai yang pertama, si lelaki tidak menjumpai kasut yang diidamkan. Dia meneruskan pencarian. Di kedai yang kedua, si lelaki menjumpai sepasang kasut yang kelihatan boleh dipelbagai guna, mempunyai tapak yang bercengkaman kuat, berpatutan harganya tapi bukan warna kegemarannya. Dia mengambil masa yang lama untuk berfikir. Dia berfikir bahawa kasut dengan warna kegemarannya memang agak sukar untuk dijumpai. Apa kata kalau beli sahaja kasut yang sedang berada di depan matanya ini? Tapi entah kenapa, kata hatinya mengatakan bahawa dia patut terus mencari sampai dapat.

Sampailah ke kedai yang tidak pasti bilangan keberapa si lelaki kunjungi, akhirnya dia menemui sepasang kasut yang diidamkan oleh dirinya. Dia melihat dan meneliti rupa bentuk kasut tersebut. Sememangnya warna kegemarannya. Memang boleh digunakan untuk sukan mahupun perkara lain. Harganya? Berpatutan. Saiz yang ada? Cukup sesuai untuk diri. Alangkah gembiranya si lelaki tersebut. Tersenyum lebar sepanjang jalan pulangnya ke rumah. Sampai saja di rumah, ibu si lelaki menegur telatah anaknya yang tersenyum lebar sebaik saja melangkah kaki ke dalam rumah. Dia mengatakan bahawa anaknya tersenyum riang seolah-olah baru mendapat teman wanita. Si lelaki terpaku. Dia terpaku disebabkan ibunya mengandaikan riang hatinya mendapat kasut baru sama seperti mendapat kekasih hati. Ya Tuhan! Setelah sejenak berfikir, barulah dia benar-benar faham alasan gadis yang pernah menolak cintanya pada masa lalu.

Ya, cinta samalah seperti kita membeli kasut - melibatkan sama ada kita perlu memilih atau tidak memilih apa yang kita mahukan. Cuba bandingkan si lelaki tadi dengan pencarian cinta. Kalaulah si lelaki tadi tidak begitu cerewet dengan citarasanya, pasti dia akan terus membeli kasut di kedai yang kedua. Namun, jauh di sudut hati lelaki tersebut, dia berharap kasut yang dibelinya itu akan rosak tepat pada masanya tatkala dia menjumpai kasut idaman untuk menggantikan kasut lama yang dibelinya tadi. Samalah macam kita yang mengambil keputusan serta-merta untuk terus menerima orang yang menyukai kita dengan harapan kita boleh memupuk perasaan cinta terhadapnya. Namun, jauh di sudut hati, kita tidak pasti sama ada kita betul-betul mencintai orang tersebut sehinggalah sampai satu masa kita berjumpa dengan orang lain yang kita betul-betul cintai dan akhirnya terpaksa berlaku curang dengan orang yang mula-mula kita terima tadi. Mahukah kita menjadi seperti itu?

Si lelaki tadi nampaknya sangat memilih dan mengambil kira citarasanya, sebab itulah dia sanggup berjalan ke kedai lain mencari kasut idamannya. Akhirnya, dia berasa gembira kerana pilihannya untuk meneruskan pencarian di kedai lain membuahkan hasil yang cukup membahagiakan. Samalah seperti kita yang cuba bermacam-macam usaha untuk mencari cinta sejati. Kita jadi sangat memilih untuk jodoh kita dan ianya boleh mengambil masa yang sangat lama untuk mendapatkan jodoh yang betul-betul sesuai untuk diri kita. Mungkin memerlukan hampir seumur hidup bagi kita menemui jodoh yang ditakdirkan oleh Tuhan. 

Bagaimana pula kalau kita membeli kasut tanpa mengikut citarasa dan kasut tadi bertahan sangat lama serta tidak rosak? Kita boleh andaikan ianya sama seperti cinta yang tidak memilih tetapi ianya berkekalan hingga ke akhir hayat. Situasi yang boleh dikaitkan mungkin sama seperti orang yang menemui jodohnya melalui perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga. Ada pasangan yang berkahwin atas pilihan keluarga tiada masalah untuk bersama walaupun pada awalnya pasangan tersebut tidak saling mengenali mahupun saling mencintai.

Pengalaman si lelaki ketika membeli kasut idamannya tadi membuatkan dirinya faham betapa pentingnya si gadis tadi memilih dalam soal jodoh. Kita semua mempunyai hak sama ada untuk memilih atau tidak memilih. Kita juga mempunyai hak sama ada untuk berfikiran ringkas atau berfikir sedalam-dalamnya mengenai soal jodoh. Lain orang, lain takdirnya. Bak kata orang, "rambut sama hitam tapi hati lain-lain" - sama juga dengan soal jodoh yang ditakdirkan.

Selasa, 7 Disember 2010

HIJRAH KU?

Hijrah itu membawa maksud "perpindahan dari suatu tempat ke suatu tempat yang lain".

Hijrah juga membawa maksud "perubahan". Perubahan yang dianjurkan di sini biasanya merujuk kepada perubahan keadaan buruk yang bertukar menjadi baik, atau perubahan keadaan yang baik menjadi lebih baik lagi. Tidak sepatutnya pula kita berubah daripada keadaan yang baik kepada keadaan yang buruk.

Memang sejak kebelakangan ini, saya seringkali berfikir banyak tentang perubahan-perubahan yang berlaku dalam hidup saya, terutama sekali untuk enam bulan terakhir bagi tahun 2010.

Kalau sebelum ini saya hanya boleh melihat orang Jepun di kaca televisyen, akhirnya dapat juga saya bertemu, bercakap, dan berkawan dengan orang Jepun sendiri. Ini satu perubahan yang sangat berharga dan menggembirakan diri saya. Terima kasih saya ucapkan kepada junior saya, Yuki, yang membawa saya ke mana-mana peluang untuk beramah mesra dengan orang Jepun. Saya dapat beramah mesra dengan gadis Jepun yang saya sukai dan saya harap Yuki nanti mendapat "ikemen" yang dinanti-nantikannya selama ini.

Kalau sebelum ini saya kononnya dikatakan lebih kurus ketika berada di maktab perguruan, kini saya terbukti jauh lebih gemuk dengan berat yang melebihi 80kg dan saiz pinggang yang melebihi 35. Saya memandang perkara ini sebagai perubahan positif kerana saya percaya ianya lambang hati saya senang dengan kehidupan sejak-sejak ini. Ianya seolah-olah suatu lambang bahawa saya tak perlu berfikir tentang pandangan orang lain terhadap diri saya. Namun begitu, saya terpaksa memandang kegemukan saya sebagai sesuatu yang negatif atas dua sebab. Pertama, ianya membuatkan saya terpaksa mencari seluar baru, lebih-lebih lagi ayah saya tidak akan memberi duit untuk itu. Kedua, ianya semakin melemahkan stamina saya. Saya ingatkan dengan menjadi gemuk, boleh jadi kuat dalam mengangkat barang. Rupa-rupanya lagilah membuatkan saya jadi lebih semput. Tapi pada masa yang sama pula, saya tidak dapat membendung nafsu makan saya. Jadi, saya harap saya boleh menjadi seorang yang kuat makan tapi mengekalkan bentuk badan ideal.

Kalau dahulu saya seperti orang yang tiada kerja apabila cuti menjelma, bosan sana-sini, tapi kini saya agak sibuk di waktu siang dengan benda-benda internet seperti aktiviti muat turun dan muat naik dan penulisan blog. Kalau saya tiada idea di blog ini, saya boleh beralih ke blog lain pula. Kalau tak di Blogger, saya akan pergi ke Tumblr pula. Tinggal satu saja masalah yang tinggal, yakni kebosanan di malam hari. Itu yang akan saya cuba ubah pada masa hadapan.

Saya mahu melupakan perkara-perkara yang menyedihkan pada masa lepas tapi percaya atau tidak, perkara yang ingin kita lupakan itulah perkara yang paling susah untuk dilupakan. Jadi, saya wujudkan tekad untuk mengatasinya dan saya cuba isi masa saya dengan lebih baik, dengan harapan perhatian saya boleh dialihkan kepada sesuatu yang lebih membahagiakan.

Akhir kata, saya di sini mengucapkan Salam Maal Hijrah - 1432H kepada seluruh umat Islam bukan sahaja di seluruh Malaysia, tapi juga di seluruh dunia yang sama-sama meraikan tahun baru Islam.