Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog! Hari ini saya ada satu cerpen yang ingin dikongsikan bersama dengan anda. Cerpen ini BUKAN hasil karya saya, tetapi hasil karya seorang penulis yang bernama Nordin Saad. Saya telah membaca cerpen ini ketika ianya disiarkan dalam akhbar Berita Harian pada 15 Mei 2011. Cerpen ini begitu menarik minat saya sehingga saya masih ingat tajuknya walaupun setelah sekian lama membacanya. Apabila mahu mencari cerpen ini melalui online, mujurlah saya masih ingat akan tajuknya dan mujur juga cerpen ini ada di dalam arkib Berita Harian Online. Dapat juga saya copy paste dan kongsikan dengan anda di sini.
--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------RAZALI tidak menyangka sama sekali. Air mata lelakinya tumpah juga akhirnya. Sudah beberapa kali dia berjaya mempertahankannya. Tapi, tidak pada petang itu. Petang itu, dia tewas jua. Itulah hakikat yang harus diterima. Dia sendiri tidak menyangka, betapa air matanya begitu mudah gugur tanpa disedari pada petang itu. Walaupun sedaya upaya dia cuba mengelaknya. Malah, dia sudah berjanji pada dirinya. Dia tidak mahu air jernihnya itu gugur. Lebih-lebih lagi di hadapan anak perempuan tunggalnya, Nordiana Humairah. Dia pasti, anak gadisnya yang berusia 19 tahun itu terkejut apabila melihat air mata seorang lelaki yang amat dikaguminya, tiba-tiba gugur. Gugur hanya dengan sepinggan bihun goreng berkuah laksa.
“Papa menangis?”
Razali diam. Matanya yang kemerah-merahan itu disapunya lembut. Beberapa titik air jernih kelihatan jatuh membasahi jari-jemari tangan kanannya. Perlahan-lahan dia menggeleng, namun akhirnya dia mengangguk lemah.
“Kenapa...”
Razali menggeleng lagi beberapa kali.
Nordiana Humairah memerhati papanya dengan penuh kasih sayang. Bihun goreng berkuah laksa yang sedang dinikmatinya itu di tolak ke tepi dengan cermat. Matanya tetap dihalakan ke wajah Razali yang duduk di hadapannya itu. Sememang begitu sikapnya. Nordiana Humairah amat menghormati papanya. Setiap tutur kata papanya akan didengari penuh teliti. Tidak pernah sama sekali dia membelakangi papanya atau menoleh ke arah lain tatkala bercakap dengan papanya. Itulah pesanan mamanya yang tidak mungkin dilupainya. Dia masih ingat sangat pesanan itu, walaupun mamanya sudah hampir tiga tahun pulang ke Rahmatullah. Dan pesanan arwah mamanya masih terus utuh dalam fikirannya seperti teguhnya ingatan Nordiana Humairah kepada mamanya itu. Pemergian mama bukan bermakna putusnya segala hubungan yang terjalin tatkala hidupnya. Begitu kata-kata papa yang sentiasa segar dalam ingatannya.
“Kenapa papa... Kenapa...”
Razali cuba tersenyum. Namun, air mata yang masih membasah itu gagal menyerlahkan senyumannya.
Kali ini Nordiana Humairah yang akan menduduki peperiksaan Sijil Tinggi Persekolahan Malaysia pada akhir tahun nanti hanya mendiamkan diri. Dia rasa serba salah dengan pertanyaannya tadi. Matanya merenung sayu ke muka Razali yang berusia awal lima puluhan itu. Sekali-sekala matanya menjeling ke arah pinggan kaca putih jernih yang berisi bihun goreng berkuah laksa itu. Tinggal separuh lagi makanan kegemarannya dalam pinggan itu. Seleranya pada makanan itu tidak pernah pudar. Itulah makanan kegemarannya sejak dari zaman kanak-kanak lagi. Dia sendiri tidak menyangka betapa bihun goreng berkuah laksa yang menjadi makanan kegemaran arwah mamanya, kini dia pula yang mewarisinya.
“Mama masak kuah laksa?”
Puan Hamizah tersenyum. Dia memandang ke muka Nordiana Humairah. “Kenapa, tak suka?”
“Eh, eh mama ni. Suka la, Umai boleh makan laksa.”
“Tapi, mama hanya masak kuahnya saja. Laksanya tak ada.”
“Nanti, Umai suruh papa belikan laksanya.”
Puan Hamizah hanya tersenyum.
Nordiana Humairah diam. Dia memerhati mamanya yang sedang sibuk menyiapkan kuah laksa itu. Baunya amat menyelerakan sebaik sahaja Puan Hamizah mengacaunya tatkala kuah itu mulai mendidih.
“Sedap betul baunya...” Nordiana Humairah tidak dapat menyembunyikan seleranya yang tiba-tiba terbuka itu.
“Mama gunakan ikan kembung segar. Kuahnya rasa manis dan berlemak. Ditambah dengan asam keping dan sedikit belacan. Cili kering yang dihancurkan mama masukkan secukupnya agar rasa pedasnya terkawal. Bunga kantan pula untuk menambah rasa dan baunya.” Puan Hamizah membocorkan resepinya.
“Kalau ikan lain boleh tak kita gunakan, mama?”
“Boleh... Kita boleh gunakan ikan selayang, malah ada orang yang gunakan belut sebagai bahan untuk membuat kuah laksa.”
“Heeee... Umai tak nak lah. Geli Umai tengok rupa belut tu.”
“Ala kalau dah masak, mana nak rasa gelinya lagi. Ditambah pula dengan asam garam dan perencahnya.”
“Mama ni pandailah masak kuah laksa.” Nordiana Humairah memuji.
“Puji-puji mama tu, mama tau la... Kejap lagi bolehlah kita makan.”
Nordiana Humairah tersenyum manja
“Tentu arwah nenek pun pandai masak kuah laksa?” Nordiana Humairah cuba menyiasat.
Puan Hamizah tidak terus menjawab. Dia merenung ke muka anak kesayangan itu.
“Agak-agak Umai … arwah nenek pandai tak?”
“Yalah … kalau kuah tak tumpah ke nasi, ke mana lagi?”
“Tapi, ini kuah laksa ….” Gurau Puan Hamizah dituruti deraian ketawa kedua-dua beranak itu.
“Papa pun nak bihun goreng berkuah laksa,” Razali memecah kesunyian.
“Papa … nak?” Nordiana Humairah menyoal kembali dengan teragak-agak.
Razali mengangguk sambil tersenyum yang dibuat-buat.
“Tapi papa kan tak suka makan bihun goreng dengan kuah laksa?”
Razali hanya membisu mendengar kata-kata anaknya itu.
“Kalau papa nak bihun goreng pun ada. Nanti Umai hidangkan. Laksa pun ada, pa. Dah Umai sediakan untuk papa.”
“Tapi, hari ini papa nak makan macam anak papa makan. Papa nak makan, makanan kegemaran arwah mama. Papa dah berjanji pada diri papa. Papa nak makan makanan kegemaran kedua-dua orang yang amat papa sayangi.”
Nordiana Humairah diam mendengar kata-kata papanya itu. Dia merasakan suatu kelainan pada diri papanya, petang itu. Selama ini, papanya memang tidak suka makan bihun goreng berkuah laksa. Biasanya, kalau dia atau arwah mamanya makan bihun goreng berkuah laksa, papa akan makan bihun goreng sahaja. Ataupun, papanya akan makan laksa. Malah, Nordiana Humairah dan arwah mamanya pasti menjadi bahan sindiran Razali kerana makanan itu. Tetapi, papanya tiba-tiba berubah pada petang itu.
“Papa nak makan bihun goreng berkuah laksa?” Nordiana Humairah menyoal lagi.
“Kalau begitu, nanti Umai panaskan kuahnya dulu.” Nordiana Humairah bingkas bangun untuk memanaskan kuah laksa yang sudah tersedia di dalam periuk di atas dapur.
“Yalah, anak papa.”
Nordiana Humairah tersenyum manja.
Razali hanya memerhati anak kesayangannya itu bergegas ke dapur. Dia amat mengagumi sikap anaknya itu. Tidak ubah seperti arwah Hamizah. Tidak ada perkataan yang boleh menyinggung perasaannya dalam kamus hidup kedua-dua insan kesayangannya itu. Namun, ternyata Allah lebih menyayangi isterinya. Dalam sekelip mata saja, orang yang amat disayangi itu diambil-Nya. Razali tetap reda dengan pemergian Hamizah, walaupun hatinya begitu sedih dan kecewa. Malah, pada hari pengkebumian jenazah arwah Hamizah, Razali terasa amat sukar untuk meninggalkan tanah perkuburan isterinya itu. Dia ingin saja tinggal di situ. Di sisi kubur orang yang amat disayanginya. Hanya pujukan anaknya Nordiana Humairah yang mampu melembutkan hati Razali. Dia akhirnya menyedari kesilapan dan menerima hakikat betapa hidup di dunia hanyalah sementara. Tiba masanya kita akan kembali kepada-Nya. Itulah yang berlaku kepada Hamizah setelah diserang angin ahmar secara tiba-tiba. Namun, Razali pulang ke rumahnya dengan segumpal tanah kubur arwah Hamizah!
“Nampaknya menu kita hari ini, laksa sajalah,” usik Razali.
Puan Hamizah tersenyum. Perlahan-lahan dia mengangguk sambil mencedok kuah laksa dan menuangkan ke dalam mangkuk.
“Jimat ... kan?”
“Yalah, jimat. Tapi perut abang ni, kalau tak masuk nasi rasa macam kosong saja.”
“Kalau gitu, nanti Mizah masakkan nasi.”
“Lauknya?”
“Ikan goreng semalam kan ada lagi dalam peti sejuk tu.”
“Kuahnya?”
“Kuah laksa inilah,” sahut Puan Hamizah sambil tersenyum.
“Yalah tu. Janji ada nasi. Perut abang ni, tak macam perut Mizah. Perut abang, perut nasi. Perut Mizah … perut laksa.”
Tiba-tiba satu cubitan berbekas di lengan kiri Razali. Dia menjerit kesakitan.
“Hah … ambil. Lain kali perli orang lagi.”
“Taklah. Kan itu kenyataan. Berkata benarlah, walaupun pahit.”
Secepat kilat, satu lagi cubitan hinggap pada sasarannya.
“Aduhhh ….”
“Nak lagi?”
“Nak … tapi nak laksa.”
“Nak betul ke laksa tu atau nak main-mainkan kita. Nampak ni?” Puan Hamizah menunjukkan senduk yang sedang dipegangnya.
“Nak betullah. Nak makan macam orang yang kita sayang makan juga.”
“Yalah, tapi jangan mengadu kata perut kosong … perut tak penuhlah. Laksa ni makanan tradisi Mizah. Tak ada laksa tak sempurna hidup.” Gurau Puan Hamizah lagi.
“Hah, ini bihun goreng dengan kuah laksanya, papa.” Suara Nordiana Humairah mengejutkan Razali. Dia meletakkan sepinggan bihun goreng yang sudah tersedia dengan kuah laksa yang masih berasap.
“Sedap betul baunya. Pandai anak papa masak,” puji Razali.
“Makan dulu pa, baru puji. Jangan-jangan baunya saja yang sedap,” sahut Nordiana Humairah sambil tersenyum. Dia duduk di hadapan papanya.
“Papa tau. Anak papa kan pandai masak kuah laksa. Macam arwah mama juga.”
Nordiana Humairah diam mendengar pujian Razali. Dia segera duduk kembali di hadapan papanya .Wajah papanya itu direnung.
“Kenapa selera papa tiba-tiba berubah?”
Razali tidak terus menjawab. Dia hanya tersenyum. Tangannya yang sedang memegang sudu itu, digerak-gerakkan ke kiri dan ke kanan untuk mengacau bihun goreng berkuah laksa di hadapannya.
“Papa teringatkan mama?” Nordiana Humairah cuba menduga hati papanya.
Wajah Razali tiba-tiba berubah. Bihun goreng berkuah laksa yang dihidangkan buat pertama kali untuknya ketika dia berkunjung ke rumah arwah Hamizah pada awal perkenalan mereka terbayang kembali. Dia masih ingat, dia tidak dapat menjamah sedikit pun makanan yang begitu asing dengannya itu. Tindakannya itu amat mengecewakan arwah Hamizah. Hampir tiga bulan, arwah Hamizah merajuk kerana peristiwa itu.
“Papa!”
Razali merenung sayu ke muka anaknya yang seiras dengan wajah arwah Hamizah itu. Malah, dia akui Nordiana Humairah turut mewarisi kecantikan arwah Hamizah pada zaman mudanya. Perlahan-lahan Razali mencapai tisu yang tersedia di situ. Dia mengelap lembut matanya yang terus berair itu.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan