Pada petang ini, hati saya cukup tersentuh disebabkan oleh kemurahan hati seorang pakcik penjual rojak. Tadi saya dalam perjalanan untuk mencari stok makanan demi meneruskan kelangsungan hidup hari-hari yang mendatang. Saya pergi ke pasaraya Giant berdekatan dengan asrama untuk mencari stok makanan. Saya pergi ke pasaraya tersebut kerana harga barangnya murah dan saya dapat lebih banyak pilihan di situ berbanding di tempat lain. Sebelum saya menjejakkan kaki untuk masuk ke dalam pasaraya, saya mengambil keputusan untuk singgah di sebuah gerai berdekatan dengan pintu pasaraya tersebut. Gerai tersebut hanyalah sebuah gerai kecil yang menjual rojak pasembor dan cendol. Sebenarnya, sudah lama saya memerhatikan gerai tersebut. Tunggu masa saja untuk datang dan makan di situ. Nak dijadikan cerita, saya pun singgah sebentar untuk makan rojak pasembor memandangkan saya masih belum makan lagi sejak bangun daripada tidur.
Saya pokai sejak seminggu yang lalu. Bila saya jadi pokai, saya baru nak berkira. Sebagai contoh, kalau saya tak pokai, saya tidak berkira. Saya tidak akan tanya harga makanan yang saya makan. Berbeza apabila saya pokai, saya akan tanya harga setiap makanan yang saya akan makan. Ketika saya ingin makan rojak pasembor tadi, saya bertanyakan harga terlebih dahulu. Harga rojak pasembor tersebut adalah RM3. Saya pun duduk dan tunggu rojak saya sampai.
Pakcik penjual tadi pun datang menghidangkan rojak pasembor. Setibanya dia di meja saya, pakcik tersebut mengatakan bahawa dia belanja rojak pasembor tersebut. Eh?! Tak pasal-pasal. Saya bukannya pelanggan setia kedainya. Saya baru pertama kali datang ke kedainya, dah dapat makan percuma??? Pakcik tersebut mengatakan bahawa rojak tersebut adalah rojak terakhir untuk hari ini, sebab itu dia belanja. Hanya disebabkan rojak terakhir, terus saja dia belanja? Pada fikiran negatif saya, mungkin sebab ada bahan yang tidak cukup untuk diletakkan seperti mana yang dia patut letak untuk rojak yang dijual lebih awal. Tapi kenapa mesti belanja saya? Pakcik tersebut berhak untuk meminta bayaran dengan harga makanan yang lebih rendah kalau dia mahu. Saya cuba berkeras untuk membayar harga rojak pasembor tersebut, tapi pakcik tersebut masih menolak. Ternyata apa jua bentuk pemikiran saya, tetap tidak dapat menandingi keikhlasan dan kemurahan hati pakcik tersebut.
Jadi, saya makan rojak pasembor tersebut dengan rasa penuh terharu. Kalau hati saya lembut sikit, saya mungkin sudah mengalirkan air mata. Kenapa saya rasa begitu? Sebab saya merasakan seolah-olah pakcik tersebut memahami keadaan saya. Tidak. Tidak juga sebenarnya. Dia tidak mengenali siapa saya, jadi macam mana dia boleh tahu situasi saya. Saya segera sedar yang semua ini sebenarnya satu ketentuan Tuhan, kerana hanya Tuhan yang satu tahu situasi sebenar saya! Betul kata orang, kalau kita ingat Tuhan sentiasa ada untuk beri kita rezeki, Tuhan akan beri pada esok hari walaupun hari ini poket kita betul-betul kosong. Tapi jangan dilupa bahawa semua itu perlu disertakan niat dan usaha yang murni untuk meneruskan kehidupan. Banyak lagi perkara yang ditunjukkan kepada saya sebagai tanda kurniaan dan bantuan Tuhan terhadap saya sejak seminggu yang lepas, dan peristiwa hari ini hanyalah salah satu daripada-Nya. Tuhan tidak memberi kurniaan dan rezeki kepada kita terus turun dari langit. Tidak. Tidak sama sekali. Tuhan memberi kita kurniaan dan rezeki setelah kita berdoa, berharap, berusaha, dan Dia menyampaikannya menerusi orang-orang sekeliling kita yang berhati mulia. Tuhan saja yang dapat membalas kemurahan hati orang-orang yang telah membantu saya selama ini.
Disebabkan itu juga, saya hairan kenapa ada sekelompok manusia di dunia ini yang tidak percaya terhadap kewujudan Tuhan. Atheis? Saya mengutuk golongan ini. Apa, semua perkara yang berlaku di dunia ini terjadi dengan sendirinya? Itu satu fahaman yang paling mengarut yang saya pernah dengar. Minta-mintalah kita semua dijauhkan daripada fahaman sesat sebegitu.
Saya pun bukanlah hamba Tuhan yang baik. Saya pun sering terlupa. Mujur ada Tuhan yang mengingatkan saya. Sekurang-kurangnya, ingatlah bahawa Tuhan itu wujud. Tuhan itu sentiasa bersama kita pada setiap masa. Tuhan itu pasti ada!
5 ulasan:
rezeki 2 dtgnye dr y maha esa...^_^
tuhan pasti ada...kepercayaan dan keyakinan tu sgt penting...ada orang percaya tp tak yakin...lepas ni ko kna lebih brhemah ok...bkn pe, kita blajar cara hidup..hehe..but i know u can make it coz u have survived for the last 7sems...la tahzan papa, Allah sentiasa ada...yakin~
next time, nak pi mkn pasembor kat tpt pcik tu la.. ^^
terharu jugak baca cerita ni. boleh masuk reader's digest! :)
Aphyx: Thanks for the advice, Afiq... Ya, aku yakin Allah sentiasa ada. =)
Dewi: Baik ko pegi sebelum balik Sabah. Tapi niat kena btol. =P
nn: Ada dah org kata hasil penulisan saya boleh masuk Mastika, suratkhabar, dan dari anda, Reader's Digest. Terima kasih. Semuanya saya anggap sebagai motivasi untuk saya lebih baik dalam penulisan blog. Kebanyakan entri yang saya tulis di sini adalah hasil renungan, buah fikiran dan pengalaman hidup saya dan juga orang lain... =)
Catat Ulasan