Pada hari Sabtu yang lepas, 13 Februari 2011, merupakan hari keramat bagi saya dan 12 orang rakan yang lain kerana pada hari itu, kami pergi mendaki Bukit Broga. Bukit Broga terletak di kawasan Semenyih, Selangor, dan boleh dikatakan tidak jauh dari rumah saya yang terletak di Bandar Teknologi Kajang. Kami bertolak dari Shah Alam pada jam 3 pagi dan tiba di Bukit Broga pada jam 4.30 pagi. Setelah tiba di kaki bukit, kami berkumpul dan menyalakan lampu suluh masing-masing, lalu terus memulakan pendakian Bukit Broga. Kira-kira jam 6 pagi, kami selamat tiba di Puncak 3 Bukit Broga, yakni puncak tertinggi di bawah kata nama Bukit Broga. Ada puncak yang lebih tinggi, tetapi namanya Gunung Tok Wan kalau tidak silap saya.
Saya menerima jemputan rakan untuk menyertai aktiviti ini dan saya menyertainya atas sebab saya suka melakukan apa jua aktiviti bersama rakan-rakan sekiranya saya tidak mempunyai masalah dari segi kewangan dan kelapangan masa. Namun begitu, saya mengalami kejutan besar ketika melakukan aktiviti pendakian Bukit Broga! Saya telah dimaklumkan bahawa aktiviti ini bercorak santai dan saya agak saya boleh menjalaninya tanpa sebarang masalah tetapi hakikatnya tidak! Saya yang selama ini berada di zon selesa, tiba-tiba terpaksa mendaki bukit yang curam dalam kegelapan! Saya semput sampai rasa nak termuntah! Tolonglah, kalau nak mendaki bukit, berilah peluang kepada orang macam saya ini untuk membina stamina beberapa hari atau seminggu sebelum aktiviti dijalankan.
Cukup dengan omelan yang tidak berkesudahan, mari lihat highlight aktiviti pendakian Bukit Broga.
Lihatlah saya yang kepenatan dengan muka berkerut dan kaki terlunjur. Bagus betul orang yang edit gambar ini. Tidak perlulah saya edit untuk menunjukkan efek kepenatan saya.
Raut wajah saya sangat serius sepanjang aktiviti pendakian dijalankan. Faham-faham sajalah.
Ribuan terima kasih diucapkan kepada Encik Mohamed Rizal yang sudi membawa beg sandang saya sepanjang aktiviti pendakian. Anda kelihatan macho dengan janggut yang saya baru nampak pada tahun ini.
Hanya dua orang gadis yang menyertai aktiviti pendakian Bukit Broga. Cik Nadhirah Saidah (kanan) kelihatan agak tenang dengan aktiviti pendakian tapi Cik Emisahida (kiri) agak tergugat semangatnya seperti saya.
Bagaimana dengan puncak-puncak di Bukit Broga? Ada tiga puncak utama kesemuanya di situ. Biar saya tunjukkan bermula dengan Puncak 3.
Ini Puncak 3. Ianya merupakan puncak yang agak sempit dan bertambah sempitnya apabila semakin ramai orang berkumpul di puncak ini. Kami mengharapkan peluang untuk melihat matahari terbit di sini tapi nampaknya bukan rezeki kami untuk memperolehnya pada hari itu. Matahari itu memancarkan sinarnya (kalau tak, takkanlah boleh jadi siang kan) tetapi rupa bentuk matahari terbit yang jelas tidaklah begitu kelihatan. Puncak 3 bukanlah puncak yang lebih baik daripada puncak 1 dan 2. Malang sekali, di puncak 3 jugalah kita boleh lihat pembuangan sampah yang agak berleluasa. Perjalanan naik ke puncak 3 juga agak sukar disebabkan oleh batu-batu yang boleh membuatkan kita tersepit di situ. Mujurlah ada tali bantuan diikat pada batu-batu tersebut.
Ini pula Puncak 2 yang lebih baik daripada Puncak 3.
Ini Puncak 1 dari pandangan Puncak 2. Cantik kan? Rakan saya, Encik Bahari Azhar mencadangkan supaya dibuat satu laluan yang menyerupai Tembok Besar China di sini. Jalan naik ke Puncak 1 sangat curam (tidak dapat dilihat dari gambar ini) dan mental anda perlu kuat untuk mengharungi curam tersebut.
Saya ingin berikan Anugerah Pendaki Paling Rileks kepada Encik Nazri. Lihat saja gaya pemakaian bersahaja seperti gaya untuk berjalan-jalan di Plaza Masalam (dakwaan beliau), tidak membawa beg mahupun memakai kasut atau crocs. Tidak merungut kepenatan mahupun menangis. Siap gigit lalang lagi di Bukit Broga.
Akhirnya, kami turun kembali di kaki Bukit Broga dan sempat mengambil gambar bersama-sama sebelum pulang ke Shah Alam.
Soalan yang kerap kali diajukan kepada saya adalah "Mahukah mendaki bukit sekali lagi?" Jawapan saya, "OH TIDAK!"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan