Pengikut Kembali Pulang

Ahad, 21 Disember 2014

JAHANAM

"Jahanam" merupakan sebuah novel nukilan Hasrul Rizwan dan diterbitkan oleh Buku Fixi. Novel ini mengisahkan tentang Jasuli yang cuba membalas dendam atas kematian tunangnya. Bagaimanakah caranya Jasuli melunaskan dendam tersebut? Adakah dia berjaya membalas dendam di akhir cerita?


Novel "Jahanam" merupakan novel ketiga yang ditulis oleh Hasrul Rizwan untuk terbitan Buku Fixi selepas Murtad (2012) dan Tuhan (2013). Ramai peminat karya Hasrul Rizwan tertanya-tanya sama ada novel ini merupakan sambungan kepada dua novel tersebut. Hakikatnya, novel "Jahanam" bukanlah sambungan novel "Murtad" dan "Tuhan" tetapi novel ini ada menampilkan cameo Adam dan Akhil (watak utama novel "Murtad') dalam salah satu bahagian plot cerita.

Novel ini mengetengahkan tema jenayah yang dihiasi dengan elemen aksi yang mendebarkan seperti aksi tembak-menembak dan kejar-mengejar yang sememangnya tidak asing dalam novel tulisan Hasrul Rizwan. Elemen komedi dan cinta turut diselitkan sebagai penambah perisa dan hiburan emosi buat pembaca yang inginkan sedikit kelonggaran atau rasa lapang dalam menghadam intipati karya yang bercorak pulp fiction ini. Oh ya, sedikit elemen seram turut diselitkan dengan sebab yang munasabah.

Hasrul Rizwan telah membuat satu percubaan yang baik dengan memasukkan elemen mindfuck ke dalam cerita. Sedikit sebanyak elemen tersebut membuatkan karya terbaru kali ini tampil sedikit berbeza berbanding karyanya yang lepas. Mindfuck atau senggama minda (jika diterjemahkan terus ke Bahasa Melayu) merupakan suatu teknik penceritaan yang memperdaya pembaca kerana ia menyebabkan persepsi awal pembaca terhadap jalan cerita dan watak berubah sama sekali apabila hakikat sebenar dibongkar menjelang penamat cerita. Secara ringkas, mindfuck merupakan sejenis plot twist dalam teknik penceritaan.

Saya ingin berikan taraf 5 bintang buat novel ini tetapi perasaan saya jadi bercampur-baur setelah terkena elemen mindfuck ketika menghampiri penghujung cerita (saya suka plot twist tapi saya agak sensitif dengan elemen mindfuck), dan novel ini lebih menghiburkan berbanding "Tuhan", jadi saya bagi taraf 4.5 bintang walaupun taraf sebegitu tiada di Facebook reading list mahupun Goodreads.

Novel ini mengandungi 29 bab tidak termasuk prolog dan epilog. Dengan jumlah 274 mukasurat, novel ini tergolong dalam novel saiz biasa untuk terbitan Buku Fixi. Novel ini boleh jadi salah satu koleksi yang membanggakan buat pengumpul hasil nukilan Hasrul Rizwan.

P/s: Anda akan tertanya-tanya mana datangnya tajuk "Jahanam" tu. Boleh jadi ianya merupakan perkataan yang melambangkan dendam Jasuli kepada si pembuat onar atau banyak perkara yang dah jahanam dalam cerita ni. Paling best, mungkin perkataan "jahanam" akan keluar dari mulut anda setelah selesai membaca novel ini!

Tiada ulasan: