Pengikut Kembali Pulang

Khamis, 13 Januari 2011

SAYA SEORANG PEJALAN KAKI

Hari ini rekod telah tercipta...


The Malaysia Book of Records? Eh, tak adalah sampai begitu sekali... Sekadar rekod peribadi. Apa rekodnya? Jeng jeng jeng...

Pada hari ini, hari Khamis, bertarikh 13 Januari 2010, saya telah berjalan kaki dari Fakulti Pendidikan UiTM di seksyen 17 ke Kolej Kediaman Cemara yang berada di seksyen 18, Shah Alam.

"Hek eleh, satu seksyen je pun... Apa nak kecoh?"

Itu kata orang yang tak pernah duduk sekitar kawasan yang disebutkan atau tak tahu dengan pembahagian seksyen di Shah Alam. Kalau anda termasuk dalam golongan tersebut, sila baca penerangan seterusnya.

Bagi saya, pembahagian seksyen di Shah Alam adalah pembahagian seksyen yang paling kelakar yang saya pernah jumpa. Bolehkah anda bayangkan jarak antara Seksyen 18 dan Seksyen 24? Bezanya enam seksyen dan bunyinya macam berjarak jauh bukan? Tapi kalau diukur dari segi jarak perjalanan sebenar, saya boleh katakan bahawa Seksyen 24 hanyalah berjarak seberang jalan dari Seksyen 18. Anda berada di Seksyen 18 dan kemudian anda hanya perlu melintas ke seberang jalan untuk pergi ke Seksyen 24. Tak sampai 5 minit untuk anda berbuat demikian melainkan kenderaan yang lalu-lalang itu terlampau banyak.

Bagaimana pula dengan jarak antara Seksyen 17 dan Seksyen 18? Ianya berjarak lebih dua kilometer kerana dengan jarak seperti itulah ramai orang lebih rela naik kenderaan awam atau kenderaan sendiri berbanding berjalan kaki.

Kenapa pula saya berjalan kaki dari Seksyen 17 ke Seksyen 18?

Pertama sekali, anda perlu tahu bahawa saya tiada kenderaan sendiri seperti motor atau kereta. Lesen memandu pun tiada. Jadi, saya akan menumpang kereta kawan atau menaiki bas.

Nak dijadikan cerita, hari ini kelas saya habis pada pukul 10.20 pagi. Nak balik asrama dengan menumpang kereta kawan, semuanya tinggal di fakulti untuk menelaaah pelajaran di perpustakaan. Nak tumpang motor, saya dah tak terlibat lagi dengan sebarang aktiviti pemboncengan motor secara harian buat masa ini kerana saya tidak lagi membawa helmet saya ke asrama. Nak naik bas UiTM, waktu bas tersebut berulang-alik telah tamat pada pukul 10 pagi dan akan disambung semula pada pukul 12.30 tengahari. Nak naik bas awam, bas tersebut baru saja berlalu dengan sangat pantas di depan mata saya, ketika saya hendak ke seberang jalan untuk menunggu bas. Nak harap kekerapan bas untuk datang sekali lagi? Tak payah la. Dengan tidak semena-mena, idea untuk berjalan kaki datang di fikiran.

Sebab apa saya sanggup untuk melakukan perkara ini yang dianggap gila atau kesian bagi sesetengah orang? Antara sebabnya:

1. Saya seorang lelaki yang masih kuat kakinya dan banyak lemak yang patut digunakan untuk membakar kalori dan menjana tenaga.

2. Saya sudah biasa berjalan kaki dalam 1 hingga 3 kilometer apabila saya berada di Kajang. Selain berjalan kaki, saya akan menaiki bas. Saya hanya akan menaiki teksi sekiranya saya membawa barang yang sangat banyak ataupun saya pemalas dan banyak duit dalam dompet pada masa itu.

3. Saya agak mengejar masa untuk hari ini kerana ada benda yang perlu saya selesaikan. (Tapi saya tak tahu kenapa pula saya ada masa untuk menulis entri ini.)

Hasil perjalanan tadi, saya sendiri berasa kagum. Rupa-rupanya saya masih mampu bergerak sejauh itu dengan hanya berjalan kaki. Penat tetap ada tapi tidaklah sehingga rasa nak pengsan. Tidak. Malah terdetik hati berkata, "Kalau hari-hari macam ni, badan boleh jadi sasa." Cuma tidaklah saya lakukannya ketika hendak pergi ke kuliah sebab ianya akan membuat baju menjadi basah lencun disebabkan peluh. Jadi, ianya hanya sesuai untuk dilakukan ketika dalam perjalanan pulang, dan juga cuaca cerah. Kalau buat ketika hujan, memang habis basah lencun dan pada masa yang sama ianya tidak begitu menyihatkan.

Mungkin ada orang menganggap rekod peribadi saya pada hari ini adalah suatu keterujaan yang aneh dan remeh. Mungkin ada betulnya, memandangkan ramai lagi orang yang berjalan di atas muka bumi ini dengan jarak yang lebih jauh dengan pelbagai pengalaman yang tidak terkata. Siapa tahu?

Entri ini saya tulis buat diri yang hanya sekadar mahu mengingati hari-hari sebagai seorang pejalan kaki. Hari ketika saya menggunakan sepasang kaki yang sihat untuk pergi ke mana-mana tempat yang saya suka.



2 ulasan:

nadiahs berkata...

lorhhhhhhhhhhhhh!!!
comel nye cite pasal jalan kaki!
adoiiiI~

Anwar Junichi berkata...

hahaha "comel" lagi katanya... XD