Pengikut Kembali Pulang

Isnin, 16 Julai 2012

APA DAH JADI?

Susah sangatkah untuk berkahwin? Kalau perkahwinan itu sukar, kenapa ramai pemuda-pemudi sekarang berlumba-lumba kahwin awal ketika mereka sedang berada di institut pengajian tinggi? Kalau perkahwinan itu mudah, kenapa masih ada pemuda-pemudi yang bercumbu-cumbuan di tempat awam dengan pasangan masing-masing walaupun mereka belum berkahwin? Azmil rasa musykil apabila terfikirkan tentang soal jodoh dan perkahwinan. Dia cuma tahu bahawa jodoh itu ketentuan Tuhan dan kalau sudah bertemu jodoh, ia patut disempurnakan melalui ikatan perkahwinan.

Azmil pernah terbaca satu artikel mengenai jodoh dalam majalah Mingguan Wanita. Dia tidak ingat keluaran yang mana satu, namun dia masih ingat akan kandungan artikel tersebut. Penulis artikel yang juga merupakan pakar pengiraan tarikh lahir mengatakan bahawa kebanyakan graf hayat bagi seseorang individu mempunyai lebih daripada satu peluang untuk bertemu jodoh. Sebagai contoh, katakanlah graf hayat seseorang menunjukkan bahawa dia berpeluang untuk bertemu jodoh ketika berumur 20 tahun dan 40 tahun. Petunjuk tersebut tidak bermaksud bahawa individu tersebut mempunyai peluang untuk berkahwin buat kali kedua, cuma ia memberitahunya bahawa sekiranya terlepas jodoh ketika berumur 20 tahun, dia masih mempunyai peluang kedua ketika berumur 40 tahun. Fakta yang kedengaran menarik bagi Azmil, namun dia sedar bahawa hal jangka hayat seseorang merupakan satu lagi ketentuan Tuhan selain daripada hal jodoh, rezeki, dan ujian hidup.

Azmil pernah melahirkan hasrat untuk berkahwin ketika dia berumur 24 tahun. Pada waktu itu, dia baru sahaja mendapat segulung ijazah yang menjadi kebanggaan ibunya. Berbekalkan pencapaiannya yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan serta ketulusan hati yang dimilikinya, Azmil mengambil langkah berani untuk memberitahu ibu tersayang tentang hasrat murninya yang mahu meminang seorang gadis sunti yang sudah lama bertakhta di hati.

Malang sekali, langit tidak selalu cerah. Ibu Azmil menghalang hasrat murni anaknya habis-habisan dan sudah pasti Azmil memerlukan penjelasan di sebalik tindakan ibunya. Ibu Azmil tidak mahu anaknya berkahwin dalam usia yang begitu muda, lebih-lebih lagi Azmil masih belum mendapat sebarang pekerjaan yang boleh menjamin masa depannya. Kewangan Azmil belum stabil, jadi bagaimana dia boleh menyara anak orang lain? Sedangkan arwah ayah Azmil dahulu yang bekerja sebagai guru pun menghadapi masalah kewangan ketika menyara keluarga walaupun hanya mempunyai dua orang anak, apatah lagi Azmil yang baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.

Perbelanjaan untuk berkahwin bukan sahaja tertumpu pada bayaran mas kahwin dan hantaran. Kalau wang hantaran sahaja sudah mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit, bagaimana pula dengan wang untuk cincin perkahwinan, kenduri-kendara serta nafkah untuk isteri pada setiap bulan? Susah hati ibu Azmil mengenangkan masa dahulu dengan arwah suaminya yang sering menghadapi masalah kewangan ketika mereka hidup bersama. Dia takut perkara yang sama berulang kembali pada diri Azmil. Dia takut Azmil mewarisi kepapaan arwah ayahnya. Jadi, lebih baik kumpul duit banyak-banyak dahulu dan berkahwin beberapa tahun kemudian apabila kewangan telah stabil.

Azmil terpaksa mengikut kehendak ibunya dan melihat orang yang dicintainya secara diam-diam selama ini pergi jauh meninggalkannya dan bertemu jodoh dengan orang lain. Azmil kecewa mengenangkan nasib yang tidak menyebelahi dirinya. Lama juga dia makan hati dengan tindakan ibunya. Rasa kecewa peristiwa lalu masih berbekas dalam jiwanya walaupun ketika umurnya mencecah 34 tahun. Ibu Azmil pernah bertelefon dan bertanya khabar mengenai diri Azmil yang sudah bekerja tetap di sebuah syarikat swasta. Sambil bertanyakan tentang kesihatan anaknya, dia turut bertanyakan tentang soal perkahwinan.

Ibu Azmil bertanya kepada anak bujangnya, “Bila Azmil nak kahwin?”

“Azmil pun tak tahu lagi, mak. Duit masih tak cukup nak buat belanja kahwin,” jawab Azmil berbasa-basi dengan ibunya.

“Sudah lebih 8 tahun bekerja dengan syarikat di Kuala Lumpur, Azmil masih tak cukup duit nak buat belanja kahwin? Azmil buat apa dengan duit gaji?” tanya ibu Azmil kehairanan.

“Azmil guna duit gaji untuk beli kereta, rumah, dan bayar segala bil yang ada, termasuk sekali duit yang Azmil bagi mak setiap bulan. Selebihnya Azmil simpan dalam akaun tabung haji mak. Manalah tahu kalau-kalau tahun depan mak dapat pergi haji. Untung-untung Azmil pun boleh pergi haji lebih awal kalau simpanan sudah cukup banyak,” jawab Azmil panjang lebar.

“Azmil betul-betul tak cukup duit atau Azmil masih mencari-cari calon isteri? Kalau susah sangat, biar mak sahaja yang tolong carikan. Mak percaya duit Azmil sudah cukup. Umur Azmil pun sudah lebih 30 tahun. Elok sangat kahwin cepat-cepat,” kata ibu Azmil.

“Apa mak kata? Kahwin cepat-cepat? Dulu masa Azmil nak kahwin cepat-cepat, mak tak bagi. Memanglah masa tu Azmil tak ada duit banyak tapi paling kurang Azmil ada juga calon isteri. Sekarang Azmil mungkin ada banyak duit tapi kalau tak ada calon yang menepati citarasa Azmil pun susah juga jadinya,” kata Azmil memulangkan paku buah keras kepada ibunya.

Ibu Azmil terdiam. Mungkin terkesima dengan kata-kata anaknya. Dia sudah tidak ada modal untuk berbual dengan anaknya lagi.

“Mak, Azmil kena masuk pejabat sekarang. Waktu rehat sudah habis. Nanti bos marah kalau masuk lambat. Kita sembang lain kali ya, mak. Assalamualaikum.” Azmil menamatkan perbualan dengan ibunya.

Azmil tidak mahu jadi anak derhaka. Dia hanya ada seorang ibu dalam hidupnya. Dia tidak berniat untuk melepaskan kata-kata kasar kepada ibunya. Dia hanya cuba mengulang kembali kata-kata ibunya suatu masa dahulu. Perkahwinan bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang isu kewangan. Bagi sesiapa yang belum mampu dari segi kewangan, elok tangguhkan dulu niat untuk berkahwin sekiranya tiada alternatif yang baik untuk mendapatkan sokongan kewangan. Bagi sesiapa yang yakin bahawa dirinya berkemampuan dari segi kewangan dan sedia menggalas tanggungjawab berkeluarga, barulah elok untuk berkahwin lebih-lebih lagi sekiranya diri merasa khuatir tidak dapat menahan nafsu syahwat.

Azmil mungkin berbohong mengenai mengenai tahap kewangannya, tetapi dia tidak berbohong apabila mengatakan bahawa dia masih belum menemui calon isteri yang betul-betul sesuai untuk dirinya. Dia bukanlah orang yang sangat cerewet. Namun dia berpendapat bahawa tidak salah untuk betul-betul memilih calon isteri yang sesuai memandangkan wanita tersebut merupakan orang yang akan mendampinginya hingga ke akhir hayat. Lebih-lebih lagi Azmil sangat takut melihat kes perceraian yang semakin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Kadang-kadang dirinya tertanya-tanya, apakah punca sebenar masalah tersebut? Kahwin salah, tidak berkahwin pun salah. Kalau berkahwin, boleh pula terjadi kes perceraian. Kalau tidak berkahwin, muncul pula kes anak luar nikah di buang dalam mangkuk tandas. Meremang bulu roma Azmil memikirkannya.

Ketika umur Azmil berada dalam lingkungan 20-an, dia mengambil pendekatan yang aktif dalam soal mencari pasangan hidup. Dia berusaha mendekati wanita yang diminatinya. Oleh sebab itu, ketika Azmil berumur 24 tahun, dia sudah ada calon isteri dalam mindanya. Namun disebabkan oleh penolakan ibunya, dia mengambil pendekatan yang pasif. Dia tidak lagi mendekati wanita sewenang-wenangnya, bahkan dia sentiasa menunggu wanita datang mendekatinya. Kadang-kadang dia seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

Azmil selalu melayari internet dan mempunyai akaun Facebook. Ketika sedang asyik meneliti kata-kata yang terpapar di dinding Facebook, dia terlihat satu gambar panorama Islamik yang disulam dengan kata-kata berbunyi, “Jangan risau akan jodoh yang belum hadir. Kalau diri sudah bersiap sedia, jodoh akan datang dengan sendirinya kepada kita.” Betulkah apa yang dibacanya pada ketika itu? Sejenak Azmil memikirkan kata-kata tersebut. Kalau kata-kata tersebut ditujukan kepada kaum wanita sahaja, memanglah kedengaran sesuai kerana wanita biasanya tidak pergi meminang lelaki. Kalau kata-kata tersebut ditujukan kepada semua orang termasuk lelaki, pelik rasanya. Bolehkah orang lelaki menunggu seorang wanita datang meminangnya? Kalau di Malaysia, perkara seumpama itu adalah mustahil untuk terjadi di mana-mana. Namun Azmil masih pasif dalam soal jodoh.

Azmil leka dengan kerjaya yang dimiliki sehinggalah dia berumur 44 tahun. Setelah sekian lama masa berlalu, Azmil mula merasa suatu kekosongan dalam hidupnya. Ketika orang lain sedang hidup bahagia dengan insan yang mereka sayangi, Azmil masih keseorangan. Dia masih bujang. Ibunya sudah meninggal dunia dua tahun yang lalu. Sayang seribu kali sayang, si ibu tidak lagi berkesempatan melihat anak lelakinya mendirikan alam rumahtangga dengan mana-mana wanita. Pemergian ibunya membuatkan hidup Azmil bertambah sepi. Azmil mula berazam untuk mengubah kesepian yang mencengkam hidupnya.

Pada suatu hari, Azmil menjejakkan kaki ke rumah adik bongsu arwah ibunya yang dipanggil Mak Usu. Sudah lama dia tidak datang menjenguk keluarga Mak Usu. Kali terakhir Azmil berjumpa mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa bulan yang lalu.

Setelah bersalaman dan bertanya khabar, Azmil mula menerangkan tujuan kedatangannya, “Mak Usu, sudah lama kita tak berjumpa. Saya datang kali ini pun sebab ada hajat besar.”

“Hajat besar? Amboi Azmil, macam orang nak masuk meminang bunyinya! Aku tak ada anak dara untuk kau jadikan isteri. Satu-satunya anak perempuan yang aku ada tu bukan anak dara pun. Fauziah kan janda. Umur sudah masuk 40 tahun. Seorang anaknya baru dapat keputusan SPM bulan lepas. Seorang anaknya lagi akan ambil SPM tahun depan. Takkan kau nak masuk meminang Fauziah? Mengarut betul kau ni,” Mak Usu berseloroh. Dia ketawa.

“Kalau betul saya datang nak meminang Fauziah?” tanya Azmil. Serius.

Ketawa Mak Usu terhenti. Diam seketika. Mukanya berkerut. Antara percaya atau tidak percaya dengan kata-kata anak saudaranya.

“Kau jangan main-main dengan hal kahwin,” kata Mak Usu.

“Saya tak main-main, Mak Usu. Saya serius nak memperisterikan Fauziah,” kata Azmil dengan bersungguh-sungguh.

“Tapi dia sepupu kau! Kau anak saudara aku!” bentak Mak Usu.

“Apa salahnya Mak Usu?” tanya Azmil. Dia kehairanan dengan reaksi ibu saudaranya.

“Eh, kau ni belajar agama atau tak? Nabi tak bagi kahwin sepupu, kau tahu?”

“Cuba bawa bertenang, Mak Usu. Seingat-ingat saya, Nabi Muhammad S.A.W. cuma tak galakkan perkahwinan antara sepupu. Tidak menggalakkan bukan bermakna haram hukumnya. Sepupu kita bukannya mahram kita. Air sembahyang tetap batal kalau tersentuh sepupu,” jawab Azmil dengan berhati-hati.

“Aku tak kiralah. Sepupu tetap sepupu. Aku boleh terima kau sebagai anak saudara aku, tapi aku tak rasa aku boleh terima kau sebagai menantu. Kalau arwah mak kau masih ada, aku tak dapat nak bayangkan kalau aku berbesan dengan kakak aku sendiri. Ish, simpang malaikat 44!” kasar Mak Usu menuturkan kata-katanya.

“Astaghfirullah al-azim. Mak Usu, cuba mengucap dua kalimah syahadah. Hina sangatkah saya sebagai anak saudara Mak Usu ingin memperisterikan anak Mak Usu yang juga sepupu saya? Saya datang ke sini dan bercakap elok-elok dengan Mak Usu semata-mata untuk meminang Fauziah dengan cara yang terhormat,” terang Azmil.

“Eh Azmil, sudah tak ada perempuan lain dalam dunia ni lagi ke yang kau terhegeh-hegeh nak kahwin dengan anak aku?” tanya Mak Usu.

“Bukannya tak ada, Mak Usu. Saya sudah cuba tapi tak dapat cari calon lain. Nak buat macam mana? Lagipun saya rasa Fauziah sesuai dengan saya. Saya tak kisah dengan status jandanya. Umurnya tak jauh beza dengan umur saya. Saya boleh terima dirinya dan anak-anaknya. Saya boleh jaga Fauziah, anak-anak Fauziah, dan Mak Usu juga. Saya pilih Fauziah sebab dia saudara-mara saya. Takkan itu pun tak boleh? Takkan itu pun Mak Usu tak sudi tunaikan hasrat saya? Saya cuma inginkan sebuah keluarga. Itu sahaja.”

“Keputusan aku muktamad. Aku takkan berganjak dengan keputusan aku. Kalau kau degil juga, aku risau aku takkan dapat mengaku kau saudara-mara aku,” ujar Mak Usu dengan nada yang sangat tegas.

“Kalau Mak Usu sudah kata macam tu, saya pun tak boleh buat apa-apa. Saya minta maaf banyak-banyak kalau hasrat saya tadi sedikit sebanyak telah mengeruhkan hubungan persaudaraan sesama kita. Niat saya suci nak bina masjid tapi kalau Mak Usu tak suka, nampaknya saya kena terima pendirian Mak Usu. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”

Azmil melangkahkan kaki untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan rasa hiba. Buat kali kedua dalam hidupnya, dia dikecewakan dalam soal jodoh. Lebih malang lagi, buat kali kedua juga dirinya dikecewakan oleh orang yang termasuk dalam senarai ahli keluarganya. Susah sangatkah untuk menunaikan hasrat murninya? Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Permudahkanlah, janganlah dirumitkan.”

Azmil fikir, perkahwinan tidak sepatutnya susah untuk dilaksanakan. Islam itu memudahkan segala aspek kehidupan, maka perkahwinan dalam Islam seharusnya turut sama memudahkan umatnya membina sebuah keluarga yang diinginkan. Malang sekali perkahwinan umat Islam pada hari ini dihiasi dengan unsur-unsur adat dan budaya yang melampaui batas agama. Ternyata pepatah Melayu “biar mati anak, jangan mati adat” adalah pepatah yang sangat relevan, berkesan dan bertahan lama dalam hati masyarakat Melayu di Malaysia.

Azmil melepaskan keluhan yang berat atas nasib yang menimpa dirinya. Namun dia perlu redha dengan ketentuan Tuhan. Dia juga perlu muhasabah diri dan menilai segala perkara yang pernah dilakukannya sepanjang perjalanan hidup selama ini. Adakalanya fikiran yang kusut mengenai soal jodoh dan perkahwinan membangkitkan ingatannya pada bait-bait lirik satu lagu lama pada suatu ketika dahulu. Kalau tidak silap, lagu tersebut didendangkan oleh Tan Sri Dato’ SM Salim. Bait-bait lirik tersebut berbunyi:

Apa dah jadi?
Apa dah jadi?
Sampai sekarang tak kahwin lagi.


Azmil

Tiada ulasan: