Pengikut Kembali Pulang

Memaparkan catatan dengan label Minat Diri. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Minat Diri. Papar semua catatan

Isnin, 23 Januari 2012

AKU PENCARI: HLOVATE'S CROSSOVER?

Assalamualaikum dan salam sejahtera.

Siapakah Hlovate?

Hlovate adalah seorang penulis wanita kelahiran Perak Darul Ridzuan. (Yakin je...) Umur dirahsiakan. Rupa memang tak pernah tengok la. Senang kata banyak latar belakangnya dirahsiakan. Nak siasat pun boleh kot, tapi itu bukan yang ingin diperkatakan sekarang. Sekarang, saya nak cakap pasal karya-karya dia...

Hlovate merupakan seorang penulis di syarikat penerbitan Jemari Seni. Bila cakap pasal Jemari Seni, kita kena tahu bahawa novel-novel yang diterbitkannya sudah pasti bercorak Islamik. Tak banyak, sikit pun mesti ada. Tak percaya? Baca satu.

Siapa-siapa yang tak pernah, tapi nak cuba-cuba baca novel Islamik atau ala-ala Islamik, saya nasihatkan cuba baca novel "Ayat-Ayat Cinta" karya Habiburrahman El Shirazy dulu. Kalau baca yang itu dulu, novel-novel Islamik atau ala-ala Islamik lain semua kemudiannya boleh dilayan tanpa sebarang masalah.

Sebenarnya untuk entri kali ini, saya nak cakap satu sebab saya boleh suka dengan karya-karya Hlovate macam:

Schubert's Serenade
Ked's Story
5 Tahun 5 Bulan
[tunas]
aA + bB
Versus

Sebab apa eh? Sebab, saya suka kalau seseorang penulis tu letak unsur crossover atau sekuel atau prekuel. Paling syok tu crossover la. Sebagai contoh untuk karya Hlovate...


Cerita Schubert's Serenade dalam antologi Gurindam Jiwa ada sedikit crossover dengan cerita 5 Tahun 5 Bulan.


Cerita Ked's Story dalam antologi Pelangi memang terang-terangan crossover dengan cerita Versus. Disebabkan itu juga, saya terpaksa dapatkan segera novel Versus semata-mata nak tahu penamat Ked's Story. Keseluruhan cerita Versus yang menceritakan banyak perkara tentang adik Ked, Minn Edina, tidaklah mengecewakan. Jadi, berbaloi juga beli novel Versus.


Cerita [tunas] memang satu prekuel untuk cerita aA + bB. Jadi, kalau baca aA + bB, memang ada crossover dari [tunas].

Hlovate ni memang suka kot buat crossover/prekuel/sekuel untuk karya dia. As for me, I like it very much! Okey apa kalau kita baca cerita watak-watak yang kita pernah jumpa, tapi kita tak tahu banyak tentang diri mereka. Kiranya macam ada satu lagi cerita dibuat khas untuk menerangkan segala-galanya.

Kalau kita jengah-jengah Hlovate kat Facebook tu kan, memang ada bayangan la dia nak buat macam tu lagi. Contohnya, mungkin cerita untuk Che'E yang merupakan adik Ked dalam Ked's Story dan Minn Edina dalam Versus. Dia pun minta pendapat peminat kalau-kalau ada yang nak dia buat cerita baru tentang watak-watak daripada Mags 7. Seriously, kalau anda tak baca karya-karya Hlovate, anda tak faham apa yang saya celotehkan ni.

P/s: Lepas dapat elaun nanti, nak buru "Rooftop Rant" dan "Contengan Jalanan" kot!

Ahad, 15 Januari 2012

SUDUT PANDANGAN DALAM PENCERITAAN

Sudut pandangan (atau dalam bahasa Inggerisnya "point of view") ialah titik perspektif penyampaian sesebuah cerita. Sudut pandangan menjawab persoalan kita mengenai "dari arah manakah cerita disampaikan?"

Sudut pandangan adalah cara seseorang pengarang mempersembahkan plot cerita kepada pembaca. Sudut pandangan dalam sesebuah cerita dapat menunjukkan bagaimana cara seseorang pengarang itu meletakkan dirinya dalam sesebuah cerita. Dalam sesebuah cerita, ada kalanya pengarang sendiri memainkan peranan sebagai watak, dan adakalanya pula pengarang hanya bertindak sebagai pencerita sahaja, tanpa melibatkan dirinya dalam cerita tersebut. Melalui sudut pandangan yang digunakan, pembaca akan mengetahui sejauh mana pengarang itu menguasai peristiwa-peristiwa atau watak-watak yang dipaparkannya dalam cerita. Secara ringkasnya, sudut pandangan dapatlah dikatakan sebagai pusat penumpuan sesebuah cerita.

Dalam dunia sastera, terdapat tiga jenis sudut pandangan yang digunakan dalam penulisan naratif:

1. Sudut Pandangan Orang Pertama (First-Person View)

Sudut Pandangan Orang Pertama merupakan sudut pandangan yang melibatkan pengarang secara tidak langsung sebagai seorang pencerita kerana pencerita juga merupakan salah seorang watak dalam sesebuah cerita. Pengarang boleh menjadi watak utama atau watak sampingan. Pengarang akan membuatkan pembaca secara tidak langsung menyusuri jalan cerita yang hanya berlegar-legar di sekitar pengetahuan watak si pencerita.

Kelebihan: Pembaca dapat menyelami perasaan dan emosi dalam diri si pencerita.

Kekurangan: Pembaca akan banyak berteka-teki mengenai watak lain, selain watak si pencerita.

Kata ganti nama diri yang biasa digunakan oleh pencerita:

- Aku, Saya, Kami (atau "I" dan "We" dalam bahasa Inggeris).

Jumlah karya yang menggunakan Sudut Pandangan Orang Pertama:

- Tidak terlalu banyak dan tidak terlalu sedikit.

Contoh:

- "Cinta Kontrak" oleh Nurul Ain Syuhada
- "Gulliver's Travels" oleh Jonathan Swift


2. Sudut Pandangan Orang Kedua (Second-Person View)

Sudut Pandangan Orang Kedua merupakan sudut pandangan yang melibatkan pembaca secara langsung sebagai seorang watak dalam cerita dan pengarang pula berperanan sebagai pencerita secara langsung atau tidak langsung bergantung kepada penglibatannya di sekitar pandangan pembaca. Jenis sudut pandangan ini jarang digunakan dalam karya sastera kerana ia memerlukan kesudian pembaca untuk rasa setuju diletakkan dalam cerita yang dianjurkan oleh pengarang, dan biasanya situasi tersebut berlaku dalam cerita yang berunsurkan permainan pengembaraan atau cerita mengenai perjalanan hidup.

Kelebihan: Melatih pembaca untuk meletakkan situasi orang lain ke dalam situasi dirinya.

Kekurangan: Memaksa pembaca untuk menerima hampir semua situasi yang dianjurkan oleh pengarang.

Kata ganti nama diri yang biasa digunakan oleh pencerita:

- Kau, Awak (atau "You" dalam bahasa Inggeris).

Jumlah karya yang menggunakan Sudut Pandangan Orang Pertama:

- Terlalu sedikit.

Contoh:

- "Lone Wolf" oleh Joe Dever


3. Sudut Pandangan Orang Ketiga (Third-Person View)

Sudut Pandangan Orang Ketiga merupakan sudut pandangan yang melibatkan pengarang secara langsung sebagai seorang pencerita kerana pengarang bukanlah mana-mana watak dalam cerita. Pengarang boleh menjadi menjadi pencerita yang fokus pada satu watak sahaja atau lebih daripada itu. Pengarang akan membuatkan pembaca menjadi pemerhati bersama bagi cerita yang dianjurkan.

Kelebihan: Pembaca dapat mengetahui segala perkara asas mengenai watak-watak yang diceritakan.

Kekurangan: Pembaca mungkin kurang mendalami sisi peribadi dan emosi watak-watak yang diceritakan.

Kata ganti nama diri yang biasa digunakan oleh pencerita:

- Dia, Mereka (atau "He", "She", "It", "They" dalam bahasa Inggeris)

Jumlah karya yang menggunakan Sudut Pandangan Orang Ketiga:

- Terlalu banyak.

Contoh:

- Terlalu banyak. Lebih separuh daripada buku yang biasa kita baca.

Jumaat, 25 Februari 2011

OBSESI TARIKH LAHIR - BULAN LAHIR JANUARI

Saya sudah berminat dengan tarikh lahir sejak Tingkatan 2. Sejak Tingkatan 5, saya mula menghafal tarikh lahir hampir setiap orang di sekeliling saya. Jangan tanya mengapa. Ianya sudah menjadi satu tabiat yang tidak terbendung, lebih-lebih lagi apabila ianya seolah-olah menjadi satu kemestian untuk mengetahui tarikh lahir apabila mengenali seseorang. Tarikh lahir merupakan salah satu obsesi yang ada pada saya selain daripada obsesi terhadap makanan, komik, bahasa Melayu, Jepun, dan teori konspirasi.

Pengetahuan mengenai potensi atau sifat diri melalui tarikh lahir merupakan satu cabang pengetahuan yang menarik bagi diri saya. Kaedah yang digunakan adalah satu panduan untuk memahami karakter, sifat positif, negatif, dan potensi setiap individu bagi membuat strategi dan perancangan peningkatan diri sendiri, keluarga dan rakan taulan. Ianya berbeza dengan horoskop yang bersifat ramalan atau tilikan nasib semata-mata. Sudahlah horoskop kini jauh lebih mengelirukan dengan adanya pertambahan simbol yang ke-13.

Saya mengenali diri saya sendiri melalui tarikh lahir berdasarkan dua sumber. Sumber pertama datangnya dari Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, pakar perunding motivasi yang antaranya popular dengan "Rahsia Bulan Kelahiran". Sumber kedua datangnya daripada Rozzani Din yang telah menghasilkan buku "Bongkar - Misteri Tarikh Lahir Anda", yang menekankan aplikasi kaedah ilmu sains metafizik.

Jadi, saya akan membuat dua bahagian entri di bawah tajuk "Obsesi Tarikh Lahir". Setiap satu bahagian akan memaparkan pendedahan mengenai siapa diri saya berdasarkan tarikh lahir saya, dengan setiap satu bahagian adalah berdasarkan sumber yang berbeza. Untuk bahagian pertama ini, "Obsesi Tarikh Lahir - Bulan Lahir Januari", saya akan mengambil pendedahan daripada Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah. Berikut merupakan ciri-ciri yang dikatakan oleh beliau untuk orang-orang yang lahir pada bulan Januari dan saya akan memberikan komen terhadap setiap pernyataan tersebut.


Menurut Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, saya yang lahir pada bulan Januari mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Bercita-cita tinggi, dan orangnya serius, suka mendidik dan dididik.

Komen: Saya akui saya memang seorang yang serius, suka mendidik dan dididik, tapi saya tidak pasti sama ada saya bercita-cita tinggi. Yang pasti, saya hanya mahu menjadi seorang guru biasa.

2. Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik.

Komen: Saya merasakan bahawa saya tidak mempunyai ciri seperti ini. Kalau tidak, saya mungkin terkenal seperti juri American Idol pada masa dahulu, Simon Cowell.

3. Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan.

Komen: Rajin? Tiada bukti saya seorang yang rajin dan setiap perbuatan saya ada untungnya.

4. Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur.

Komen: Mungkin betul dari segi keinginan saya untuk melihat kecantikan dan kekemasan tapi ianya seolah-olah tidak mungkin dari segi amalan saya sendiri untuk kelihatan cantik, kemas, dan teratur.

5. Bersifat sensitif dan berfikiran mendalam.

Komen: Saya tidak pasti jika saya seorang yang bersifat sensitif, tapi saya memang seorang yang berfikiran mendalam.

6. Pandai mengambil hati orang lain.

Komen: Kalau betul saya seorang yang pandai mengambil hati orang lain, agaknya kini saya sudah menjadi seorang jurujual atau pendamai yang berjaya.

7. Pendiam kecuali telah dirangsang.

Komen: Ini merupakan sesuatu yang betul mengenai diri saya.

8. Agak pemalu dan mempunyai tumpuan yang sangat tinggi.

Komen: Agak pemalu? Agak la. Tidak pada kebanyakan masa. Mungkin untuk sesetengah perkara sahaja. Saya tidak dapat mengakui bahawa saya mempunyai tumpuan yang sangat tinggi disebabkan fikiran saya mudah menerawang ke tempat lain.

9. Mudah mendisplinkan diri.

Komen: Kalau mengambil kira dengan sekali tanggapan, memang saya bukan jenis orang yang sebegini. Tapi sekiranya saya dicampak ke satu persekitaran yang sangat tinggi disiplinnya, saya percaya saya adalah orang yang sebegini. Bagi diri saya, kalau mahu berdisplin, biar betul-betul berdisplin. Kalau betul tidak mahu berdisplin, buat cara tidak mahu berdisplin. Tidak mahu ada sebarang kelonggaran dalam disiplin dan sebaliknya.

10. Badannya sihat tetapi mudah diserang selsema.

Komen: Saya bersyukur kerana dikurniakan tubuh badan yang sihat dan tidak dinafikan juga pada masa yang sama memang mudah diserang selsema.

11. Bersikap romantik tetapi tidak pandai memperlihatkannya.

Komen: Romantik??? Hmm... Tiada bukti.

12. Cukup sayang pada kanak-kanak.

Komen: Hmm... Tiada bukti.

13. Suka duduk di rumah.

Komen: Ini sesuatu yang tidak betul sama sekali! Boring kot duduk rumah je.

14. Setia pada segala-galanya.

Komen: Err... Setia? Setia pada Tuhan, agama, ibu bapa, negara, bangsa dan lain-lain mungkin kot.

Pada pendapat saya, kurang separuh daripada semua yang diperkatakan oleh Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah adalah betul. Saya tidak tahu pendapat orang lain yang lahir pada bulan Januari tetapi bagi saya, ciri-ciri yang dinyatakan kebanyakannya tidaklah begitu selari dengan personaliti diri saya yang sebenar. Anda pula bagaimana?