Pengikut Kembali Pulang

Memaparkan catatan dengan label Fikir Sejenak. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Fikir Sejenak. Papar semua catatan

Jumaat, 16 November 2012

DI MANAKAH HAD KITA?

Assalamualaikum dan salam sejahtera kepada semua pembaca blog.

Terima kasih Allah atas hidupnya aku pada hari ini untuk menulis blog yang masih belum mati walaupun telah ditinggalkan setelah sekian lama. Terima kasih untuk idea dan pengikut yang Kau berikan selama ini.

Pada hari ini, seperti biasa, saya membuka Facebook untuk melihat pelbagai berita yang dibawakan oleh rakan-rakan Facebook. Antara berita yang menggemparkan buat umat Islam adalah serangan rejim Zionis Israel terhadap Palestin ketika umat Islam di seluruh dunia menyambut Maal Hijrah 1434. Umat Islam tidak menyambut tahun baru kalendar Islam dengan nyalaan bunga api. Umat Islam menyambut tahun baru dengan doa akhir dan awal tahun. Selain itu, muhasabah diri atas segala amalan dan perlakuan dosa yang pernah dilakukan selama ini serta azam untuk berhijrah demi menjadi insan yang lebih baik juga menjadi cara umat Islam menyambut Maal Hijrah.

Bunga api seringkali digunakan ketika sambutan tahun baru kalendar Masihi di seluruh dunia. Namun  ada orang lain yang menyambut tahun baru Islam dengan 'bunga api'. Itulah rejim Zionis Israel yang menjadikan bedilan bom dan peluru berpandu kepada Palestin sebagai 'bunga api' tahun baru kalendar Hijrah yang disambut oleh umat Islam di seluruh dunia!

Maka seluruh umat Islam pun berdoa atas kesejahteraan orang-orang Palestin yang sedang berjihad dan juga mati syahid dalam perjuangan menegakkan agama Allah S.W.T. Selepas berdoa, umat Islam masih tertanya-tanya dalam diri mereka. Biasanya ada dua soalan yang cukup popular setiap kali mereka selesai berdoa untuk warga Palestin.

Soalan pertama: Apakah yang sudah kita lakukan untuk warga Palestin?

Soalan kedua: Kita, umat Islam, merupakan umat yang paling ramai. Tapi kenapa kita hanya mampu menderma, berdemonstrasi dan berdoa? Kenapa kita hanya mampu berbuat begini sahaja terhadap pihak yang tidak pernah berputus asa menjatuhkan agama Islam?

Dan jawapan yang biasa diberikan adalah: Bukan senang. Bukan mudah untuk melakukannya.

BETUL! Bukan mudah dan bukan senang. Tapi kenapa jawapannya sebegitu? Tapi kenapa masih ada persoalan seperti di atas?

SEBAB KITA MASIH BELUM TAHU HAD KEUPAYAAN KITA YANG SEBENAR.

Di manakah had kita?

Maka di sini saya ingin mencadangkan supaya apabila kita mahu berbuat sesuatu yang baik, kita lakukan perkara tersebut seorang diri terlebih dahulu. Kalau kita mampu melakukannya seorang diri, tak apa. Kalau kita tidak mampu melakukannya seorang diri, ajaklah seorang lagi yang berupaya untuk bersama-sama melakukan kebaikan tersebut. Kalau masih tidak mampu, ajaklah seorang lagi. Kalau masih tidak mampu juga, ajaklah seorang lagi sehinggalah keterlibatan ramai orang dapat membantu kita melakukan perkara tersebut.

Dalam proses sebegini, ada satu realiti yang akan berlaku, iaitu terhentinya gerakan kebaikan tersebut. Kenapa? Ada sesuatu yang salahkah di situ? Tidak. Tidak ada apa-apa yang salah di situ. Cuma had keupayaan diri kita mula terserlah pada saat gerakan tersebut berhenti dan ianya sama ada disebabkan:

Apabila kita sudah rasa selesa dengan keupayaan kita dan merasakan bahawa apa yang kita lakukan sudah cukup syarat, maka kita tidak perlu meneruskannya lagi.

ATAU

Apabila kita menyedari bahawa kita tidak lagi berupaya untuk mengajak orang lain untuk turut serta bersama kebaikan yang ingin kita lakukan bersama-sama.

Maka jadilah keupayaan kita setakat itu sahaja.

Kesimpulannya di sini, sekiranya kita ingin mencapai tertinggi apa jua perkara baik yang ingin kita lakukan, nilailah had keupayaan masing-masing terlebih dahulu. Setelah kita sedar keupayaan diri sendiri, barulah boleh kita memikirkan jalan penyelesaian yang seterusnya.

Nilailah had keupayaan umat Islam.
Nilailah had keupayaan negara-negara Islam.
Nilailah had keupayaan negara kita.
Nilailah had keupayaan pemimpin kita.
Nilailah had keupayaan masyarakat kita.
Nilailah had keupayaan rakan kita.
Nilailah had keupayaan keluarga kita.
Nilailah had keupayaan ibu bapa kita.
Dan yang paling penting, nilailah had keupayaan kita dahulu.

Sekiranya kita tidak menyedari had keupayaan diri kita terlebih dahulu, suatu hari nanti apabila kita mula rasa buntu dan gagal, kita hanya mampu menyalahkan orang lain atas segala-galanya.



Isnin, 6 Ogos 2012

TERIMA KASIH DATUK LEE CHONG WEI!

Semalam telah berlangsungnya pertandingan peringkat akhir badminton di Olimpik 2012 antara Datuk Lee Chong Wei dan Lin Dan. Kedua-dua jaguh badminton ini sememangnya merupakan seteru ketat antara satu sama lin dalam memburu kejuaraan badminton di seluruh dunia.

Bagaimana dengan keputusan pertandingan tersebut?

Untuk set pertama: Datuk Lee Chong Wei - 21 manakala Lin Dan - 15

Untuk set kedua: Datuk Lee Chong Wei - 10 manakala Lin Dan - 21

Untuk set ketiga: Datuk Lee Chong Wei - 19 manakala Lin Dan - 21

Jadi, Lin Dan telah memenangi pingat emas untuk kejuaraan sukan badminton di Olimpik 2012 manakala Datuk Lee Chong Wei hanya mampu membawa pulang pingat perak untuk Malaysia.

Paling kurang dia bawa pulang pingat kan?

Datuk Lee Chong Wei patut diberi pujian atas semangat kesukanan dan kesungguhan yang ditunjukkan dalam memburu kemenangan untuk kejuaraan tersebut. Walaupun beliau telah kalah, namun kita dapat lihat sokongan yang diberikan oleh banyak pihak yang bukan sahaja daripada rakyat negara Malaysia sendiri, malah daripada masyarakat antarabangsa yang menonton pertandingan termasuklah penyokong setia Lin Dan sendiri!

Tanpa Datuk Lee Chong Wei, siapalah yang dapat memberikan saingan hebat untuk Lin Dan?

Tidak usah kita cemuh kekalahan Datuk Lee Chong Wei dan tidak perlu kita kritik gaya dan perangai Lin Dan di medan pertarungan. Tidak usah kita politikkan kekalahan beliau semata-mata untuk menutup kekecewaan yang bersarang di hati.

Apa yang penting bagi kita adalah supaya mempersiapkan anak-anak muda generasi baru menjadi pelapis yang akan terus dapat mengharumkan nama Malaysia di persada antarabangsa pada masa akan datang. Datuk Lee Chong Wei nampaknya akan bersara selepas ini memandangkan umurnya yang semakin meningkat dan kita sebagai rakyat Malaysia yang setia mengikuti perkembangan badminton pasti ternanti-nanti gerangan pemain yang dapat menggantikan aksi solo badminton di persada dunia selepas ini.

Akhir kata, terima kasih Datuk Lee Chong Wei atas perjuangan anda untuk negara selama ini!

Ahad, 5 Ogos 2012

SEMOGA BERJAYA DATUK LEE CHONG WEI!

Seperti yang kita semua maklum, perlawanan akhir badminton di kejuaraan Olimpik 2012 antara Lee Chong Wei dan Lin Dan akan disiarkan secara langsung di RTM 1 pada jam 8.00 malam waktu Malaysia. Sama-samalah kita menyokong pertandingan akhir badminton Datuk Lee Chong Wei yang merupakan antara perjuangan sukan yang penting buat negara kita, Malaysia.

Kita tengok waktu tayangan pertandingan tersebut adalah jam 8 malam ini. Namun bagi orang Islam, janganlah lupa untuk menunaikan solat fardhu Maghrib dan Isyak. Lebih-lebih lagi kita ada solat sunat Tarawih yang tiada pada bulan lain.

Tak rugi kalau kita tinggalkan televisyen untuk menunaikan solat di surau ataupun di masjid. Kita masih boleh menyokong kejayaan ahli sukan kebanggaan negara kita melalui doa. Bukankah doa itu senjata orang Mukmin? Bukankah antara doa yang dimakbulkan itu adalah ketika orang berpuasa berbuka puasa apabila sudah tiba waktu berbuka?

Abdullah bin Umar RA meriwayatkan hadis daripada Nabi Muhammad SAW yang bermaksud: “Sesungguhnya orang yang berpuasa itu mempunyai satu kesempatan berdoa yang tidak akan ditolak pada saat ia berbuka puasa.” (Riwayat Imam Ibnu Majah dan al-Hakim).

Janganlah kita lupa bahawa qada' dan qadar itu telah ditentukan oleh Allah S.W.T. Kalah dan menang itu adat pertandingan. Kita hanya boleh berdoa dan hanya Allah yang menentukan kejayaan ahli sukan kesayangan negara kita.

Akhir kata, salam Ramadhan dan selamat berbuka puasa kepada seluruh umat Islam.

Rabu, 11 Januari 2012

HIKMAT KERAMAT BAJU PENGANTIN

Hikmat Keramat Baju Pengantin merupakan hikmat terulung dalam dunia pendekar. Hikmat yang bertumpu pada kuasa serangan ini mempunyai 10 peringkat yang perlu dikuasai.

Hikmat ini diwariskan dari satu generasi ke satu generasi, daripada seorang guru kepada anak muridnya. Anehnya, kebanyakan pendekar yang mempelajari hikmat ini hanya dapat memahirkan diri sehingga peringkat yang kesembilan. Bagi pendekar yang cuba mencapai peringkat yang kesepuluh, mereka akan mengalami kuasa makan diri dan maut sebelum berjaya.

Tiba pada suatu generasi, ada seorang pendekar cerdik pandai yang turut mempelajari Hikmat Keramat Baju Pengantin dan cuba mencari penyelesaian dalam mengelakkan kuasa makan diri di peringkat yang kesepuluh. Pendekar cerdik pandai tersebut memindahkan semua kekuatan 9 peringkat Hikmat Keramat Baju Pengantin yang dimilikinya kepada anak muridnya. Selepas itu, dia mempelajari semula Hikmat Keramat Baju Pengantin bermula daripada kosong dan akhirnya dia berjaya memahirkan diri ke peringkat tertinggi hikmat tersebut, iaitu peringkat kesepuluh.

Si pendekar cerdik pandai tersebut mendapati bahawa setelah memindahkan kesemua 9 peringkat kekuatan Hikmat Keramat Baju Pengantin miliknya kepada anak muridnya, urat-urat di badannya menjadi lebih lapang dan tidak terbeban lagi. Oleh sebab itu, ketika mempelajari Hikmat Keramat Baju Pengantin buat kali kedua, tubuh badannya dapat menampung kuasa peringkat kesepuluh yang sebelum ini menyebabkan kuasa makan diri kepada generasi terdahulu. Dapatlah diketahui oleh pendekar cerdik pandai tersebut bahawa demi menguasai peringkat terakhir Hikmat Keramat Baju Pengantin, seseorang itu perlu memindahkan seluruh kekuatan 9 peringkat hikmat pada dirinya kepada orang lain terlebih dahulu sebelum mempelajarinya semula hingga berjaya ke peringkat kesepuluh. Persoalannya, siapakah yang sanggup menyerahkan hasil pertapaan bertahun-tahun kepada orang lain begitu sahaja?

Bertepatan dengan nama hikmat ini, Hikmat Keramat Baju Pengantin, situasi tersebut samalah seperti baju pengantin. Baju pengantin dibuat bukan untuk dipakai oleh si pembuat, tetapi untuk dipakai oleh orang lain. Kalau si pembuat ingin sepasang baju pengantin untuk dirinya, dia perlu membuat sepasang baju pengantin yang baru dan sudah pasti ianya lebih baik daripada yang sebelumnya, sebab baju tersebut adalah untuk dirinya.

Motifnya di sini, adakah terdapat situasi yang lebih kurang sama benar-benar berlaku dalam kehidupan kita? Hikmat Keramat Baju Pengantin mungkin sesuatu yang kita miliki. Kuasa makan diri mungkin suatu bentuk halangan, ujian, masalah, atau kebuntuan yang kita hadapi. Memindahkan kekuatan 9 peringkat mungkin bermaksud kita terpaksa melakukan pengorbanan dengan melepaskan sesuatu yang kita miliki selama ini. Kejayaan menguasai peringkat kesepuluh mungkin bermaksud kejayaan yang kita miliki setelah menghadapi segala bentuk dugaan dan melakukan pengorbanan, tidak kiralah sama ada diri kita sendiri menyedari tentangnya ataupun tidak.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

*Hikmat Keramat Baju Pengantin merupakan salah satu hikmat terulung dalam komik Juara-Juara Kembar hasil karya Ho Zhi Wen. Juara-Juara Kembar merupakan adaptasi novel Juedai Shuangjiao hasil karya Xiong Yaohua @ Gu Long yang turut diadaptasi ke drama bersiri yang bertajuk The Legendary Siblings dan juga The Proud Twins.

Rabu, 6 April 2011

INTERPRETASI KATA KITA

Saya ingin tanyakan satu soalan kepada anda hari ini. Apakah yang ada dalam fikiran anda kalau saya katakan masih ada orang di Malaysia pada masa kini yang tidak tahu tentang "Usop Wilcha" dan "ABPBH"?

Saya tidak akan berasa hairan kalau ada antara anda yang berfikir bahawa orang tersebut ketinggalan. Sebab apa? Sebab itu adalah antara corak pemikiran tipikal yang biasa kita lihat di mana-mana. Jangan dilupa, kita sendiri pun kadang-kadang boleh ada pemikiran seumpama itu, bergantung pada isu yang dibangkitkan dalam satu-satu masa.

Tapi saya lebih suka kalau anda berpendapat bahawa ianya bukanlah satu perkara yang teruk jika seseorang itu tidak pernah tahu apa-apa tentang "ABPBH" mahupun "Usop Wilcha". Dua perkara tersebut hanyalah suatu fenomena besar di Malaysia pada masa kini, yang mana tidaklah sehingga mendapat dosa kalau tidak mengetahui apa-apa pun tentang fenomena tersebut. Saya rasa ibu saya pun tidak tahu apa-apa tentang "Usop Wilcha" selagi dia tidak pernah menonton filem "Hantu Kak Limah Balik Rumah".

Kenapa saya banyak berkata tentang "Usop Wilcha" dan "ABPBH"? Okey, memanglah ianya satu fenomena besar pada masa kini tapi apa yang saya cuba ketengahkan dalam entri kali ini adalah satu situasi salah faham yang bersangkut-paut dengan fenomena tersebut.

Hendak dijadikan cerita, saya ternampak status seorang kawan saya di Facebook yang menulis:

who is this "Usop Wilcha" and what are "APBBH"?

Setelah anda baca ayat tersebut, apa ada dalam fikiran anda?

Kita boleh katakan ada sangat banyak interpretasi terhadap kata-kata tersebut, tapi biar saya kecilkan lingkungan interpretasi kepada dua sahaja.

Interpretasi pertama:

"Apalah yang bagus sangat pasal 'Usop Wilcha' dan 'ABPBH' sampai nak dicanang satu kampung ni?"

Interpretasi kedua:

"Err saya betul-betul tidak tahu apa itu 'Usop Wilcha' dan 'ABPBH' yang orang sebut-sebut sejak kebelakangan ni. Boleh bagi tahu saya?"

Isunya di sini, status kawan saya tadi telah disalah anggap oleh seorang Executive Photo Journalist di The New Straits Times Press (M) Berhad sebagai sesuatu yang bermasalah, bodoh, tidak berakal, dan tidak matang. Kawan saya pula terpinga-pinga dengan kata-kata kesat yang tidak semena-mena dilemparkan kepada dirinya. Semakin lama mereka berbalas kata, semakin banyak perang mulut yang terjadi. Saya nak menyibuk pun, perkara tersebut perkara dua hari lepas. Saya pun mengajak kawan sebilik saya untuk sama-sama melihat catatan pertelingkahan yang saya baru nampak hari ini. Saya meminta pendapatnya dan kami duduk berbincang. Setelah diteliti, situasi tersebut terjadi disebabkan oleh interpretasi yang berbeza antara mesej yang kawan saya cuba sampaikan dengan apa yang orang NST tadi faham.

Kawan saya sememangnya tidak tahu apa-apa tentang "Usop Wilcha" dan "ABPBH" dan dia harap orang lain dapat memberikan jawapan yang betul kepada persoalannnya. Itulah interpretasi kedua yang saya nyatakan di atas. Buktinya, ada antara komen pada status tersebut yang ditulis seorang kawan lain menerangkan siapakah "Usop Wilcha", dan kawan saya akhirnya mendapat jawapan yang dia kehendaki. Kawan saya mengakui bahawa dia kurang mengambil tahu tentang hal ehwal hiburan di Malaysia. Kalau menonton filem Malaysia pun, dia tidak ambil tahu tentang nama pelakon yang terlibat. Jadi, kita pun kena faham bahawa tidak semua benda yang ada di dunia ini, kita akan tahu semua. Ianya bergantung pada apa yang kita mahu tahu dalam dunia ini.

Namun begitu, saya bersimpati terhadap kawan saya sebab soalannya telah disalah faham oleh seorang eksekutif dari NST. Saya berpendapat eksekutif tersebut memandang soalan kawan saya tadi dengan interpretasi pertama. Mungkin kita kena tengok dari sudut pandangan seorang eksekutif syarikat akhbar yang besar, yang mana kita kena anggap dia datang daripada kelompok-kelompok wartawan dan jurnalis hiburan yang selama ini membantu memartabatkan industri hiburan tanah air. Kita kena anggap orang-orang daripada kelompok tersebut adalah antara golongan yang begitu menyayangi industri hiburan tanah air hinggakan mereka boleh menjadi sangat sensitif terhadap kenyataan orang lain yang pada hakikatnya berbeza dengan apa yang mereka cuba interpretasikan. Tidak dinafikan bahawa eksekutif tersebut ternyata melakukan kesilapan dengan menggunakan ayat kesat bertubi-tubi berbanding bertanyakan terlebih dahulu maksud sebenar soalan kawan saya.

Tapi siapalah kita untuk menghalang interpretasi orang lain? Setiap daripada kita berhak untuk membuat interpretasi masing-masing terhadap perkara yang berlaku di sekeliling kita. Cuma alangkah baiknya untuk kita menyiasat atau bertanya terlebih dahulu tentang akar umbi sesuatu perkara berbanding dengan menerjah tak tentu hala. Sama juga dengan "Usop Wilcha" dan orang Kampung Pisang yang mahu membakar rumah Kak Limah demi menghalau hantu Kak Limah yang didakwa mengganggu mereka sebelum akhirnya mereka menyedari bahawa Kak Limah itu sebenarnya hanyalah orang gila yang tidak bersalah.

Sabtu, 2 April 2011

TUHAN PASTI ADA!

Pada petang ini, hati saya cukup tersentuh disebabkan oleh kemurahan hati seorang pakcik penjual rojak. Tadi saya dalam perjalanan untuk mencari stok makanan demi meneruskan kelangsungan hidup hari-hari yang mendatang. Saya pergi ke pasaraya Giant berdekatan dengan asrama untuk mencari stok makanan. Saya pergi ke pasaraya tersebut kerana harga barangnya murah dan saya dapat lebih banyak pilihan di situ berbanding di tempat lain. Sebelum saya menjejakkan kaki untuk masuk ke dalam pasaraya, saya mengambil keputusan untuk singgah di sebuah gerai berdekatan dengan pintu pasaraya tersebut. Gerai tersebut hanyalah sebuah gerai kecil yang menjual rojak pasembor dan cendol. Sebenarnya, sudah lama saya memerhatikan gerai tersebut. Tunggu masa saja untuk datang dan makan di situ. Nak dijadikan cerita, saya pun singgah sebentar untuk makan rojak pasembor memandangkan saya masih belum makan lagi sejak bangun daripada tidur.

Saya pokai sejak seminggu yang lalu. Bila saya jadi pokai, saya baru nak berkira. Sebagai contoh, kalau saya tak pokai, saya tidak berkira. Saya tidak akan tanya harga makanan yang saya makan. Berbeza apabila saya pokai, saya akan tanya harga setiap makanan yang saya akan makan. Ketika saya ingin makan rojak pasembor tadi, saya bertanyakan harga terlebih dahulu. Harga rojak pasembor tersebut adalah RM3. Saya pun duduk dan tunggu rojak saya sampai.

Pakcik penjual tadi pun datang menghidangkan rojak pasembor. Setibanya dia di meja saya, pakcik tersebut mengatakan bahawa dia belanja rojak pasembor tersebut. Eh?! Tak pasal-pasal. Saya bukannya pelanggan setia kedainya. Saya baru pertama kali datang ke kedainya, dah dapat makan percuma??? Pakcik tersebut mengatakan bahawa rojak tersebut adalah rojak terakhir untuk hari ini, sebab itu dia belanja. Hanya disebabkan rojak terakhir, terus saja dia belanja? Pada fikiran negatif saya, mungkin sebab ada bahan yang tidak cukup untuk diletakkan seperti mana yang dia patut letak untuk rojak yang dijual lebih awal. Tapi kenapa mesti belanja saya? Pakcik tersebut berhak untuk meminta bayaran dengan harga makanan yang lebih rendah kalau dia mahu. Saya cuba berkeras untuk membayar harga rojak pasembor tersebut, tapi pakcik tersebut masih menolak. Ternyata apa jua bentuk pemikiran saya, tetap tidak dapat menandingi keikhlasan dan kemurahan hati pakcik tersebut.

Jadi, saya makan rojak pasembor tersebut dengan rasa penuh terharu. Kalau hati saya lembut sikit, saya mungkin sudah mengalirkan air mata. Kenapa saya rasa begitu? Sebab saya merasakan seolah-olah pakcik tersebut memahami keadaan saya. Tidak. Tidak juga sebenarnya. Dia tidak mengenali siapa saya, jadi macam mana dia boleh tahu situasi saya. Saya segera sedar yang semua ini sebenarnya satu ketentuan Tuhan, kerana hanya Tuhan yang satu tahu situasi sebenar saya! Betul kata orang, kalau kita ingat Tuhan sentiasa ada untuk beri kita rezeki, Tuhan akan beri pada esok hari walaupun hari ini poket kita betul-betul kosong. Tapi jangan dilupa bahawa semua itu perlu disertakan niat dan usaha yang murni untuk meneruskan kehidupan. Banyak lagi perkara yang ditunjukkan kepada saya sebagai tanda kurniaan dan bantuan Tuhan terhadap saya sejak seminggu yang lepas, dan peristiwa hari ini hanyalah salah satu daripada-Nya. Tuhan tidak memberi kurniaan dan rezeki kepada kita terus turun dari langit. Tidak. Tidak sama sekali. Tuhan memberi kita kurniaan dan rezeki setelah kita berdoa, berharap, berusaha, dan Dia menyampaikannya menerusi orang-orang sekeliling kita yang berhati mulia. Tuhan saja yang dapat membalas kemurahan hati orang-orang yang telah membantu saya selama ini.

Disebabkan itu juga, saya hairan kenapa ada sekelompok manusia di dunia ini yang tidak percaya terhadap kewujudan Tuhan. Atheis? Saya mengutuk golongan ini. Apa, semua perkara yang berlaku di dunia ini terjadi dengan sendirinya? Itu satu fahaman yang paling mengarut yang saya pernah dengar. Minta-mintalah kita semua dijauhkan daripada fahaman sesat sebegitu.

Saya pun bukanlah hamba Tuhan yang baik. Saya pun sering terlupa. Mujur ada Tuhan yang mengingatkan saya. Sekurang-kurangnya, ingatlah bahawa Tuhan itu wujud. Tuhan itu sentiasa bersama kita pada setiap masa. Tuhan itu pasti ada!


Selasa, 14 Disember 2010

CINTA UMPAMA MEMBELI KASUT

Pada suatu masa dahulu, ada seorang lelaki meluahkan rasa cintanya kepada seorang gadis. Namun, nasib si lelaki tidak begitu baik kerana cintanya telah ditolak oleh gadis tersebut. Bila ditanya kepada gadis tersebut sama ada dia telah mempunyai orang lain sebagai teman istimewa, gadis tersebut terus-terang menjawab "tidak". Si gadis cuma menyatakan bahawa dia tidak mahu terlepas sesuatu yang penting di masa hadapan hanya disebabkan hari ini dia cuba memberikan kegembiraan kepada lelaki tersebut. Si lelaki seolah-olah faham apa yang cuba dimaksudkan oleh gadis tersebut. Dia faham bahawa dirinya bukanlah lelaki yang diharapkan oleh gadis tersebut. Dia menyalahkan dirinya atas ketidakupayaannya  untuk menambat hati gadis tersebut. Namun, kadang-kala dia turut berasa geram di atas sikap memilih orang yang menolak cintanya.

Pada suatu hari, si lelaki keluar ke bandar untuk mencari kasut. Kasut yang ingin dicarinya adalah kasut pelbagai guna yang sesuai dibawa untuk bersukan mahupun untuk berjalan-jalan apabila keluar bersama rakan. Kasut tersebut haruslah berpatutan harganya, mempunyai tapak yang banyak cengkaman dan yang paling penting, mengikut warna kegemarannya selama ini. Di kedai yang pertama, si lelaki tidak menjumpai kasut yang diidamkan. Dia meneruskan pencarian. Di kedai yang kedua, si lelaki menjumpai sepasang kasut yang kelihatan boleh dipelbagai guna, mempunyai tapak yang bercengkaman kuat, berpatutan harganya tapi bukan warna kegemarannya. Dia mengambil masa yang lama untuk berfikir. Dia berfikir bahawa kasut dengan warna kegemarannya memang agak sukar untuk dijumpai. Apa kata kalau beli sahaja kasut yang sedang berada di depan matanya ini? Tapi entah kenapa, kata hatinya mengatakan bahawa dia patut terus mencari sampai dapat.

Sampailah ke kedai yang tidak pasti bilangan keberapa si lelaki kunjungi, akhirnya dia menemui sepasang kasut yang diidamkan oleh dirinya. Dia melihat dan meneliti rupa bentuk kasut tersebut. Sememangnya warna kegemarannya. Memang boleh digunakan untuk sukan mahupun perkara lain. Harganya? Berpatutan. Saiz yang ada? Cukup sesuai untuk diri. Alangkah gembiranya si lelaki tersebut. Tersenyum lebar sepanjang jalan pulangnya ke rumah. Sampai saja di rumah, ibu si lelaki menegur telatah anaknya yang tersenyum lebar sebaik saja melangkah kaki ke dalam rumah. Dia mengatakan bahawa anaknya tersenyum riang seolah-olah baru mendapat teman wanita. Si lelaki terpaku. Dia terpaku disebabkan ibunya mengandaikan riang hatinya mendapat kasut baru sama seperti mendapat kekasih hati. Ya Tuhan! Setelah sejenak berfikir, barulah dia benar-benar faham alasan gadis yang pernah menolak cintanya pada masa lalu.

Ya, cinta samalah seperti kita membeli kasut - melibatkan sama ada kita perlu memilih atau tidak memilih apa yang kita mahukan. Cuba bandingkan si lelaki tadi dengan pencarian cinta. Kalaulah si lelaki tadi tidak begitu cerewet dengan citarasanya, pasti dia akan terus membeli kasut di kedai yang kedua. Namun, jauh di sudut hati lelaki tersebut, dia berharap kasut yang dibelinya itu akan rosak tepat pada masanya tatkala dia menjumpai kasut idaman untuk menggantikan kasut lama yang dibelinya tadi. Samalah macam kita yang mengambil keputusan serta-merta untuk terus menerima orang yang menyukai kita dengan harapan kita boleh memupuk perasaan cinta terhadapnya. Namun, jauh di sudut hati, kita tidak pasti sama ada kita betul-betul mencintai orang tersebut sehinggalah sampai satu masa kita berjumpa dengan orang lain yang kita betul-betul cintai dan akhirnya terpaksa berlaku curang dengan orang yang mula-mula kita terima tadi. Mahukah kita menjadi seperti itu?

Si lelaki tadi nampaknya sangat memilih dan mengambil kira citarasanya, sebab itulah dia sanggup berjalan ke kedai lain mencari kasut idamannya. Akhirnya, dia berasa gembira kerana pilihannya untuk meneruskan pencarian di kedai lain membuahkan hasil yang cukup membahagiakan. Samalah seperti kita yang cuba bermacam-macam usaha untuk mencari cinta sejati. Kita jadi sangat memilih untuk jodoh kita dan ianya boleh mengambil masa yang sangat lama untuk mendapatkan jodoh yang betul-betul sesuai untuk diri kita. Mungkin memerlukan hampir seumur hidup bagi kita menemui jodoh yang ditakdirkan oleh Tuhan. 

Bagaimana pula kalau kita membeli kasut tanpa mengikut citarasa dan kasut tadi bertahan sangat lama serta tidak rosak? Kita boleh andaikan ianya sama seperti cinta yang tidak memilih tetapi ianya berkekalan hingga ke akhir hayat. Situasi yang boleh dikaitkan mungkin sama seperti orang yang menemui jodohnya melalui perkahwinan yang diaturkan oleh keluarga. Ada pasangan yang berkahwin atas pilihan keluarga tiada masalah untuk bersama walaupun pada awalnya pasangan tersebut tidak saling mengenali mahupun saling mencintai.

Pengalaman si lelaki ketika membeli kasut idamannya tadi membuatkan dirinya faham betapa pentingnya si gadis tadi memilih dalam soal jodoh. Kita semua mempunyai hak sama ada untuk memilih atau tidak memilih. Kita juga mempunyai hak sama ada untuk berfikiran ringkas atau berfikir sedalam-dalamnya mengenai soal jodoh. Lain orang, lain takdirnya. Bak kata orang, "rambut sama hitam tapi hati lain-lain" - sama juga dengan soal jodoh yang ditakdirkan.

Sabtu, 13 November 2010

KENAPA KITA BELAJAR?

Biasanya kalau saya ada petikan kata-kata yang menarik, saya akan tulis di Tumblr saya dan siarkannya melalui Facebook. Namun begitu, atas sebab petikan kata kali ini lebih panjang daripada biasa, saya mengambil keputusan untuk menyiarkannya melalui blog ini.

Petikan kata kali ini saya ambil daripada drama bersiri Jepun yang bertajuk "Jyoou no Kyoushitsu" (The Queen's Classroom). Kalau ikutkan, saya tonton drama ini hanya disebabkan ingin melihat pelakon kegemaran saya, Shida Mirai.


"Jyoou no Kyoushitsu" merupakan lakonan pertama Shida Mirai yang menampilkan dirinya sebagai watak utama dalam drama bersiri. Drama ini mengisahkan tentang Kanda Kazumi (lakonan Shida Mirai), seorang pelajar berusia 12 tahun yang terpaksa berdepan dengan guru kelasnya, Akutsu Maya (lakonan Amami Yuki), yang sangat sangat sangat tegas tidak terampun! Kalau anda tonton drama ini, anda pasti bersimpati dengan murid-murid sekolah rendah dalam cerita ini terutamanya Shida Mirai.


Tapi fokus sebenar entri blog kali ini adalah berkenaan dengan petikan kata-kata guru kelas, Akutsu Maya.

Yang mempunyai renungan tajam yang mengundang maut!

Berpakaian serba hitam, kurus dan tinggi lampai!

Tapi sentiasa tenang dan sebenarnya berhati baik...

Dalam episod 10 drama ini, salah seorang pelajar bertanyakan satu soalan yang begitu signifikan dengan kehidupan kita semua - "KENAPA KITA BELAJAR?"

Jawapan Akutsu Maya:

"Belajar bukanlah sesuatu yang kita rasa kita perlu buat. Belajar adalah sesuatu yang kita rasa kita patut mahu buat. Pada masa hadapan, kita akan berdepan dengan banyak perkara yang kita tidak akan tahu atau faham. Perkara-perkara yang indah. Perkara-perkara yang menyeronokkan. Perkara-perkara yang misteri. Kamu akan lihat banyak perkara seumpama itu. Pada saat itu, kamu mahu tahu lebih banyak perkara lagi.

Manusia secara fitrahnya mahu belajar. Orang yang tidak mempunyai perasaan atau sifat ingin tahu bukanlah manusia. Orang sebegitu tarafnya lebih rendah daripada monyet. Kalau kamu tidak cuba untuk memahami dunia yang kamu duduki, apa lagi yang kamu boleh buat?

Tidak kira betapa banyak perkara yang kamu belajar, pasti ada perkara yang kamu masih tidak faham. Di dunia ini, ada segelintir orang dewasa yang berpura-pura tahu tentang segala-galanya. Mereka hanyalah penipu.

Tidak kiralah sama ada kamu mahu memasuki kolej atau mendapat kerja yang bagus, selagi kamu belajar, kamu boleh buat apa saja. Saat kamu hilang sifat ingin tahu adalah saat kamu seolah-olah mati.

Belajar bukanlah sesuatu yang kamu buat untuk lulus peperiksaan. Ianya sesuatu yang kamu buat untuk menjadi orang yang hebat."

Isnin, 12 Julai 2010

KENAPA PERLUNYA HARGA?

Ramai orang mendakwa bahawa mereka menghargai karya seni. Tapi sejauh manakah mereka menghargai sesuatu karya seni? Ada orang sanggup menghabiskan banyak duit untuk membeli suatu lukisan yang dikatakan cukup artistik. Ada orang sanggup berhabis duit demi menghadiri sebuah konsert muzik yang mahal tiketnya. Di pihak yang lain pula, mereka tidak faham mengapa golongan yang saya sebutkan tadi sanggup membelanjakan banyak duit demi hiburan atau seni yang sukar diertikan. Walhal pada masa yang sama, mereka juga mengatakan bahawa mereka pandai menghargai seni.

Karya seni sama seperti pendidikan. Kedua-duanya mahu diberi secara percuma kepada masyarakat tetapi realitinya tidak begitu. Sebuah karya seni pada asalnya merupakan satu cara bagi seseorang itu untuk meluahkan ekpresi dirinya terhadap persekitaran dan saya percaya, kalau boleh, si penghasil karya seni tadi tentu sudi berkongsi interpretasi dengan orang lain tanpa mengenakan apa-apa bayaran. Pendidikan pula suatu bentuk perolehan ilmu pengetahuan yang sentiasa mahu dikongsi tanpa mengenakan apa-apa bayaran demi perkembangan intelek manusia sejagat, terutama sekali demi mereka yang tidak mampu dan pada masa yang sama tidak tahu apa-apa tentang dunia ini. Tapi kenapa kedua-dua benda ini ada harga yang kita perlu bayar dalam bentuk wang ringgit?

Alasan saya yang pertama mudah sahaja. Karya seni mahupun pendidikan, kedua-duanya menghadapi kos yang tidak dapat dielakkan oleh pihak yang ingin menyalurkannya kepada orang lain. Bagaimana seorang pelukis mahu meneruskan karya lukisannya kalau tiada modal untuk mendapatkan bekalan kertas dan warna yang baru? Bagaimana seorang penyanyi boleh terus menyanyi kalau dia tiada duit untuk membeli air demi menghilangkan haus tekaknya? Bagaimana seorang guru dapat meneruskan kehidupannya untuk menyampaikan ilmu kalau tiada gaji diberikan kepadanya? Patutlah orang berkata, tiada apa-apa yang percuma di dunia ini.

Alasan saya yang kedua merupakan satu bentuk persoalan: Adakah anda betul-betul menghargainya kalau diberi secara percuma?

Di sini saya ada suatu cerita yang ingin dikongsikan bersama. Semalam, saya dan seorang rakan makan tengahari di sebuah kompleks membeli-belah. Selepas makan, kami berjalan-jalan melihat kedai-kedai di situ. Pada waktu itu, ada sesuatu yang telah menarik perhatian kami. Di suatu sudut, kami lihat ada seorang pakcik sedang memainkan beberapa lagu instrumental dengan menggunakan piano keyboard. Lagu-lagu yang dimainkan cukup menarik, mungkin disebabkan ianya lagu yang kami barangkali pernah dengar di mana-mana, walaupun kami tak pasti tentang tajuknya. Kami tak pasti sama ada persembahan kecil pakcik tersebut merupakan satu tarikan terbaru di kompleks itu ataupun demi mempromosikan piano keyboard yang dimainkannya. Yang pasti, saya menyukai alunan muzik keyboard yang dimainkan pakcik tersebut dan berharap saya dapat menikmatinya lebih lama. Keadaan tidak begitu mengizinkan untuk saya berbuat begitu disebabkan rakan saya mahu pulang. Saya beranggapan bahawa dia ada hal yang lebih penting daripada melihat persembahan percuma pakcik itu.

Bagaimana pula kalau ianya berbayar seperti di konsert muzik orkestra? Sebuah konsert orkestra biasanya meletakkan harga yang tinggi untuk tiket persembahannya, dengan alasan ianya dilangsungkan di dewan yang berprestij, mempunyai tempat duduk yang selesa dan mempersembahkan karya agung seseorang penggiat seni muzik. Hadirin yang hadir untuk menonton persembahan seumpama itu sudah pasti melahirkan kepuasan yang tak terhingga dan menyatakan bahawa apa yang mereka telah bayar adalah sesuatu yang berbaloi. Tapi percayakah anda jika saya katakan nilainya akan jadi berbeza sekiranya pemuzik orkestra yang sama membuat persembahan percuma di kompleks membeli-belah? Adakah anda akan setia menonton persembahan percuma pemuzik tersebut hingga di penghujungnya? Berani saya katakan yang anda pasti akan berlalu pergi sebelum persembahan tersebut berakhir, melainkan anda merupakan peminat fanatik pemuzik tersebut atau anda tidak mempunyai apa-apa kerja selain daripada melepak di situ ataupun jika persembahan itu berbayar.

Atas sebab itulah benda-benda seperti karya seni itu perlu dibayar dengan wang ringgit. Jika ianya percuma, anda mudah berlalu pergi dan berkata, "tak apalah. kita bukannya rugi apa-apa pun". Jadi, di mana perginya nilai anda yang pandai menghargai hasil seni itu?


Khamis, 18 Februari 2010

KESEMPURNAAN HAKIKI










Sedutan komik di atas diambil daripada manga Bleach, Chapter 306 - Not Perfect Is Good. Kurotsuchi Mayuri, seorang saintis daripada pihak baik, baru saja mengalahkan pihak lawannya, Szayel Apollo Granz, yang merupakan ahli sains daripada pihak jahat. Apollo mempunyai hasrat yang begitu tinggi dalam menghasilkan sesuatu yang digelar "makhluk sempurna". "Makhluk Sempurna" mungkin merujuk kepada dirinya memandangkan dia bertarung penuh keyakinan dengan menggunakan hasil kajiannya. Namun, akhirnya dia kalah di tangan Kurotsuchi Mayuri. Inilah yang telah dikatakan oleh Kurotsuchi Mayuri tentang "Makhluk Sempurna":

Makhluk Sempurna... Begitukah?
Dalam dunia ini, kesempurnaan hanyalah satu ilusi
Semua yang berlawanan dengannya adalah realiti
Keinginan untuk mencapainya adalah sesuatu yang tak boleh dikecapi
Kenyataan untuk menjadi sempurna adalah angan-angan kosong
Ianya menafikan segala kewujudan
Aku mencaci kesempurnaan
Lagipun, kesempurnaan menunjukkan kita telah sampai ke kemuncak
Tiada kesilapan dan pembelajaran
Tiada kebolehan baru untuk kita terokai
Makhluk yang sudah lengkap sempurna tidak memerlukan perkara sebegini
Kau faham?
Bagi mereka yang mencari kebenaran seperti kita, kesempurnaan adalah sesuatu yang sudah ketinggalan zaman
Lebih banyak perkara yang menakjubkan akan terus wujud
Tapi semuanya akan jatuh apabila berhadapan dengan kesempurnaan
Fungsi kita sebagai orang sains adalah untuk menyedari apa jua kekurangan dan kemudian barulah kita dapat menggunakan hasil usaha kita untuk memperbaikinya
Pendek kata, sebaik saja kau mula bercakap tentang makhluk sempurna, nasib kau telah ditentukan
Berani kau menggelarkan diri kau sebagai orang sains!


Makhluk Sempurna yang diperkatakan dalam pernyataan di atas merujuk kepada kita sebagai manusia yang tak terkalah dan tak terjejas oleh apa jua ancaman sekali pun. Memanglah manusia merupakan makhluk Tuhan yang sempurna berbanding makhluk lain tapi jika diletakkan dalam konteks perbandingan antara manusia dan manusia lain, mungkin kita perlu bersetuju dengan apa yang dikatakan oleh Kurotsuchi Mayuri.

Kenapa kita perlu bersetuju? Cuba fikirkan.

Sesetengah daripada kita ada yang menganggap diri mereka telah cukup sempurna (kononnya) hingga sanggup memperlekehkan ketidaksempurnaan orang lain. Padahal, kita semua sebagai manusia PASTI memiliki ketidaksempurnaan.

Dengan adanya ketidaksempurnaan, kita akan membuat kesilapan.
Dengan adanya kesilapan, barulah kita belajar untuk memperbaikinya.

Ketika kita belajar untuk memperbaiki kesilapan yang kita telah lakukan, barulah kita dapat terokai sesuatu kebolehan yang baru. Dengan kebolehan yang baru itu, barulah kita boleh menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

Jadi, kesempurnaan hakiki bukanlah impian atau matlamat kita yang sebenarnya.

Tapi, MENJADI SESUATU YANG LEBIH BAIK DARI SEBELUMNYA adalah matlamat kita yang sebenar sebagai seorang manusia. Inilah yang lebih baik ditanamkan dalam fikiran kita berbanding dengan konsep kesempurnaan hakiki.

Namun begitu, janganlah kita mencaci kesempurnaan seperti Kurotsuchi Mayuri. Sebab apa?

Sebab KESEMPURNAAN HAKIKI HANYALAH MILIK TUHAN.

Janganlah disebabkan kita tidak bersetuju dengan konsep kesempurnaan hakiki, kita hendak mencacinya pula. Ia tidak sepatutnya jadi begitu. Kalau kita mencaci kesempurnaan, umpama kita mencaci Tuhan kita yang Maha Agung. Minta dielakkan kita daripada perkara sebegini.

Akhir kata, buang yang keruh dan ambil yang jernih. Perkara yang elok, kita ikuti dan perkara yang tak elok, kita jauhi.

Fikir-fikirkanlah.