Pengikut Kembali Pulang

Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Cerpen. Papar semua catatan

Isnin, 16 Julai 2012

APA DAH JADI?

Susah sangatkah untuk berkahwin? Kalau perkahwinan itu sukar, kenapa ramai pemuda-pemudi sekarang berlumba-lumba kahwin awal ketika mereka sedang berada di institut pengajian tinggi? Kalau perkahwinan itu mudah, kenapa masih ada pemuda-pemudi yang bercumbu-cumbuan di tempat awam dengan pasangan masing-masing walaupun mereka belum berkahwin? Azmil rasa musykil apabila terfikirkan tentang soal jodoh dan perkahwinan. Dia cuma tahu bahawa jodoh itu ketentuan Tuhan dan kalau sudah bertemu jodoh, ia patut disempurnakan melalui ikatan perkahwinan.

Azmil pernah terbaca satu artikel mengenai jodoh dalam majalah Mingguan Wanita. Dia tidak ingat keluaran yang mana satu, namun dia masih ingat akan kandungan artikel tersebut. Penulis artikel yang juga merupakan pakar pengiraan tarikh lahir mengatakan bahawa kebanyakan graf hayat bagi seseorang individu mempunyai lebih daripada satu peluang untuk bertemu jodoh. Sebagai contoh, katakanlah graf hayat seseorang menunjukkan bahawa dia berpeluang untuk bertemu jodoh ketika berumur 20 tahun dan 40 tahun. Petunjuk tersebut tidak bermaksud bahawa individu tersebut mempunyai peluang untuk berkahwin buat kali kedua, cuma ia memberitahunya bahawa sekiranya terlepas jodoh ketika berumur 20 tahun, dia masih mempunyai peluang kedua ketika berumur 40 tahun. Fakta yang kedengaran menarik bagi Azmil, namun dia sedar bahawa hal jangka hayat seseorang merupakan satu lagi ketentuan Tuhan selain daripada hal jodoh, rezeki, dan ujian hidup.

Azmil pernah melahirkan hasrat untuk berkahwin ketika dia berumur 24 tahun. Pada waktu itu, dia baru sahaja mendapat segulung ijazah yang menjadi kebanggaan ibunya. Berbekalkan pencapaiannya yang cemerlang dalam bidang kejuruteraan serta ketulusan hati yang dimilikinya, Azmil mengambil langkah berani untuk memberitahu ibu tersayang tentang hasrat murninya yang mahu meminang seorang gadis sunti yang sudah lama bertakhta di hati.

Malang sekali, langit tidak selalu cerah. Ibu Azmil menghalang hasrat murni anaknya habis-habisan dan sudah pasti Azmil memerlukan penjelasan di sebalik tindakan ibunya. Ibu Azmil tidak mahu anaknya berkahwin dalam usia yang begitu muda, lebih-lebih lagi Azmil masih belum mendapat sebarang pekerjaan yang boleh menjamin masa depannya. Kewangan Azmil belum stabil, jadi bagaimana dia boleh menyara anak orang lain? Sedangkan arwah ayah Azmil dahulu yang bekerja sebagai guru pun menghadapi masalah kewangan ketika menyara keluarga walaupun hanya mempunyai dua orang anak, apatah lagi Azmil yang baru sahaja menjejakkan kaki ke alam pekerjaan.

Perbelanjaan untuk berkahwin bukan sahaja tertumpu pada bayaran mas kahwin dan hantaran. Kalau wang hantaran sahaja sudah mencecah berpuluh-puluh ribu ringgit, bagaimana pula dengan wang untuk cincin perkahwinan, kenduri-kendara serta nafkah untuk isteri pada setiap bulan? Susah hati ibu Azmil mengenangkan masa dahulu dengan arwah suaminya yang sering menghadapi masalah kewangan ketika mereka hidup bersama. Dia takut perkara yang sama berulang kembali pada diri Azmil. Dia takut Azmil mewarisi kepapaan arwah ayahnya. Jadi, lebih baik kumpul duit banyak-banyak dahulu dan berkahwin beberapa tahun kemudian apabila kewangan telah stabil.

Azmil terpaksa mengikut kehendak ibunya dan melihat orang yang dicintainya secara diam-diam selama ini pergi jauh meninggalkannya dan bertemu jodoh dengan orang lain. Azmil kecewa mengenangkan nasib yang tidak menyebelahi dirinya. Lama juga dia makan hati dengan tindakan ibunya. Rasa kecewa peristiwa lalu masih berbekas dalam jiwanya walaupun ketika umurnya mencecah 34 tahun. Ibu Azmil pernah bertelefon dan bertanya khabar mengenai diri Azmil yang sudah bekerja tetap di sebuah syarikat swasta. Sambil bertanyakan tentang kesihatan anaknya, dia turut bertanyakan tentang soal perkahwinan.

Ibu Azmil bertanya kepada anak bujangnya, “Bila Azmil nak kahwin?”

“Azmil pun tak tahu lagi, mak. Duit masih tak cukup nak buat belanja kahwin,” jawab Azmil berbasa-basi dengan ibunya.

“Sudah lebih 8 tahun bekerja dengan syarikat di Kuala Lumpur, Azmil masih tak cukup duit nak buat belanja kahwin? Azmil buat apa dengan duit gaji?” tanya ibu Azmil kehairanan.

“Azmil guna duit gaji untuk beli kereta, rumah, dan bayar segala bil yang ada, termasuk sekali duit yang Azmil bagi mak setiap bulan. Selebihnya Azmil simpan dalam akaun tabung haji mak. Manalah tahu kalau-kalau tahun depan mak dapat pergi haji. Untung-untung Azmil pun boleh pergi haji lebih awal kalau simpanan sudah cukup banyak,” jawab Azmil panjang lebar.

“Azmil betul-betul tak cukup duit atau Azmil masih mencari-cari calon isteri? Kalau susah sangat, biar mak sahaja yang tolong carikan. Mak percaya duit Azmil sudah cukup. Umur Azmil pun sudah lebih 30 tahun. Elok sangat kahwin cepat-cepat,” kata ibu Azmil.

“Apa mak kata? Kahwin cepat-cepat? Dulu masa Azmil nak kahwin cepat-cepat, mak tak bagi. Memanglah masa tu Azmil tak ada duit banyak tapi paling kurang Azmil ada juga calon isteri. Sekarang Azmil mungkin ada banyak duit tapi kalau tak ada calon yang menepati citarasa Azmil pun susah juga jadinya,” kata Azmil memulangkan paku buah keras kepada ibunya.

Ibu Azmil terdiam. Mungkin terkesima dengan kata-kata anaknya. Dia sudah tidak ada modal untuk berbual dengan anaknya lagi.

“Mak, Azmil kena masuk pejabat sekarang. Waktu rehat sudah habis. Nanti bos marah kalau masuk lambat. Kita sembang lain kali ya, mak. Assalamualaikum.” Azmil menamatkan perbualan dengan ibunya.

Azmil tidak mahu jadi anak derhaka. Dia hanya ada seorang ibu dalam hidupnya. Dia tidak berniat untuk melepaskan kata-kata kasar kepada ibunya. Dia hanya cuba mengulang kembali kata-kata ibunya suatu masa dahulu. Perkahwinan bukanlah suatu perkara yang boleh diambil mudah, lebih-lebih lagi apabila menyentuh tentang isu kewangan. Bagi sesiapa yang belum mampu dari segi kewangan, elok tangguhkan dulu niat untuk berkahwin sekiranya tiada alternatif yang baik untuk mendapatkan sokongan kewangan. Bagi sesiapa yang yakin bahawa dirinya berkemampuan dari segi kewangan dan sedia menggalas tanggungjawab berkeluarga, barulah elok untuk berkahwin lebih-lebih lagi sekiranya diri merasa khuatir tidak dapat menahan nafsu syahwat.

Azmil mungkin berbohong mengenai mengenai tahap kewangannya, tetapi dia tidak berbohong apabila mengatakan bahawa dia masih belum menemui calon isteri yang betul-betul sesuai untuk dirinya. Dia bukanlah orang yang sangat cerewet. Namun dia berpendapat bahawa tidak salah untuk betul-betul memilih calon isteri yang sesuai memandangkan wanita tersebut merupakan orang yang akan mendampinginya hingga ke akhir hayat. Lebih-lebih lagi Azmil sangat takut melihat kes perceraian yang semakin banyak berlaku dalam kalangan masyarakat Melayu Islam di Malaysia. Kadang-kadang dirinya tertanya-tanya, apakah punca sebenar masalah tersebut? Kahwin salah, tidak berkahwin pun salah. Kalau berkahwin, boleh pula terjadi kes perceraian. Kalau tidak berkahwin, muncul pula kes anak luar nikah di buang dalam mangkuk tandas. Meremang bulu roma Azmil memikirkannya.

Ketika umur Azmil berada dalam lingkungan 20-an, dia mengambil pendekatan yang aktif dalam soal mencari pasangan hidup. Dia berusaha mendekati wanita yang diminatinya. Oleh sebab itu, ketika Azmil berumur 24 tahun, dia sudah ada calon isteri dalam mindanya. Namun disebabkan oleh penolakan ibunya, dia mengambil pendekatan yang pasif. Dia tidak lagi mendekati wanita sewenang-wenangnya, bahkan dia sentiasa menunggu wanita datang mendekatinya. Kadang-kadang dia seperti menunggu bulan jatuh ke riba.

Azmil selalu melayari internet dan mempunyai akaun Facebook. Ketika sedang asyik meneliti kata-kata yang terpapar di dinding Facebook, dia terlihat satu gambar panorama Islamik yang disulam dengan kata-kata berbunyi, “Jangan risau akan jodoh yang belum hadir. Kalau diri sudah bersiap sedia, jodoh akan datang dengan sendirinya kepada kita.” Betulkah apa yang dibacanya pada ketika itu? Sejenak Azmil memikirkan kata-kata tersebut. Kalau kata-kata tersebut ditujukan kepada kaum wanita sahaja, memanglah kedengaran sesuai kerana wanita biasanya tidak pergi meminang lelaki. Kalau kata-kata tersebut ditujukan kepada semua orang termasuk lelaki, pelik rasanya. Bolehkah orang lelaki menunggu seorang wanita datang meminangnya? Kalau di Malaysia, perkara seumpama itu adalah mustahil untuk terjadi di mana-mana. Namun Azmil masih pasif dalam soal jodoh.

Azmil leka dengan kerjaya yang dimiliki sehinggalah dia berumur 44 tahun. Setelah sekian lama masa berlalu, Azmil mula merasa suatu kekosongan dalam hidupnya. Ketika orang lain sedang hidup bahagia dengan insan yang mereka sayangi, Azmil masih keseorangan. Dia masih bujang. Ibunya sudah meninggal dunia dua tahun yang lalu. Sayang seribu kali sayang, si ibu tidak lagi berkesempatan melihat anak lelakinya mendirikan alam rumahtangga dengan mana-mana wanita. Pemergian ibunya membuatkan hidup Azmil bertambah sepi. Azmil mula berazam untuk mengubah kesepian yang mencengkam hidupnya.

Pada suatu hari, Azmil menjejakkan kaki ke rumah adik bongsu arwah ibunya yang dipanggil Mak Usu. Sudah lama dia tidak datang menjenguk keluarga Mak Usu. Kali terakhir Azmil berjumpa mereka ketika menyambut Hari Raya Aidilfitri beberapa bulan yang lalu.

Setelah bersalaman dan bertanya khabar, Azmil mula menerangkan tujuan kedatangannya, “Mak Usu, sudah lama kita tak berjumpa. Saya datang kali ini pun sebab ada hajat besar.”

“Hajat besar? Amboi Azmil, macam orang nak masuk meminang bunyinya! Aku tak ada anak dara untuk kau jadikan isteri. Satu-satunya anak perempuan yang aku ada tu bukan anak dara pun. Fauziah kan janda. Umur sudah masuk 40 tahun. Seorang anaknya baru dapat keputusan SPM bulan lepas. Seorang anaknya lagi akan ambil SPM tahun depan. Takkan kau nak masuk meminang Fauziah? Mengarut betul kau ni,” Mak Usu berseloroh. Dia ketawa.

“Kalau betul saya datang nak meminang Fauziah?” tanya Azmil. Serius.

Ketawa Mak Usu terhenti. Diam seketika. Mukanya berkerut. Antara percaya atau tidak percaya dengan kata-kata anak saudaranya.

“Kau jangan main-main dengan hal kahwin,” kata Mak Usu.

“Saya tak main-main, Mak Usu. Saya serius nak memperisterikan Fauziah,” kata Azmil dengan bersungguh-sungguh.

“Tapi dia sepupu kau! Kau anak saudara aku!” bentak Mak Usu.

“Apa salahnya Mak Usu?” tanya Azmil. Dia kehairanan dengan reaksi ibu saudaranya.

“Eh, kau ni belajar agama atau tak? Nabi tak bagi kahwin sepupu, kau tahu?”

“Cuba bawa bertenang, Mak Usu. Seingat-ingat saya, Nabi Muhammad S.A.W. cuma tak galakkan perkahwinan antara sepupu. Tidak menggalakkan bukan bermakna haram hukumnya. Sepupu kita bukannya mahram kita. Air sembahyang tetap batal kalau tersentuh sepupu,” jawab Azmil dengan berhati-hati.

“Aku tak kiralah. Sepupu tetap sepupu. Aku boleh terima kau sebagai anak saudara aku, tapi aku tak rasa aku boleh terima kau sebagai menantu. Kalau arwah mak kau masih ada, aku tak dapat nak bayangkan kalau aku berbesan dengan kakak aku sendiri. Ish, simpang malaikat 44!” kasar Mak Usu menuturkan kata-katanya.

“Astaghfirullah al-azim. Mak Usu, cuba mengucap dua kalimah syahadah. Hina sangatkah saya sebagai anak saudara Mak Usu ingin memperisterikan anak Mak Usu yang juga sepupu saya? Saya datang ke sini dan bercakap elok-elok dengan Mak Usu semata-mata untuk meminang Fauziah dengan cara yang terhormat,” terang Azmil.

“Eh Azmil, sudah tak ada perempuan lain dalam dunia ni lagi ke yang kau terhegeh-hegeh nak kahwin dengan anak aku?” tanya Mak Usu.

“Bukannya tak ada, Mak Usu. Saya sudah cuba tapi tak dapat cari calon lain. Nak buat macam mana? Lagipun saya rasa Fauziah sesuai dengan saya. Saya tak kisah dengan status jandanya. Umurnya tak jauh beza dengan umur saya. Saya boleh terima dirinya dan anak-anaknya. Saya boleh jaga Fauziah, anak-anak Fauziah, dan Mak Usu juga. Saya pilih Fauziah sebab dia saudara-mara saya. Takkan itu pun tak boleh? Takkan itu pun Mak Usu tak sudi tunaikan hasrat saya? Saya cuma inginkan sebuah keluarga. Itu sahaja.”

“Keputusan aku muktamad. Aku takkan berganjak dengan keputusan aku. Kalau kau degil juga, aku risau aku takkan dapat mengaku kau saudara-mara aku,” ujar Mak Usu dengan nada yang sangat tegas.

“Kalau Mak Usu sudah kata macam tu, saya pun tak boleh buat apa-apa. Saya minta maaf banyak-banyak kalau hasrat saya tadi sedikit sebanyak telah mengeruhkan hubungan persaudaraan sesama kita. Niat saya suci nak bina masjid tapi kalau Mak Usu tak suka, nampaknya saya kena terima pendirian Mak Usu. Saya minta diri dulu. Assalamualaikum.”

Azmil melangkahkan kaki untuk pulang ke Kuala Lumpur dengan rasa hiba. Buat kali kedua dalam hidupnya, dia dikecewakan dalam soal jodoh. Lebih malang lagi, buat kali kedua juga dirinya dikecewakan oleh orang yang termasuk dalam senarai ahli keluarganya. Susah sangatkah untuk menunaikan hasrat murninya? Sesungguhnya Rasulullah S.A.W. pernah bersabda, “Permudahkanlah, janganlah dirumitkan.”

Azmil fikir, perkahwinan tidak sepatutnya susah untuk dilaksanakan. Islam itu memudahkan segala aspek kehidupan, maka perkahwinan dalam Islam seharusnya turut sama memudahkan umatnya membina sebuah keluarga yang diinginkan. Malang sekali perkahwinan umat Islam pada hari ini dihiasi dengan unsur-unsur adat dan budaya yang melampaui batas agama. Ternyata pepatah Melayu “biar mati anak, jangan mati adat” adalah pepatah yang sangat relevan, berkesan dan bertahan lama dalam hati masyarakat Melayu di Malaysia.

Azmil melepaskan keluhan yang berat atas nasib yang menimpa dirinya. Namun dia perlu redha dengan ketentuan Tuhan. Dia juga perlu muhasabah diri dan menilai segala perkara yang pernah dilakukannya sepanjang perjalanan hidup selama ini. Adakalanya fikiran yang kusut mengenai soal jodoh dan perkahwinan membangkitkan ingatannya pada bait-bait lirik satu lagu lama pada suatu ketika dahulu. Kalau tidak silap, lagu tersebut didendangkan oleh Tan Sri Dato’ SM Salim. Bait-bait lirik tersebut berbunyi:

Apa dah jadi?
Apa dah jadi?
Sampai sekarang tak kahwin lagi.


Azmil

Ahad, 15 Ogos 2010

BUNGA API OGOS 2157

Assalamualaikum dan salam sejahtera. Harap masih tidak terlewat untuk mengucapkan Selamat Menjalani Ibadah Puasa di Bulan Ramadhan kepada semua umat Islam di Malaysia. Bulan Ramadhan pada tahun ini selari dengan bulan Ogos yang juga merupakan bulan kemerdekaan bagi negara kita. Oleh itu, entri blog kali ini akan memaparkan sebuah cerita yang bertemakan Hari Kemerdekaan. Cerita ini adalah hasil tulisan saya sendiri yang juga merupakan salah satu tugasan untuk subjek Bahasa Melayu ketika saya berada di sekolah menengah.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

Masih wujudkah pejuang kemerdekaan pada zaman moden ini? Bukankah negara telah lama mengecapi kemerdekaan? Jadi, mengapa perlu wujudnya pejuang kemerdekaan tatkala negara berada di dalam keadaan yang aman damai? Persepsi realiti rakyat Malaysia yang sangat lama menikmati kemerdekaan: “Merdeka” dalam fikiran mereka yang selama ini diwarisi turun-temurun daripada nenek moyang mereka hanya membawa maksud “pembebasan diri daripada cengkaman penjajah”. “Pejuang kemerdekaan” dalam fikiran mereka selama ini hanyalah satu istilah yang ringkas bagi “pembela daripada cengkaman penjajah”. Apabila tiada lagi penjajah, apabila kemerdekaan berjaya diperolehi, isu mengenai pejuang kemerdekaan hanya dapat bertahan untuk seratus tahun. Selepas seratus tahun kemerdekaan negara, isu pejuang kemerdekaan telah menjadi satu isu yang sudah lapuk dan dimakan dek zaman, ibarat kayu yang dimakan anai-anai. Bayangkan betapa lekanya rakyat Malaysia dengan keamanan yang telah dikecapi selama dua ratus tahun selepas negara mencapai kemerdekaannya. Pada tahun 2157, Malaysia memang begitu.

Namaku Sudir. Berumur tiga puluh tahun dan masih belum mendirikan rumah tangga. Aku tinggal di Bandaraya Putrajaya, iaitu bandaraya Wilayah Persekutuan yang ketiga selepas Bandaraya Kuala Lumpur dan Bandaraya Labuan. Diriku kini sedang menyambung pengajian di Univesiti Terbuka Malaysia dalam jurusan Pengajian Sejarah Holistik untuk peringkat Ijazah Sarjana. Aku mesti menghasilkan tesis yang terbaik demi mencapai impian untuk menjadi ahli sejarah peringkat tinggi pada masa hadapan. Resam menghasilkan suatu tesis - bukan mudah untuk memikirkan dan mengenalpasti tajuk yang sesuai. Namun begitu, kali ini aku dapati ianya tidak begitu sukar, mungkin disebabkan oleh bulan kemerdekaan yang akan menyusul tidak lama lagi. Tajuknya? PEJUANG KEMERDEKAAN.

Beberapa minggu yang lalu, aku telah berkenalan dengan seorang professor ‘gila’. Dia merupakan bekas saintis di sebuah institut penyelidikan yang terkemuka. Usianya telah mencecah sembilan puluh tahun dan telah bersara. Secara kebetulan, aku telah menjumpainya di hadapan rumahku dengan keadaannya yang tidak terurus. Aku membawanya masuk ke dalam rumah dan memberinya pakaian serta makanan. Pada waktu yang sesuai, aku bertanya tentang dirinya. Perkara pertama yang diberitahu ialah namanya. Mengikut kata-katanya, dia dikenali sebagai ‘Prof. Pahid’. Prof. Pahid telah disisihkan oleh rakan-rakan yang seangkatan dengannya. Kemudian, bantuan yang biasa dihulurkan kepadanya untuk membuat kajian telah ditarik balik oleh pihak institut. Semuanya disebabkan oleh kajian yang sedang dilakukan olehnya. Mengapa kukatakan bahawa dia ialah seorang professor ‘gila’? Ini disebabkan oleh perkara yang telah dilakukannya sejak kebelakangan ini.

“Professor! Hari ini ada perkara yang perlu kita bincangkan!” jeritku sambil merempuh masuk bilik kajian Prof. Pahid.

“Bincang? Aku kira sudah masuk empat puluh dua kali kau mengucapkan perkataan ‘bincang’ sejak dua minggu yang lalu. Tak jemu ya?” balas Prof. Pahid dengan selamba.

“Ya, selagi Prof tidak memberi penjelasan mengenai empat puluh dua kes yang dilaporkan dalam akhbar ini, selagi itu perkataan ‘bincang’ tidak akan lekang dari mulut ini!”

Prof. Pahid membetulkan kaca matanya. Kemudian, dia membelek suratkhabar yang mengandungi laporan yang dikatakan oleh Sued. HARI KE-14 PENCEROBOHAN KE ATAS 42 TEMPAT MENYIMPAN BAHAN KIMIA. Begitulah tajuk berita itu. Prof. Pahid mengalihkan pandangannya kembali kepada Sudir, yang sedang menanti penjelasan daripadanya.

“Sudir, aku rasa aku tak perlu jelaskan lagi perkara ini. Aku melakukan semua ini kerana terpaksa. Semua ini demi kajian yang sedang kulakukan.”

“Terpaksa? Sehingga perlu menceroboh tiga tempat dalam sehari? Prof, ini kerja orang gila. Orang gila boleh buat kajian dengan baik ke kalau begini caranya?”

“Sudir, kadangkala aku kecewa dengan sikap kau. Engkau ini sama sahaja seperti orang lain yang menganggap aku ini seorang yang gila. Engkau tak kepingin pun untuk memahami tujuanku yang suci ini. Aku bergadai nyawa demi mendapatkan bahan-bahan yang diperlukan. Rakan-rakanku dan pihak institut tidak lagi memberi bantuan mahupun sokongan. Adakah telah sampai giliran kau pula menjadi seperti mereka?”

“Aduhai Prof, tolonglah jangan cakap macam tu! Terasa diri ini macam orang jahat. Bukan apa, saya cuma risaukan cara Prof berkerja. Bahaya! Prof dah tua, tapi masih ingin membuat kajian yang belum menjamin kebaikan atau faedah.”

“Sudahlah Sudir, aku faham. Aku ini orang tua. Kau orang muda. Setakat mana adanya keserasian? Biarlah aku pergi membawa diri dengan kajianku ini. Terima kasih atas segala pertolongan yang kau beri selama ini.” Prof. Pahid mengakhiri perbualan sambil bersedia untuk mengemaskan barang-barangnya.

Aku tercengang. Aku bingung. Aku melihat sahaja pemergian Prof. Pahid bersama barang-barang kajiannya. Untuk beberapa ketika, timbul satu penyesalan dalam diriku. Oh Sudir, bodohnya engkau ini! Tidakkah engkau sedar betapa mudahnya orang tua berkecil hati? Tengok, apa sudah jadi? Siapa lagi yang akan mengambil peduli hidup orang tua itu? Kalau ada perkara yang terjadi pada Prof. Pahid, siapa yang perlu bertanggungjawab? Tentunya engkau, Sudir!

Semenjak hari itu, aku menjalani kehidupan seperti sebelum kedatangan Dr. Pahid, yakni kehidupan seorang siswa yang masih memikirkan tajuk tesis yang sesuai. Memang merupakan satu kerugian dengan pemergian orang lama seperti Prof. Pahid. Sebagai orang yang telah hidup selama sembilan puluh tahun, pasti pengetahuan sejarahnya lebih bagus dan tepat berbanding aku yang sekadar melepasi ijazah sarjana muda dalam pengajian sejarah kurang daripada sepuluh tahun. Kalau mahu diimbas kembali sejarah kegemilangan Malaysia yang telah berabad lamanya, boleh dikatakan ingat-ingat lupa sahaja. Oh, ya! Sebut sahaja mengenai ingatan, teringat pula pada kajian Prof. Pahid. Prof pernah menyebut beberapa perkara tentang kajiannya kepadaku dahulu. Antaranya ialah berkaitan dengan bunga api. Bunga api yang dimaksudkan ialah bunga api yang sering digunakan oleh kerajaan dalam setiap perayaan yang disambut oleh seluruh negara. Kononnya bunga api yang akan direka oleh Prof dapat mengembalikan ingatan masyarakat Malaysia terhadap perjuangan pejuang-pejuang kemerdekaan pada dua ratus tahun yang lampau. Bagaimanakah cara Prof merealisasikannya? Itu masih belum dapat aku ketahui. Cuma yang dapat dipastikan, bahan kimia yang diperolehi Prof sememangnya bahan yang sesuai untuk membuat apa jua mekanisme letupan.

Seminggu sebelum 31 Ogos 2157, aku menerima panggilan telefon. Panggilan telefon daripada Prof. Pahid. Sudah habis agaknya rajuk orang tua ini. Mungkin ada perkara yang penting hendak diperkatakan olehnya?

“Sudir, boleh ambil sedikit masa untuk kita bercakap buat seketika?” tanya Prof. Pahid.

“Cakap saja, Prof,” balasku.

“Sudir, datukku pernah memberitahu suatu perkara yang sukar untuk kufahami. Begini katanya: Manusia... Bilakah mereka akan sakit? Adakah ketika virus dan bakteria durjana menyerang sistem imunisasi mereka? Adakah ketika mereka mengalami sebarang keracunan yang tidak disangka? Bukan. Manusia akan sakit apabila mereka diabaikan!”

“Diabaikan? Apakah maksudnya?” tanyaku.

“Pada mulanya, aku pun tidak faham. Setelah hidup selama sembilan puluh tahun, akhirnya aku telah memahami kata-kata datukku itu. Sudir, tidakkah kau perasan akan sesuatu? Negara ini sedang ‘sakit’ sekarang. ‘Sakit’ yang kukatakan ini adalah berkenaan dengan semangat kemerdekaan yang telah lama diabaikan oleh rakyat negara ini hatta pemimpinnya juga.” Prof. Pahid menerangkan teori yang didapatinya dengan yakin.

Aku merenung kembali perkara-perkara yang telah berlaku sepanjang kehidupanku. Teringat kembali pendapat orang ramai tentang pejuang kemerdekaan zaman moden. Teringat juga akan betapa fanatiknya rakyat Malaysia menyambut Hari Kebangsaan setiap tahun dengan iringan bunga api dan konsert artis-artis terkenal semata-mata tanpa menyedari tujuan menyambut Hari Kebangsaan yang sebenar. Menyambut Hari Kebangsaan dengan menyalakan bunga api yang besar merupakan suatu pembaziran dan nampak terikut-ikut dengan cara orang barat. Bukankah masyarakat sepatutnya bersama-sama membuat sedikit kenduri kesyukuran untuk meraikannya? Aku pun baru saja menyedarinya. Begitu rupanya ‘sakit’ negara ini. Prof. Pahid rupanya ingin mengubati negara ini dengan caranya yang tersendiri. Cuma, bagaimana? Bagaimana bunga api yang dikatakannya dapat ‘mengubati’ negara ini?

“Sudir, mulai hari ini kau tak perlu risau lagi tentang diriku. Aku telah habis menyelesaikan kajianku. Hanya masa yang akan menentukan kerja yang aku telah usahakan ini. Baiklah, jumpa lagi pada 31 Ogos, tepat jam 12 tengah malam.” Prof mengakhiri kata-katanya dan terus meletakkan gagang telefon.

Hari yang ditunggu-tunggu telah tiba. Barangkali hanya aku sahaja yang mengharap kejutan Prof. Pahid. Suasana Dataran Putrajaya telah dibanjiri oleh segenap masyarakat di sekitar Bandaraya Putrajaya. Seperti tahun-tahun sebelumnya, orang ramai akan bersama-sama mengira saat ke pukul 12 tengah malam, pada setiap 31 Ogos. Kata-kata kebanyakan orang, tahun ini agak bermakna kerana ulangtahun kemerdekaan negara adalah yang ke-200, suatu jangka masa yang agak lama. Yakah? Aku rasa tiada apa-apa yang istimewa. Mungkin ‘acara seterusnya’ lebih bermakna!

Sepuluh saat saja lagi, bunga api akan dilepaskan. Ketika aku sedang asyik memerhatikan televisyen plasma bersaiz gergasi di Dataran Putrajaya, tiba-tiba keadaan sekeliling menjadi gelap-gelita. Kemudian, satu-satunya spotlight yang cukup besar di situ, dibuka menghala ke pentas dataran, yang juga bersebelahan dengan televisyen plasma gergasi. Seorang tua berdiri di situ.

“Salam sejahtera kepada seluruh masyarakat Bandaraya Putrajaya. Tidak, lebih tepat lagi kepada seluruh rakyat Malaysia. Kita semua sudah cukup bertuah kerana mengecapi kemerdekaan, keamanan, dan kebebasan selama dua abad. Saya sudah mengecapinya selama sembilan puluh tahun. Anda semua juga telah mengecapi kemerdekaan dengan begitu lama, kan? Saya Prof. Pahid. Saya tahu anda semua pasti bingung, pasti terperanjat, dan pastinya sukar menerima keadaan yang secara tiba-tiba ini. Jangan risau, anda semua akan tahu sebentar lagi. Cuma, saya ingin menegaskan bahawa perjuangan saya selama ini adalah untuk menyembuhkan seluruh rakyat Malaysia yang sedang ‘sakit’ sekarang. ‘Sakit’ akibat pengabaian semangat kemerdekaan! Sekarang, terimalah Bunga Api 12 Tengah Malam saya ini sempena sambutan Hari Kebangsaan Malaysia yang ke-200!”

Sejurus kemudian, terpancarlah kilauan bunga api yang amat terang dan permai warnanya tatkala berada di langit malam yang gelap. Doktor, inikah kejutan yang dinanti-nantikan selama ini? Rupa-rupanya bukan sekadar itu sahaja! Daripada satu percikan bunga api yang besar, keluarlah pula percikan bunga api yang lebih kecil dan lebih cantik warnanya. Daripada satu warna ke satu warna yg lain. Kemudian, percikan bunga api tadi berpecah, menjunam jatuh ke arah hadirin yang berada di dataran dan terkena tepat pada kepala mereka!

Begitu juga dengan diriku yang telah terkena percikan Bunga Api 12 Malam yang berpecah warna kepada warna merah, biru, kuning dan putih. Aku rasakan bahawa percikan tersebut menjalar ke dalam kepalaku. Pandangan mataku bertukar-tukar. Pandangan mataku kini bukanlah di Dataran Putrajaya tetapi di tapak peperangan! Kemudian, aku lihat pula paparan yang berlainan. Paparan yang agak asing bagiku tetapi seperti sudah aku pelajari di universiti dahulu. Aku melihat orang memegang senapang dan berperang gerila. Aku melihat orang memegang sepanduk yang aku rasakan bukan ditulis dalam tulisan rumi. Aku juga melihat orang sedang bermesyuarat dan saling menandatangani sesuatu yang berupa perjanjian. Akhir sekali, aku melihat seorang tokoh mengangkat tangan dan melaungkan ‘MERDEKA! MERDEKA! MERDEKA!’ di hadapan ribuan rakyat jelata. Setiap kali muncul persoalan dalam diriku, paparan lain akan muncul untuk menjawabnya. Oh, Tuhan! Inikah petunjuk yang kau beri kepada hamba-Mu yang lemah ini? Oh, professor! Inikah perkara yang kau cuba lakukan untuk negara ini? Semuanya sudah terjawab sekarang.

Walaupun malam kemerdekaan telah lama berlalu, aku masih merasakan bahawa ianya seperti baru berlaku semalam. Sekarang, semuanya telah berubah. Pentadbiran, cara hidup, pendapat dan semangat rakyat Malaysia telah berubah menjadi lebih baik daripada sebelum ini. Institusi pengetahuan seperti perpustakaan, pusat pengajian sejarah, dan Arkib Negara telah aktif kembali. Bunga Api 12 Tengah Malam yang dihasilkan oleh Prof. Pahid pastinya memberikan impak yang mendalam kepada seluruh rakyat Malaysia. Keinsafan, kesedaran, dan kepahitan. Itu yang aku rasakan. Sayangnya, Prof. Pahid tidak lagi aku temui selepas itu. Tanggungjawab diriku terhadap sesi pembelajaran di universiti tetap tidak ku abaikan. Begitu juga dengan negara ini, tidak lagi mengabaikan semangat kemerdekaan. Tesis yang sedang aku hasilkan ini juga pasti dapat disiapkan dengan jayanya. Menyebut pasal tesis, rasa-rasanya aku telah terfikir satu isi baru yang cukup sesuai dengan tajuk “Pejuang Kemerdekaan”. Walaupun otakku ini telah sarat dengan sejarah lama, aku tetap ingat pada yang baru. Maksudnya, aku mungkin akan memasukkan satu tokoh yang baru ‘menyembuhkan’ negara ini dengan bunga apinya, yakni yang juga pernah dianggap gila oleh diriku sendiri. Bolehkah anda cuba meneka?


Rabu, 5 Mei 2010

KISAH HATI TERLUKA - SAMPUL MERAH

Alfred Johnson seorang pelupa yang sangat teruk. Setiap perkara yang dilakukan, ada saja perkara yang dia terlupa. Bukan sekali, tapi lebih daripada itu. Tapi dia mudah belajar dari kesilapan. Setelah dia sedar bahawa perkara sebegitu sering berlaku, dia mengambil inisiatif untuk menulis nota untuk setiap perkara yang difikirkan oleh dirinya. Nota-nota yang ditulis itu diharapkan dapat mengembalikan ingatannya terhadap perkara yang hampir-hampir dilupakan.

Pada suatu hari, musim bunga Alfred telah tiba. Dia telah jatuh hati kepada seorang gadis. Gadis tersebut bernama Fransisca. Dia menyukai Fransisca dan Fransisca juga menyukai dirinya. Namun setelah sekian lama, Alfred merasakan sesuatu yang tidak kena dalam perhubungan mereka. Dia tertanya-tanya adakah Fransisca betul-betul mempunyai perasaan cinta yang sama seperti dirinya menyintai Fransisca? Namun, dia tidak cepat melatah. Dia membiarkan saja fikiran itu diam di mindanya. Dia memerhatikan gaya bahasa, lenggok badan, cara interaksi Fransisca ketika berhadapan dirinya dan keadaan sekeliling. Ya, dia yakin dengan apa yang difikirkannya selama ini.

Pada saat itu, Alfred menulis satu nota yang dirasakan amat penting bagi dirinya dan nota itu ternyata istimewa kerana ia dimasukkan ke dalam sekeping sampul merah. Sampul merah tersebut kemudiannya diletakkan ke dalam sebuah peti berkunci yang kodnya hanya diketahui oleh dirinya sendiri. Dia harap nota yang ditulisnya membawa makna kepada dirinya pada masa hadapan. Dia merenung peti berkunci itu dan memeluknya seolah-olah tidak mahu melepaskannya. Tiba-tiba entah kenapa, dunianya dirasakan gelap...

"Sari Berita Penting - Suatu gegaran gempa bumi kuat yang berukuran 6 skala Richter telah melanda kawasan Deer Hill dan pasukan penyelamat sedang berusaha untuk menyelamatkan mangsa-mangsa yang terperangkap di dalam runtuhan bangunan. Setakat ini, seramai 16 orang telah berjaya diselamatkan dan kami masih menantikan perkembangan seterusnya..."

20 tahun telah berlalu...

Alfred membuka matanya perlahan-lahan. Dirasakan dirinya lemah pada masa itu. Tatkala matanya telah terbuka sepenuhnya, dia mendapati dirinya terbaring di atas katil di sebuah hospital. Tidak dapat dipastikan sudah berapa lama dia terlantar di situ.

"Eh? Pakcik sudah bangun? Doktor! Doktor! Pakcik Alfred saya dah bangun! Oh Tuhan! Syukurlah!"

Alfred terpinga-pinga. Dia betul-betul tidak tahu apa yang sedang berlaku.

"Encik ni...siapa? Apa yang sebenarnya telah berlaku kepada diri saya?" Alfred bertanya pemuda itu.

Setelah doktor selesai menjalankan pemeriksaan ke atas Alfred, pemuda tersebut mula bercerita.

"Pakcik Alfred, apa yang saya bakal ceritakan mungkin akan membuatkan pakcik terkejut. Pertama sekali, nama saya ialah Bruce Wayne. Saya adalah anak kepada adik pakcik. Pakcik telah terlantar koma di hospital ini selama 20 tahun."

Alfred benar-benar terkejut. Dia bertanya lagi.

"Habis tu, sekarang ini tahun apa?"

"Tahun 2032, pakcik," jawab Bruce.

Alfred terkesima buat seketika. Dia mengamati dirinya yang sudah berumur 45 tahun pada masa kini. Jauh 20 tahun ke hadapan dia melangkau hidup ini. Memori yang terkandung dalam kepalanya seolah-olah baru berlaku semalam. Lantas dia teringat sesuatu!

"Peti berkunci! Peti berkunci saya!"

"Peti berkunci? Oh ya! Mak ada cakap yang pakcik memegang erat peti tu ketika ditemui dalam runtuhan bangunan 20 tahun lepas. Mak masih simpankan peti itu untuk pakcik. Nanti saya ambilkan."

"Bruce."

"Hmm? Ya pakcik?"

"Pakcik nak cari seseorang. Fransisca. Fransisca Northman."

Setelah pulih dan dirinya bersedia menjalani kehidupan yang baru ini, Alfred mencari-cari kekasih hatinya pada waktu dahulu, yakni Fransisca. Setelah sekian lama mencari atas bantuan Bruce, akhirnya dia menjumpai tempat Fransisca tinggal. Pada saat dia ingin menghampiri rumah itu dari jauh, tiba-tiba dia terlihat kelibat seorang lelaki yang sama baya dengan dirinya bersama seorang budak lelaki dan akhirnya dia nampak Fransisca berada di situ. Fransisca mencium pipi lelaki tersebut dan Alfred terdengar yang budak lelaki itu memanggil Fransisca sebagai 'mak'. Mereka bertiga cukup mesra dan bersama-sama ketawa seperti sebuah keluarga. Memang mereka adalah satu keluarga. Alfred akhirnya pasti dengan hakikat yang berada di depan matanya kini.

Tatkala dia duduk berseorangan di bangku taman, Alfred membuka peti berkunci miliknya. Di dalam peti berkunci tersebut terkandung sekeping sampul merah. Di dalam sampul merah itu terkandung sehelai nota yang ditulis oleh dirinya pada 20 tahun lalu. Ianya tertulis:

Pada saat nota ini ditulis, aku sudah sedar akan satu hakikat.
Aku tidak beromong-kosong.
Entah kenapa aku berasa sangat yakin dengan pemikiran aku.
Aku yakin dengan intuisi aku, ramalan aku.
Dan aku rasa ianya akan jadi kenyataan.
Ianya seperti tidak dapat dielakkan.
Seolah-olah aku telah tahu takdir aku sejak dari awal.
Orang lain tidak tahu.
Hanya aku saja yang tahu.
AKU TAHU FRANSISCA TIDAK AKAN MENJADI MILIKKU...

Alfred merenung notanya.

"Ya, aku tahu sejak dari dulu lagi. Aku berbangga dengan apa yang aku pernah fikirkan kerana ianya telah terbukti sekarang. Dan yang paling penting, aku gembira dia bahagia. Sama seperti yang aku pernah harapkan. Dia bahagia."

Alfred Johnson



Sampul Merah