Kalau saya katakan bahawa saya sememangnya bercita-cita mahu menjadi seorang guru sejak kecil, pasti kebanyakan orang di sekeliling saya akan terperanjat atau berasa tidak percaya. Saya tidak pasti sama ada reaksi tersebut disebabkan oleh profession tersebut atau disebabkan oleh diri saya. Namun, itulah hakikatnya. Cita-cita saya sejak dari awal lagi adalah untuk menjadi seorang guru.
Seingat-ingat saya, saya mula menyatakan hasrat untuk menjadi guru setelah berada di tadika hinggakan cikgu di tadika itu pun ketawa apabila mendengar saya mahu menjadi sepertinya. Kalau mengikutkan kata-kata datuk dan nenek sebelah ayah saya, mereka sentiasa mahukan saya menjadi seorang doktor ataupun jurutera. Jadi juruletrik seperti ayah saya pun sudah dikira bagus. Setidak-tidaknya, orang akan menggelarkan diri saya sebagai Electrical Engineer. Gajinya pun agak lumayan berbanding gaji guru. Saya rasa itu yang datuk dan nenek fikirkan selama ini.
Namun, saya tetap ingin menjadi seorang guru. Sebab apa? Kalau mengikutkan persepsi diri saya ketika kanak-kanak, doktor seringkali memberi saya ubat-ubat yang memualkan untuk saya makan. Doktor gigi seringkali membuat diri saya berasa seperti nak mati ketika mencabut gigi-gigi susu saya. Jurutera pula mempunyai bidang kerja yang sangat sukar untuk saya fahami. Atas sebab-sebab tersebut, saya tidak berminat langsung untuk menjadi doktor, doktor gigi mahupun jurutera. Berlainan pula dengan guru. Walaupun guru pada awalnya kadang-kala menakutkan, tetapi guru membuatkan saya teruja terhadap terhadap dunia ini dan mengisi sifat ingin tahu yang membuak-buak dalam diri. Yang paling penting bagi saya sebenarnya, guru memberi inspirasi.
Ketika berada dalam kelas untuk subjek PPELT, seorang pensyarah bertanyakan sebab kami memilih profession perguruan. Jawapan daripada saya, saya mendapat inspirasi daripada seorang guru di sekolah rendah. Memang benar bahawa saya mula bercita-cita menjadi seorang guru sejak daripada sekolah tadika. Namun, cita-cita yang saya pilih itu membawa cabaran yang begitu besar apabila ia kerap kali menjadi bahan jenaka untuk orang lain. Saya masih ingat lagi ketika Darjah 1, apabila saya mengatakan bahawa saya ingin menjadi seorang guru, guru yang berada di hadapan saya pada masa itu menjawab, "Nak jadi cikgu? Gaji cikgu ni kecik, Anwar... Cita-cita lain?" Ketika saat itu, saya mula sedar bahawa saya terpaksa membuat satu senarai tambahan yang menyatakan cita-cita lain apabila cita-cita untuk menjadi guru mendapat maklumbalas yang negatif.
Saya jarang memberitahu siapa diri saya di sekolah rendah kerana ianya tidak penting dan adakalanya memalukan jika dibandingkan dengan prestasi diri saya pada masa kini. Ketika di sekolah rendah dahulu, saya merupakan pelajar paling hebat, paling gah, paling pandai dan paling dikenali ramai di SK Sungai Way hanya disebabkan saya sentiasa mendapat nombor satu setiap semester, sejak dari Darjah 1 hingga Darjah 6. Rekod saya hanya terjejas sekali pada semester 1 ketika Darjah 2 kerana saya jatuh ke kedudukan nombor 3 dalam kelas. Latar cerita mengenai pencapaian saya ini mempunyai kaitan dengan peristiwa saya mendapat inspirasi untuk terus kuat mengejar cita-cita sebagai seorang guru.
Ketika berada di Darjah 5, saya mempunyai seorang guru kelas yang bernama Syamsul. Cikgu Syamsul mengajar subjek Matematik dan Bahasa Melayu. Kami sekelas terhibur dengan gaya pengajarannya tapi sayang seribu kali sayang, Cikgu Syamsul berpindah ke sekolah lain pada akhir tahun. Dalam kelas terakhir bersamanya, dia memberi sepatah dua kata mengenai masa depan kami semua. Lebih kurang begini ucapannya, "Cikgu harapkan yang baik-baik untuk masa depan kamu semua, tapi ingat satu perkara. Apa yang kamu ada pada masa sekarang tak semestinya menjamin masa depan kamu. Macam Anwar ni, dia pandai. Selalu dapat nombor satu. Tapi kita tak tau dia kat sekolah menengah nanti macam mana. Mungkin keputusannya merosot. Ada orang, dia pandai masa di sekolah rendah tapi di sekolah menengah nanti dia merosot. Minta maaf ya Anwar, cikgu cuma nak mengingatkan..."
Pada masa itu, saya sebenarnya agak kecil hati dengan Cikgu Syamsul. Dalam hati saya berkata, "Apalah cikgu ni. Tak memberi motivasi langsung. Boleh pula dia kata aku macam tu." Kata-kata Cikgu Syamsul itu seringkali terngiang-ngiang di fikiran saya. Lama sungguh saya berkecil hati dalam diam-diam tapi lama-kelamaan saya telah sedar apa yang diperkatakannya itu sesungguhnya teramat betul! Lihatlah apa yang sudah terjadi pada diri saya hari ini. Kalau dulu, saya berada dalam kelompok pelajar cemerlang, namun kini saya tidak begitu. Tiada apa yang saya boleh banggakan dengan kedudukan masa kini dan itulah hakikatnya.
Pada masa dahulu, saya rupa-rupanya dikaburi oleh ego bahawa saya adalah seorang yang memang pandai sejak lahir. Orang di sekeliling termasuk bapa saya sentiasa berharapan seolah-olah saya pandai selama-lamanya, genius segala-galanya. Adakalanya saya sendiri pun terasa macam diri saya ini macam robot, mesin yang pandai belajar sahaja. Namun, hanya Cikgu Syamsul yang pandang saya macam manusia biasa. Manusia biasa yang ada naik turunnya, dan manusia biasa yang ada perubahan dalam hidupnya. Cikgu Syamsul membuatkan saya sedar tentang realiti hidup sebegitu rupa dan itu merupakan satu inspirasi buat saya.
Saya mahu menjadi seorang guru seperti Cikgu Syamsul. Saya tidak berimpian untuk menjadi seorang Guru Cemerlang mahupun Guru Besar. Saya cuma ingin menjadi seorang guru yang dapat memberi inspirasi kepada pelajar-pelajar supaya mereka menjadi insan yang jauh lebih baik daripada diri saya ini.
4 ulasan:
selamat hari pendidik!
Happy Teachers' Day!
Jadi la cegu yg b'dedikasi..:P
Selamat Hari Guru buat korang juga... =)
Penceritaan yg menarik....detik bersama Mr is tu pun aku ingat lagi, coz jawapan ko panjang lebar n unik....nnt ada rezki kita jumpa di KL yer lagi.....=)
Catat Ulasan