Pengikut Kembali Pulang

Isnin, 13 Jun 2011

KL GANGSTER

AWAS! Entri ini merupakan ulasan penulis terhadap sebuah filem tempatan yang baru ditayangkan di pawagam-pawagam tanahair kurang daripada tempoh seminggu selepas tarikh tayangan perdananya. Entri ini mungkin mengandungi spoiler daripada filem tersebut. Bagi sesiapa yang tidak sukakan spoiler, anda dinasihatkan untuk tidak membaca entri ini.

--------------------------------------------------------------------------------------------------------------------------

“KL Gangster” merupakan sebuah filem aksi arahan Syamsul Yusof. Filem ini membariskan nama-nama seperti Aaron Aziz, Adi Putra, dan Syamsul Yusof sendiri sebagai tunjang utama filem. Filem ini turut diserikan dengan kehadiran Zizan Raja Lawak, Sofi Jikan, Adam Corrie, Ridzuan Hashim, Sheera Iskandar, dan Ku Faridah sebagai watak pembantu yang memainkan peranan penting terhadap perkembangan watak utama dan juga plot cerita ini.

“KL Gangster” menceritakan tentang seorang bekas banduan bernama Malik (Aaron Aziz) yang pada masa dahulu merupakan seorang gangster hebat yang pernah berjuang bersama rakannya, King (Ridzuan Hashim) dalam meluaskan pengaruh kongsi gelap di Kuala Lumpur. Malang sekali bagi diri Malik, dia dikhianati oleh anak tiri King, iaitu Shark (Syamsul Yusof), dan mengakibatkan dirinya meringkuk dalam penjara selama lima tahun. Setelah bebas dari penjara, Malik mengambil keputusan untuk “cuci tangan” atau dalam erti kata lainnya, dia mahu berhenti melibatkan diri daripada segala kegiatan kongsi gelap.

Malik memulakan kehidupan baru dengan memohon kemaafan ibunya (Ku Faridah) atas segala kesalahan lampau yang telah dilakukan terhadap keluarganya. Malik membuat keputusan untuk menyara keluarganya dengan rezeki yang halal dan seterusnya mencari adik-beradiknya yang sudah lama tidak pulang ke rumah. Jalan keinsafan yang dipilih oleh Malik dipenuhi ranjau berikutan ketidakpuashatian Shark terhadap dirinya yang tidak pernah padam dan pembabitan adik lelakinya, Jai (Adi Putra) dalam dunia kongsi gelap. Kehidupan Malik selepas dibebaskan dari penjara tidaklah mudah seperti yang disangka. Perseteruan musuh lama bukan sahaja menyusahkan dirinya, malah membahayakan nyawa rakan dan ahli keluarganya.

“KL Gangster” adalah sebuah filem yang baik kerana filem ini memberikan satu nasihat halus kepada penonton supaya tidak menjebakkan diri dalam dunia kongsi gelap. Sekali kita terjebak dalam dunia kongsi gelap, bukan mudah untuk kita keluar sepenuhnya dari dunia tersebut. Lihat sahaja pada watak Malik, seorang bekas banduan dan juga gangster terhebat pada masa dahulu yang kini mahu kembali ke pangkal jalan.

Malik membuktikan hasrat murninya dengan menolak pelawaan rakan-rakan lamanya yang mengajak dirinya untuk kembali ke dunia kongsi gelap. Namun begitu, Malik terpaksa berdepan dengan masalah keluarga apabila mendapat tahu adik perempuannya, Zati (Sheera Iskandar), terlibat dalam penjualan pil khayal di kelab malam dan adik lelakinya, Jai, merupakan seorang gangster yang bergiat aktif dalam dunia kongsi gelap. Malik juga terpaksa berdepan dengan Shark, yang sentiasa tidak berpuas hati selagi dirinya masih hidup. Kita boleh lihat Malik sememangnya cukup hebat dengan kekuatan yang ada pada dirinya. Malik cukup tangkas menangani musuh yang datang melawannya satu per satu hinggakan dia berupaya menewaskan Shark dan Jai di akhir cerita. Namun begitu, jika kita lihat dengan teliti, hidup Malik tidak pernah aman. Ada saja cabaran yang datang. Nyawa ibunya nyaris-nyaris melayang di tangan Shark dan malang sekali nyawa rakannya, Fadhil (Zizan Raja Lawak) telah menjadi galang gantinya. Kita boleh lihat bukan mudah bagi Malik untuk “cuci tangan”.

Kekuatan filem “KL Gangster” terletak pada identiti setiap watak yang diketengahkan dalam cerita. Kita ada seorang bekas gangster besar yang mahu “cuci tangan” seperti Malik yang dianggap sebagai lagenda dalam dunia kongsi gelap. Kita ada dua gangster besar yang berpengaruh seperti King dan Dragon (Adam Corrie), yang mencari peluang untuk menjemput Malik menyertai kumpulan mereka. Kita juga ada lagi tiga orang gangster yang tidak kurang hebat seperti Jai selaku adik kandung Malik, Shark selaku musuh abadi Malik, dan Ajib selaku sahabat gangster yang selalu menyokong Malik. Kekuatan identiti setiap gangster juga ditonjolkan dengan baik melalui babak pertarungan yang merupakan 80 peratus bahagian daripada keseluruhan filem, hingga membuatkan penonton ingin membuat ranking kekuatan setiap watak gangster yang membuat kemunculan dalam cerita.

Filem “KL Gangster” bukanlah sebuah filem yang memaparkan kegelapan masyarakat secara berlebih-lebihan walaupun fokusnya adalah kehidupan kumpulan kongsi gelap. Ia hanya sebuah cerita mengenai konflik watak utama dengan orang-orang di sekelilingnya yang tidak pernah lupa terhadap dirinya. Walaupun filem ini tidak menyuntik langsung elemen cinta dalam penceritaannya, namun ianya diserikan dengan lawak yang menghiburkan dan juga nilai-nilai moral seperti kekeluargaan dan tanggungjawab individu terhadap kehidupannya.


Tiada ulasan: