Pengikut Kembali Pulang

Ahad, 21 Disember 2014

JAHANAM

"Jahanam" merupakan sebuah novel nukilan Hasrul Rizwan dan diterbitkan oleh Buku Fixi. Novel ini mengisahkan tentang Jasuli yang cuba membalas dendam atas kematian tunangnya. Bagaimanakah caranya Jasuli melunaskan dendam tersebut? Adakah dia berjaya membalas dendam di akhir cerita?


Novel "Jahanam" merupakan novel ketiga yang ditulis oleh Hasrul Rizwan untuk terbitan Buku Fixi selepas Murtad (2012) dan Tuhan (2013). Ramai peminat karya Hasrul Rizwan tertanya-tanya sama ada novel ini merupakan sambungan kepada dua novel tersebut. Hakikatnya, novel "Jahanam" bukanlah sambungan novel "Murtad" dan "Tuhan" tetapi novel ini ada menampilkan cameo Adam dan Akhil (watak utama novel "Murtad') dalam salah satu bahagian plot cerita.

Novel ini mengetengahkan tema jenayah yang dihiasi dengan elemen aksi yang mendebarkan seperti aksi tembak-menembak dan kejar-mengejar yang sememangnya tidak asing dalam novel tulisan Hasrul Rizwan. Elemen komedi dan cinta turut diselitkan sebagai penambah perisa dan hiburan emosi buat pembaca yang inginkan sedikit kelonggaran atau rasa lapang dalam menghadam intipati karya yang bercorak pulp fiction ini. Oh ya, sedikit elemen seram turut diselitkan dengan sebab yang munasabah.

Hasrul Rizwan telah membuat satu percubaan yang baik dengan memasukkan elemen mindfuck ke dalam cerita. Sedikit sebanyak elemen tersebut membuatkan karya terbaru kali ini tampil sedikit berbeza berbanding karyanya yang lepas. Mindfuck atau senggama minda (jika diterjemahkan terus ke Bahasa Melayu) merupakan suatu teknik penceritaan yang memperdaya pembaca kerana ia menyebabkan persepsi awal pembaca terhadap jalan cerita dan watak berubah sama sekali apabila hakikat sebenar dibongkar menjelang penamat cerita. Secara ringkas, mindfuck merupakan sejenis plot twist dalam teknik penceritaan.

Saya ingin berikan taraf 5 bintang buat novel ini tetapi perasaan saya jadi bercampur-baur setelah terkena elemen mindfuck ketika menghampiri penghujung cerita (saya suka plot twist tapi saya agak sensitif dengan elemen mindfuck), dan novel ini lebih menghiburkan berbanding "Tuhan", jadi saya bagi taraf 4.5 bintang walaupun taraf sebegitu tiada di Facebook reading list mahupun Goodreads.

Novel ini mengandungi 29 bab tidak termasuk prolog dan epilog. Dengan jumlah 274 mukasurat, novel ini tergolong dalam novel saiz biasa untuk terbitan Buku Fixi. Novel ini boleh jadi salah satu koleksi yang membanggakan buat pengumpul hasil nukilan Hasrul Rizwan.

P/s: Anda akan tertanya-tanya mana datangnya tajuk "Jahanam" tu. Boleh jadi ianya merupakan perkataan yang melambangkan dendam Jasuli kepada si pembuat onar atau banyak perkara yang dah jahanam dalam cerita ni. Paling best, mungkin perkataan "jahanam" akan keluar dari mulut anda setelah selesai membaca novel ini!

Sabtu, 20 Disember 2014

SKETSA ORANG BUJANG - NASI BRIYANI

Boy : Tengahari tadi, aku bagi jiran kita nasi briyani dan kari kambing yang kita buat.

Roy : Jiran kita suka tak?

Boy : Apa pulak tak suka? Makan free kot. Cuma dia cakap lain kali tak payah susah-susah bagi lauknya sekali.

Roy : Eh? Maknanya dia boleh terima kalau kita bagi nasi briyani saja?

Boy : Nampaknya macam tu la. Mungkin dia tak berapa gemarkan kari kambing atau dia lebih suka makan lauk yang dimasak sendiri.

Roy : Atau dia memang jenis suka makan nasi briyani kosong?

Boy : Jarang ada kes macam tu. Boleh jadi macam ni - kalau lain kali dia pula yang bagi nasi istimewa macam nasi briyani kat kita, kita kena faham-faham sendiri yang dia bukan jenis orang yang akan bagi nasi dengan lauknya sekali.

Roy : Pulak...


Rabu, 3 Disember 2014

SKETSA ORANG BUJANG - SALAH SANGKA

Roy : Aku tak tahu nak rasa bangga atau terhina.

Boy : Kenapa pulak?

Roy : Aku pergi buat cermin mata baru tadi. Tak pasal-pasal aku dapat diskaun harga pelajar walaupun aku dah tua bangka. Mungkin sebab aku pakai baju yang ada gambar kartun comel, jadi aku dapat harga diskaun?

Boy : Boleh jadi. Tapi mungkin sebab kau awet muda. Sekurang-kurangnya situasi kau lebih baik daripada situasi aku.

Roy : Situasi kau macam mana pulak? 

Boy : Aku nak beli buku belajar main piano tapi tak pasal-pasal tuan kedai terus hulur buku belajar tahap asas.

Roy : Kau patut cakap kau nak cari buku belajar main piano tahap yang lebih tinggi.

Boy : Itulah... Belum sempat aku nak cakap, tuan kedai tu dah kata, "Nak beli buku piano untuk anak?" sambil hulur kat aku buku yang ada gambar kartun gajah dan singa tengah main piano.

Roy : Sungguh, itu lagi teruk!


Selasa, 2 Disember 2014

SKETSA ORANG BUJANG - KEJUTAN BUDAYA

Roy : Kau tak rasa nak kahwin ke?

Boy : Aku takut la...

Roy : Apa yang kau nak takutkan?

Boy : Sejak aku lahir, sudah 26 tahun aku hidup berseorangan tanpa teman. Makan, minum, jalan-jalan, riadah, semua aku lakukan seorang diri. Kalau aku kahwin, aku takut aku dapat kejutan budaya nanti.

Roy : Macam mana boleh dapat kejutan budaya?

Boy : Habis, dah tak biasa hidup berpasangan.

Roy : Pulak...


Isnin, 1 Disember 2014

SKETSA ORANG BUJANG - CARI KERJA

Roy : Ke arah satu perjalanan dalam sebuah kehidupan~ Demi untuk mengecapi hasrat murni di dalam hati~ (Menyanyikan lagu "HambaMu" oleh Mawi, Akhill Hay dan Imam Muda)

Boy : Kau ni lain macam je pagi ni. Siap menyanyi bagai. Kau......nak pergi meminang anak dara orang ke?

Roy : Haa? Aku nak pergi cari kerja la!

Boy : Owh? Okey. Semoga berjaya!

Roy : Kau tu?

Boy : Kenapa dengan aku?

Roy : Kau memang lupa atau buat-buat lupa yang hari ni hari pertama kau masuk kerja?

Boy : *Berdesup lari masuk bilik air untuk mandi dan bersiap.*