Seorang gadis jatuh hati pada seorang penjual pisang goreng. Mengetahui bahawa si penjual pisang goreng masih bujang, si gadis tanpa membuang masa meluahkan isi hatinya secara terbuka kepada lelaki tersebut.
“Abang, saya rasa saya sudah jatuh hati pada abang. Saya cintakan abang,” kata si gadis.
“Yalah tu. Cik adik ni umur berapa?” tanya si penjual goreng pisang.
“Umur saya 16 tahun. Kenapa bang?” tanya si gadis kembali.
“Macam nilah. Cik adik pergi belajar rajin-rajin sampai dapat keputusan cemerlang dalam SPM, lepas tu baru datang jumpa saya,” jawab si penjual pisang goreng.
Berasa pelik dengan permintaan si penjual pisang goreng, si gadis pun pulang dan belajar bersungguh-sungguh dalam pelajaran sehingga dirinya mendapat keputusan 10A dalam SPM. Tiba masanya, si gadis pun datang berjumpa si penjual pisang goreng dan menunjukkan slip keputusan peperiksaan SPM miliknya.
“Hmm tak cukup lagi ni. Cik adik pergi belajar rajin-rajin kat universiti sampai dapat keputusan cemerlang dan bawa balik segulung ijazah, lepas tu baru datang jumpa saya,” kata si penjual pisang goreng.
Berasa kecewa dengan cintanya yang masih ditolak, si gadis pun pulang dan belajar bersungguh-sungguh di menara gading sehingga dirinya mendapat keputusan yang cemerlang dalam pengajian dan seterusnya mendapat segulung ijazah kelas pertama. Tiba masanya, si gadis pun datang berjumpa si penjual pisang goreng dan menunjukkan ijazah kelas pertama yang diperolehnya.
“Hmm masih belum cukup. Cik adik pergi cari kerja yang bagus dengan ijazah ni. Lepas tu baru datang jumpa saya,” kata si penjual pisang goreng.
Berasa marah dengan cintanya yang masih ditolak walaupun bertahun-tahun berusaha untuk memenuhi permintaan si penjual pisang goreng, si gadis pulang dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mencari pekerjaan yang setimpal dengan ijazah kelas pertama yang dimilikinya. Tiba masanya, si gadis pun datang berjumpa si penjual pisang goreng untuk menceritakan keadaan dirinya.
“Abang, saya dah dapat kerja dengan ijazah kelas pertama milik saya. Sekarang saya seorang pengurus bank. Tapi…”
“Tapi apa?” tanya si penjual pisang goreng.
“Tapi saya rasa saya dah tak cintakan abang lagi. Saya rasa saya ada lebih banyak pilihan yang lebih baik daripada abang,” jawab si gadis.
“Baguslah kalau macam tu!” kata si penjual pisang goreng dengan senyuman.
“Kenapa abang kata macam tu? Bukan ke abang patut bersedih? Atau selama ni abang memang bencikan saya?” tanya si gadis yang berasa pelik dengan reaksi si penjual pisang goreng.
Si penjual pisang goreng menggelengkan kepala dengan senyuman yang masih terukir di bibir dan berkata, “Cik adik… Saya tak pernah membenci cik adik. Kalau ikutkan hati, boleh je yang saya terima cinta cik adik dulu. Saya tak rugi apa-apa tapi cik adik yang rugi besar. Cik adik masih muda dan banyak potensi untuk berjaya. Alangkah rugi sekiranya cik adik terus melayan fikiran yang kurang matang dengan membiarkan diri jatuh ke alam percintaan yang melekakan sehingga tidak tahu membezakan perkara yang baik dan buruk, serta tidak tahu apa yang terbaik buat diri cik adik. Sebab itu saya suruh adik pergi belajar rajin-rajin hingga dapat kerja yang bagus. Tengok, sekarang cik adik bukan sahaja bijak dan mempunyai kerjaya yang baik, malah dapat menentukan lelaki yang terbaik untuk menjadi pasangan hidup cik adik!”
Menitis air mata si gadis setelah mendengar kata-kata si penjual pisang goreng. Jauh di sudut hati, si gadis rasa malu dan menyesal dengan sikapnya yang masih kurang matang dalam mengejar cinta hingga sanggup menyerah kalah dan berputus asa mencintai seorang lelaki yang sebenarnya banyak mengambil berat tentang masa depan hidupnya. Tidak mahu menyesal lagi, si gadis menawarkan dirinya untuk dikahwini oleh si penjual pisang goreng dan akhirnya mereka bersatu sebagai sepasang suami isteri yang bahagia hingga ke akhir hayat.