Pengikut Kembali Pulang

Rabu, 5 Disember 2012

4 JENIS PEMBANGKANG

Tahukah anda apa itu PEMBANGKANG?

Pembangkang ialah pihak yang menentang suatu pihak lain atau suatu polisi yang berada di kedudukan arus perdana. Istilah pembangkang merupakan salah satu istilah yang sangat popular dalam dunia politik.

Tahukah anda bahawa ada 4 jenis pembangkang yang terdapat dalam dunia politik hari ini?

Jenis yang pertama: Pembangkang Biasa

Pembangkang Biasa merupakan golongan pembangkang yang menentang dasar atau polisi kerajaan yang sedang memerintah. Pembangkang jenis ini biasanya tidak pernah sebulu dengan kerajaan sejak mereka dilahirkan lagi. Pembangkang jenis ini juga biasanya tidak akan goyah pendiriannya dan tidak akan berganjak daripada meneruskan sokongan terhadap parti kesayangan walau terdapat pelbagai onar yang telah dilakukan oleh parti tersebut. Biasalah... Tiada sesiapa yang sempurna di dunia ini, bukan?

Jenis yang kedua: Pembangkang Mudah

Pembangkang Mudah merupakan golongan pembangkang yang hanya akan muncul apabila berlakunya pertukaran kerajaan yang memerintah. Sepertimana pilihanraya yang mendapat majoriti mudah, seperti itu juga kedudukan sebagai penyokong atau pembangkang boleh berubah dengan mudah. Maksudnya, apabila berlakunya pertukaran kerajaan yang memerintah selepas pilihanraya, pihak yang selama ini merupakan pembangkang telah bertukar menjadi pihak yang memerintah manakala pihak yang selama ini merupakan pemerintah telah bertukar menjadi pihak pembangkang. Mudah, bukan?

Jenis yang ketiga: Pembangkang Suci

Pembangkang Suci merupakan golongan pembangkang yang ingin mengubah nasib masyarakat yang sedang mengalami kesempitan hidup akibat tekanan ekonomi dan sosial semata-mata. Pembangkang jenis ini biasanya hidup selesa di bawah kerajaan pemerintah tetapi atas dasar kasihan kepada golongan lain yang kurang bernasib baik yang tidak mendapat perhatian, pembangkang jenis ini mula mengkritik kerajaan pemerintah dan seterusnya mengharapkan pertukaran pucuk pimpinan selepas pilihanraya. Idealisme itu bagus, bukan?

Jenis yang keempat: Pembangkang Selamanya

Pembangkang Selamanya merupakan golongan pembangkang yang akan sentiasa menjadi pihak pembangkang walaupun pucuk pimpinan kerajaan telah bertukar selepas pilihanraya. Pembangkang jenis ini biasanya merupakan orang yang atas pagar, orang yang kurang rasa bersyukur, tidak pernah merasa cukup dengan kehidupan yang dimiliki, tidak pergi mengundi, anarki, serta hanya tahu memberontak dan merusuh tanpa mempedulikan kesannya terhadap kesejahteraan orang ramai. Dalam banyak-banyak orang, yang paling ramai adalah golongan seperti ini, bukan?

Jadi, anda tergolong dalam kumpulan pembangkang yang mana satu?

Tiada ulasan: