Pengikut Kembali Pulang

Jumaat, 25 Februari 2011

OBSESI TARIKH LAHIR - BULAN LAHIR JANUARI

Saya sudah berminat dengan tarikh lahir sejak Tingkatan 2. Sejak Tingkatan 5, saya mula menghafal tarikh lahir hampir setiap orang di sekeliling saya. Jangan tanya mengapa. Ianya sudah menjadi satu tabiat yang tidak terbendung, lebih-lebih lagi apabila ianya seolah-olah menjadi satu kemestian untuk mengetahui tarikh lahir apabila mengenali seseorang. Tarikh lahir merupakan salah satu obsesi yang ada pada saya selain daripada obsesi terhadap makanan, komik, bahasa Melayu, Jepun, dan teori konspirasi.

Pengetahuan mengenai potensi atau sifat diri melalui tarikh lahir merupakan satu cabang pengetahuan yang menarik bagi diri saya. Kaedah yang digunakan adalah satu panduan untuk memahami karakter, sifat positif, negatif, dan potensi setiap individu bagi membuat strategi dan perancangan peningkatan diri sendiri, keluarga dan rakan taulan. Ianya berbeza dengan horoskop yang bersifat ramalan atau tilikan nasib semata-mata. Sudahlah horoskop kini jauh lebih mengelirukan dengan adanya pertambahan simbol yang ke-13.

Saya mengenali diri saya sendiri melalui tarikh lahir berdasarkan dua sumber. Sumber pertama datangnya dari Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, pakar perunding motivasi yang antaranya popular dengan "Rahsia Bulan Kelahiran". Sumber kedua datangnya daripada Rozzani Din yang telah menghasilkan buku "Bongkar - Misteri Tarikh Lahir Anda", yang menekankan aplikasi kaedah ilmu sains metafizik.

Jadi, saya akan membuat dua bahagian entri di bawah tajuk "Obsesi Tarikh Lahir". Setiap satu bahagian akan memaparkan pendedahan mengenai siapa diri saya berdasarkan tarikh lahir saya, dengan setiap satu bahagian adalah berdasarkan sumber yang berbeza. Untuk bahagian pertama ini, "Obsesi Tarikh Lahir - Bulan Lahir Januari", saya akan mengambil pendedahan daripada Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah. Berikut merupakan ciri-ciri yang dikatakan oleh beliau untuk orang-orang yang lahir pada bulan Januari dan saya akan memberikan komen terhadap setiap pernyataan tersebut.


Menurut Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah, saya yang lahir pada bulan Januari mempunyai ciri-ciri berikut:

1. Bercita-cita tinggi, dan orangnya serius, suka mendidik dan dididik.

Komen: Saya akui saya memang seorang yang serius, suka mendidik dan dididik, tapi saya tidak pasti sama ada saya bercita-cita tinggi. Yang pasti, saya hanya mahu menjadi seorang guru biasa.

2. Sangat mudah melihat kelemahan orang dan suka mengkritik.

Komen: Saya merasakan bahawa saya tidak mempunyai ciri seperti ini. Kalau tidak, saya mungkin terkenal seperti juri American Idol pada masa dahulu, Simon Cowell.

3. Rajin dan setiap yang dibuat nampak keuntungan.

Komen: Rajin? Tiada bukti saya seorang yang rajin dan setiap perbuatan saya ada untungnya.

4. Suka pada kecantikan, kekemasan dan teratur.

Komen: Mungkin betul dari segi keinginan saya untuk melihat kecantikan dan kekemasan tapi ianya seolah-olah tidak mungkin dari segi amalan saya sendiri untuk kelihatan cantik, kemas, dan teratur.

5. Bersifat sensitif dan berfikiran mendalam.

Komen: Saya tidak pasti jika saya seorang yang bersifat sensitif, tapi saya memang seorang yang berfikiran mendalam.

6. Pandai mengambil hati orang lain.

Komen: Kalau betul saya seorang yang pandai mengambil hati orang lain, agaknya kini saya sudah menjadi seorang jurujual atau pendamai yang berjaya.

7. Pendiam kecuali telah dirangsang.

Komen: Ini merupakan sesuatu yang betul mengenai diri saya.

8. Agak pemalu dan mempunyai tumpuan yang sangat tinggi.

Komen: Agak pemalu? Agak la. Tidak pada kebanyakan masa. Mungkin untuk sesetengah perkara sahaja. Saya tidak dapat mengakui bahawa saya mempunyai tumpuan yang sangat tinggi disebabkan fikiran saya mudah menerawang ke tempat lain.

9. Mudah mendisplinkan diri.

Komen: Kalau mengambil kira dengan sekali tanggapan, memang saya bukan jenis orang yang sebegini. Tapi sekiranya saya dicampak ke satu persekitaran yang sangat tinggi disiplinnya, saya percaya saya adalah orang yang sebegini. Bagi diri saya, kalau mahu berdisplin, biar betul-betul berdisplin. Kalau betul tidak mahu berdisplin, buat cara tidak mahu berdisplin. Tidak mahu ada sebarang kelonggaran dalam disiplin dan sebaliknya.

10. Badannya sihat tetapi mudah diserang selsema.

Komen: Saya bersyukur kerana dikurniakan tubuh badan yang sihat dan tidak dinafikan juga pada masa yang sama memang mudah diserang selsema.

11. Bersikap romantik tetapi tidak pandai memperlihatkannya.

Komen: Romantik??? Hmm... Tiada bukti.

12. Cukup sayang pada kanak-kanak.

Komen: Hmm... Tiada bukti.

13. Suka duduk di rumah.

Komen: Ini sesuatu yang tidak betul sama sekali! Boring kot duduk rumah je.

14. Setia pada segala-galanya.

Komen: Err... Setia? Setia pada Tuhan, agama, ibu bapa, negara, bangsa dan lain-lain mungkin kot.

Pada pendapat saya, kurang separuh daripada semua yang diperkatakan oleh Dato' Dr. Haji Fadzilah Kamsah adalah betul. Saya tidak tahu pendapat orang lain yang lahir pada bulan Januari tetapi bagi saya, ciri-ciri yang dinyatakan kebanyakannya tidaklah begitu selari dengan personaliti diri saya yang sebenar. Anda pula bagaimana?

Rabu, 16 Februari 2011

DENDAM BUKIT BROGA

Pada hari Sabtu yang lepas, 13 Februari 2011, merupakan hari keramat bagi saya dan 12 orang rakan yang lain kerana pada hari itu, kami pergi mendaki Bukit Broga. Bukit Broga terletak di kawasan Semenyih, Selangor, dan boleh dikatakan tidak jauh dari rumah saya yang terletak di Bandar Teknologi Kajang. Kami bertolak dari Shah Alam pada jam 3 pagi dan tiba di Bukit Broga pada jam 4.30 pagi. Setelah tiba di kaki bukit, kami berkumpul dan menyalakan lampu suluh masing-masing, lalu terus memulakan pendakian Bukit Broga. Kira-kira jam 6 pagi, kami selamat tiba di Puncak 3 Bukit Broga, yakni puncak tertinggi di bawah kata nama Bukit Broga. Ada puncak yang lebih tinggi, tetapi namanya Gunung Tok Wan kalau tidak silap saya.

Saya menerima jemputan rakan untuk menyertai aktiviti ini dan saya menyertainya atas sebab saya suka melakukan apa jua aktiviti bersama rakan-rakan sekiranya saya tidak mempunyai masalah dari segi kewangan dan kelapangan masa. Namun begitu, saya mengalami kejutan besar ketika melakukan aktiviti pendakian Bukit Broga! Saya telah dimaklumkan bahawa aktiviti ini bercorak santai dan saya agak saya boleh menjalaninya tanpa sebarang masalah tetapi hakikatnya tidak! Saya yang selama ini berada di zon selesa, tiba-tiba terpaksa mendaki bukit yang curam dalam kegelapan! Saya semput sampai rasa nak termuntah! Tolonglah, kalau nak mendaki bukit, berilah peluang kepada orang macam saya ini untuk membina stamina beberapa hari atau seminggu sebelum aktiviti dijalankan.

Cukup dengan omelan yang tidak berkesudahan, mari lihat highlight aktiviti pendakian Bukit Broga.

Lihatlah saya yang kepenatan dengan muka berkerut dan kaki terlunjur. Bagus betul orang yang edit gambar ini. Tidak perlulah saya edit untuk menunjukkan efek kepenatan saya.


Raut wajah saya sangat serius sepanjang aktiviti pendakian dijalankan. Faham-faham sajalah.


Ribuan terima kasih diucapkan kepada Encik Mohamed Rizal yang sudi membawa beg sandang saya sepanjang aktiviti pendakian. Anda kelihatan macho dengan janggut yang saya baru nampak pada tahun ini.


Hanya dua orang gadis yang menyertai aktiviti pendakian Bukit Broga. Cik Nadhirah Saidah (kanan) kelihatan agak tenang dengan aktiviti pendakian tapi Cik Emisahida (kiri) agak tergugat semangatnya seperti saya.

Bagaimana dengan puncak-puncak di Bukit Broga? Ada tiga puncak utama kesemuanya di situ. Biar saya tunjukkan bermula dengan Puncak 3.

Ini Puncak 3. Ianya merupakan puncak yang agak sempit dan bertambah sempitnya apabila semakin ramai orang berkumpul di puncak ini. Kami mengharapkan peluang untuk melihat matahari terbit di sini tapi nampaknya bukan rezeki kami untuk memperolehnya pada hari itu. Matahari itu memancarkan sinarnya (kalau tak, takkanlah boleh jadi siang kan) tetapi rupa bentuk matahari terbit yang jelas tidaklah begitu kelihatan. Puncak 3 bukanlah puncak yang lebih baik daripada puncak 1 dan 2. Malang sekali, di puncak 3 jugalah kita boleh lihat pembuangan sampah yang agak berleluasa. Perjalanan naik ke puncak 3 juga agak sukar disebabkan oleh batu-batu yang boleh membuatkan kita tersepit di situ. Mujurlah ada tali bantuan diikat pada batu-batu tersebut.


Ini pula Puncak 2 yang lebih baik daripada Puncak 3.


Ini Puncak 1 dari pandangan Puncak 2. Cantik kan? Rakan saya, Encik Bahari Azhar mencadangkan supaya dibuat satu laluan yang menyerupai Tembok Besar China di sini. Jalan naik ke Puncak 1 sangat curam (tidak dapat dilihat dari gambar ini) dan mental anda perlu kuat untuk mengharungi curam tersebut.


Saya ingin berikan Anugerah Pendaki Paling Rileks kepada Encik Nazri. Lihat saja gaya pemakaian bersahaja seperti gaya untuk berjalan-jalan di Plaza Masalam (dakwaan beliau), tidak membawa beg mahupun memakai kasut atau crocs. Tidak merungut kepenatan mahupun menangis. Siap gigit lalang lagi di Bukit Broga.


Akhirnya, kami turun kembali di kaki Bukit Broga dan sempat mengambil gambar bersama-sama sebelum pulang ke Shah Alam.

Soalan yang kerap kali diajukan kepada saya adalah "Mahukah mendaki bukit sekali lagi?" Jawapan saya, "OH TIDAK!"